Tunku sengaja mahu menggunakan faktor PKM
sebagai alat tekanan politik kepada British semasa beliau merundingkan
kemerdekaan Malaya dengan kerajaan British.
FEATURE
Artikel
ini adalah Bahagian Kedua dari artikel sebelum ini bertajuk “Gerakan
kiri kemerdekaan: Sejarah yang dikaburkan” yang disiarkan pada 25 Julai
lalu.
Persoalan mengapa Parti Komunis Malaya (PKM) masih enggan meletakkan
senjata walaupun negara ini telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos
1957 sehingga kini masih kabur di mata masyarakat negara ini.
Secara tidak langsung juga, kekaburan ini memberi kelebihan politik
kepada kerajaan negara ini dengan menggambarkan kepada masyarakat bahawa
PKM telah beralih arah perjuangan menentang penjajah kepada menentang
kerajaan negara ini yang sah pula.
Keengganan PKM meletakkan senjata selepas Malaya merdeka amat berkait
rapat dengan kegagalan Rundingan Baling yang diadakan pada Disember
1955 antara PKM dan Kerajaan Malaya.
Kajian mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial
dan Kemanusiaan, UKM Dr Mohamed Salleh Lamry dalam bukunya, ‘Gerakan
kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan’ (GKMDPK) banyak menghuraikan
faktor mengapa PKM enggan meletakkan senjata setelah negara mencapai
kemerdekaan.
“Setelah berjuang dengan darah dan nyawa, tentulah tidak adil dan
munasabah, jika mereka keluar menyerah diri untuk ditahan dan disoal
siasat.
“Ini adalah antara sebab utama mengapa mereka tidak meletakkan senjata apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Dalam hal ini, Abdullah C.D menganggap bahawa pencapaian kemerdekaan
itu adalah hasil perjuangan semua rakyat selama kira-kira 450 tahun
yang bemula dengan perang patriotik oleh pembesar tradisional hinggalah
Perang Pembebasan Nasional oleh PKM.
“Akan tetapi perjuangan itu telah dirampas oleh golongan reaksioner
yang menjadi pemerintah tempatan, walaupun pemerintah tempatan itu
masih belum bebas sepenuhnya dari penguasaan British,” menurut kajian
tersebut.
Antara syarat utama perdamaian yang digariskan dalam Rundingan Baling oleh Kerajaan yang ketika itu masih di bawah penguasaan
British dalam rundingan itu ialah bekas anggota PKM akan ditahan di bawah Akta ISA untuk disoal siasat.
Sedangkan bagi Chin Peng, jika ditahan dan disoal siasat adalah sama
dengan menyerah diri bagi seseorang penjenayah sekaligus menunjukkan
perjuangan mereka menentang penjajah sebelumnya tidak diiktiraf.
Setelah mereka berkorban dan berjuang dengan mengangkat senjata untuk
menghalau penjajah dari bumi Malaya, maka bagi PKM tentulah syarat
yang dikenakan terhadap mereka itu tidak adil.
Malahan di kalangan nasionalis kiri ini juga berpendapat perjuangan
dan pengorbanan mereka jauh lebih meletihkan, sengsara dan dahsyat
berbanding apa yang dilalui perjuangan aliran perdana.
Tunku tidak mahu rundingan berjaya?
Selain itu, menurut catatan seorang tokoh wartawan di era tersebut,
Said Zahari, ‘Meniti lautan gelora: Sebuah memoir politik’ terbitan
Utusan Publications, pada 2001, Perdana Menteri yang pertama, Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj memang dari mulanya tidak mengkehendaki
Rundingan Baling itu berjaya.
“No, I am not. I never wanted it to be a success,” demikian ucap
Tunku kepada Said Zahari seperti yang dicatatkan di dalam memoir beliau
itu.
Menurut pendapat Said Zahari, Tunku sememangnya tiada niat untuk
mencapai penyelesaian politik dengan PKM kerana beliau sedar ideologi
komunis tidak akan diterima rakyat khususnya di kalangan orang-orang
Melayu.
Akan tetapi, Tunku sengaja mahu menggunakan faktor PKM sebagai alat
tekanan politik kepada British semasa beliau merundingkan kemerdekaan
Malaya dengan kerajaan British.
Sekaligus kenyataan tersebut selari dengan dakwaan bekas
pemimpin-pemimpin PKM bahawa akibat perjuangan bersenjata PKM terhadap
British, menyebabkan British terpaksa menanggung kerugian dan beban
perbelanjaan yang besar.
Oleh demikian ianya merupakan satu tekanan yang besar dan mendorong
British memberikan kemerdekaan dengan agak segera kepada bumi Malaya.
Selain itu, dalam rundingan awal sebelum Rundingan Baling diadakan,
wakil Tunku iaitu Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing
menyampaikan pesan peribadi beliau kepada Chin Peng melalui wakilnya,
Chen Tien bahawa beliau bersedia untuk berunding semula sekiranya
Rundingan Baling itu buntu.
“No matter what happens, he hopes Chin Peng will come and talk with him.
“If the first round of the talk fail to settle the problem, when he
return from London, the Tunku will continue the discussions,” demikian
mesej pesanan peribadi Tunku kepada Chin Peng.
Bagaimanapun setelah beliau pulang dari London, Tunku telah memilih
untuk tidak melayani surat Chin Peng yang mahu kembali ke meja rundingan
sepertimana yang dijanjikan oleh Tunku sendiri.
“Akan tetapi, Tunku tidak menunaikan janjinya untuk bertemu Chin Peng
setelah perundingannya dengan kerajaan British di London mencapai
kejayaan, iaitu setelah dia mendapat persetujuan daripada kerajaan
British untuk memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos,” menurut kajian itu
lagi.
Chin Peng turut mengutus surat kepada Tunku pada 12 Oktober 1957 yang
menyatakan kesediaan beliau untuk berunding semula bagi mencapai satu
persetujuan yang adil dan munasabah bagi menamatkan peperangan.
“Saya bersedia berunding semula dengan Tunku untuk mencapai
persetujuan yang adil dan munasabah bagi menamatkan perang,” demikian
menurut Chin Peng yang dipetik dari ‘Tunku Abd Rahman and his role in
the Baling Talk’ dari hasil kajian Prof Nik Anuar Nik Mahmud dari
Jabatan Sejarah UKM pada 1998.
Sekaligus keadaan ini menguatkan lagi hujah Said Zahari bahawa Tunku
tiada niat agar Rundingan Baling itu berjaya dengan menjadikan PKM
sebagai alat tekanan kepada British untuk memberikan kemerdekaan kepada
Malaya.
Ia juga menguatkan hujah para pejuang kiri yang menyatakan
penentangan bersenjata terhadap British oleh mereka telah menyebabkan
British tertekan untuk memberi kemerdekaan kepada Malaya.
“Folding up the banner and silencing the drums”
Menurut kajian Aloysius Chin dalam ‘The Communist Party of Malaya:
The inside Story’ yang diterbitkan pada 1995 menyatakan kegagalan
Rundingan Baling tersebut amatlah mengecewakan Chin Peng.
Lantaran itu Chin Peng telah mengumumkan dasar baru PKM iaitu
‘folding up the banner and silencing the drums’ yang membawa maksud
tidak meneruskan perjuangan bersenjata.
Dalam bukunya lagi, Aloysius Chin turut menyatakan PKM telah
memperkenalkan dasar ‘demobilization’ pada 1958 sekaligus membenarkan
anngotanya yang sudah tua atau tidak berminat meneruskan perjuangan
untuk meninggalkan pasukan itu.
Istimewanya buku dari hasil kajian Aloysius Chin, oleh sebab beliau
merupakan seorang pegawai tinggi Polis Cawangan Khas maka buku yang
ditulisnya itu berdasarkan data dan maklumat yang dikumpulkan oleh
cawangan khas.
Salleh Lamry dalam GKMDPK ini turut menjelaskan selepas pengunduran
PKM ke Selatan Thailand, Pengerusinya, Musa Ahmad mengarahkan pasukan
bersenjata parti komunis itu mempraktikkan dasar bertahan secara pasif
iaitu tidak membalas serangan baik dari tentera Malaya mahupun Thailand.
Malahan mereka juga tidak berundur dari serangan pihak tentera ke
kawasan lain dengan hanya menyorok sehingga serangan pihak penyerang
reda dengan sendirinya.
Bagaimanapun konsep bertahan secara pasif yang dibuat itu telah
mengakibatkan pihak mereka terpaksa menanggung banyak kemalangan jiwa
dan ini telah mendapat bantahan dari Abdullah C.D dan kader-kader PKM
lainnya.
Akhirnya untuk mempertahankan diri dari dibunuh, Rejimen ke-10, PKM
mula mengambil dasar bertahan secara aktif iaitu tidak menyerang jika
tidak diserang dan membalas serangan jika diserang.
Bagaimanapun mereka tidak hanya menunggu diserang sahaja, mereka
turut mengambil inisiatif untuk menyerang terlebih dahulu apabila
menyedari terdapatnya tentera kerajaan dalam perjalanan untuk menyerang
kedudukan mereka.
Selain itu serangan juga dijalankan bagi mematahkan ‘kempen kepung
dan basmi’ yang dijalankan tentera kerajaan secara besar- besaran serta
memakan satu tempoh masa yang panjang.
Keadaan-keadaan di atas banyak menjelaskan pendirian dan sikap anti
kolonial, bukanlah penentangan terhadap kerajaan tempatan yang diambil
PKM setelah pengunduran mereka ke Selatan Thailand dan juga selepas
kemerdekaan Malaya.
Cuma sikap keras penentangan mereka terhadap penjajahan British
dengan kekerasan dengan bermandi darah dan ideologi komunis yang
didukung mereka tidak dapat dikongsi oleh Kerajaan Malaya dan
masyarakat negara ini secara umumnya dan khususnya bagi masyarakat
Melayu.
Dr Salleh Lamry dalam kesimpulannya turut mencatatkan “meskipun
mereka berjuang di luar arus perdana dan kini dianggap sebagai pihak
yang kalah, tetapi mereka telah mengambil tempat yang penting dan tidak
boleh dinafikan dalam sejarah tanah air…
“Oleh itu samada kita bersetuju atau tidak dengan perjuangan mereka,
perjuangan mereka itu tetaplah merupakan satu episod penting dalam
sejarah tanah air dan memang telah tercatat dalam buku-buku sejarah.
“Hanya barangkali, yang tidak wajar ialah, perjuangan mereka itu
telah diberi gambaran yang sangat negatif, iaitu sebagai perjuangan
pengganas, penjahat, pengkhianat dan sebagainya yang dianggap mengancam
keselamatan negara dan bukan sebagai perjuangan untuk mencapai
kemerdekaan,” menurutnya.
Akan datang (Bahagian 3): Menyingkap sebalik takbir kejayaan Rundingan Haadyai.