Share |

Saturday, 12 July 2014

Surat terbuka untuk Najib Razak

Kehadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,

Saya, Muhammad Nomy Nozwir, hari ini menulis surat ini berdasarkan kenyataan anda berkenaan tentang kekalahan teruk Brazil kerana ketiadaan kepimpinan yang berkesan dalam pasukan bolasepak Samba itu.

Apabila anda bercakap begitu, mungkin anda sedang bermuhasabah diri.

Dalam masa saya tidak yakin dengan Pakatan Rakyat (PR) memerintah kerana terlalu banyak pergolakan konflik dalaman parti serta isu pemilihan dalam parti komponen PR yang tak selesai-selesai, saya juga tidak yakin dengan kepimpinan anda yang membawa negara ini ke arah terumbang-ambing.

Sejak 2009 apabila anda menerajui pentadbiran, terlalu banyak isu yang berlaku yang saya rasa anda tidak menanganinya dengan baik.

Ya, mungkin akan ada yang kata, “kalau kau pandai kau jadi la perdana menteri”, saya akui saya tidaklah berapa pandai dan cerdik dan berkelayakan menjadi perdana menteri.

Tetapi, saya tidak berminat menjadi Perdana Menteri. Tetapi, tugas perdana menteri ini sangat berkait rapat dengan rakyat marhaen seperti saya ini.

Dari isu api perkauman yang semakin marak, isu rasuah yang masih macam-macam hal, isu pembangunan yang asyik retak runtuh tenggelam pecah dan sebagainya, saya rasa anda di luar kawalan dan tidak mampu untuk mengawal keadaan di negara ini.

Setiap kali anda selaku perdana menteri dan menteri kewangan membentangkan bajet, ramai menteri, ahli akademik, penganalisis ekonomi berkata bajet yang anda bentangkan sebagai yang terbaik yang pernah dibentangkan.

Tetapi jika ia terbaik, kenapa negara ini dalam keadaan berantakan sebegini?

Saya rasa tak perlulah nak tulis angka-angka yang menunjukkan kegagalan anda dalam mengurus tadbir negara ini kerana saya rasa kalau saya tulis pun bukan mengubah keadaan pun. Cuma, keadaan boleh dirasa di mana-mana, yang rakyat tidak yakin dengan kamu.

Hatta di kalangan orang Barisan Nasional (BN) sekali, tidak yakin dengan kamu.

Saya tidak bermaksud mahu memperkecilkan mandat yang diterima BN melalui pilihan raya yang lalu, memandangkan sistem pilihan raya negara ini sudah dibentuk untuk memastikan BN akan sentiasa memerintah, maka bagi saya, carilah orang BN yang lebih berkelayakan.

Anda mempunyai menteri yang bertugas di Jabatan Perdana Menteri seperti sebuah kumpulan bolasepak, ditambah pula anda mempunyai sebuah agensi untuk menasihatkan kamu yang dinamakan Pemandu.

Jika anda mempunyai skuad yang sebegini punya ramai dan bajet sebegini punya mahal, kenapa masih banyak kerosakan berlaku dalam negara ini?

Ini macam satu bentuk pembaziran macam Manchester United beli Maruanne Fellaini.

Terus terang saya katakan, lebih ramai orang seperti saya, rakyat biasa yang tiap-tiap bulan runsing nak bayar sewa rumah, bil air dan letrik serta kos hidup yang semakin meningkat ini tidak yakin dengan kamu.

Menteri-menteri yang kamu lantik pun semuanya tidak berkaliber dan cakap merapu menyebabkan rakyat tidak lagi percaya dengan seluruh kabinet XXL kamu.

Menteri-menteri kamu ini hanyalah seperti “patung-patung tanah liat maharaja” Qin Shi Shuang, maharaja China yang mahu dikebumikan bersama seluruh bala tentera dan penasihatnya apabila dia mati.

Najib, saya tahu bahawa anda adalah penyokong Manchester United dan musim lepas apabila kelab kesayangan anda itu melantik David Moyes menjadi pengurus pasukan, kelab kesayangan anda itu terus jatuh dari menjadi juara liga, kepada pasukan yang tak layak main mana-mana kejohanan Eropah pun.

Apa Manchester United buat, mereka pecat Moyes kerana prestasi yang hambar.

Apabila anda bercakap soal ketiadaan kepimpinan yang berkesan dalam pasukan Brazil, adakah anda rasa kepimpinan anda seperti pasukan Jerman?

Adakah anda rasa kepimpinan kamu seperti Sir Alex Ferguson, pengurus pasukan kelab kesayangan kamu yang membawa Manchester United ke arah kegemilangan sejak 1990an?

Apa perasaan kamu apabila Moyes menjadikan Manchester United ini menjadi pasukan bolasepak yang hambar?

Macam tu jugalah perasaan saya dan kebanyakan rakyat Malaysia terhadap kamu.

Sekian, selamat berpuasa. – 12 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: