02 Okt 2008 - Cindian
Penyertaan Hindraf di rumah terbuka PM di PWTC dan Kepala Batas telah pun dimaklumkan kepada PM secara rasmi dengan surat yang dihantar oleh aktivis Hindraf ke Jabatan Perdana Menteri seminggu sebelum menjelang Syawal.
Secara lazimnya, rakyat akan berpeluang untuk bertentang mata dan membisik sepatah dua kepada PM sambil bersalaman dan bermaaf-maafan ketika rumah terbuka Aidilfitri.
Seperti yang kita semua sedia maklum, PM telah sentiasa mengelak untuk berjumpa dan mendengar luahan Hindraf selama ini. Beliau terpaksa akur dan terima hakikat bahawa terpaksa berdepan dan bersalaman dengan aktivis dan penyokong Hindraf dalam majlis rumah terbuka kerana sebagai salah seorang rakyat kami juga berhak bertentang mata dan bersalam dengannya.
Saya, sebagai salah seorang penyokong Hindraf, tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dan bersalam dengan pemimpin nombor satu negara. Seterusnya ingin 'bisikan' luahan saya sebagai salah seorang rakyat dibawah pemerintahannya.
Aktivis dan penyokong Hindraf mula berkumpul di perkarangan PWTC seawal 10.30 pagi pada hari pertama Syawal, 1hb Okt 2008. Lebih kurang pukul 11..30 pagi, kami mula memasuki pintu dan beratur bersama ribuan rakyat lain seperti yang diarahkan oleh pegawai keselamatan yang menjaga pintu di sana.
Turut kelihatan sekumpulan penyokong YM Raja Petra yang berkemeja-T bertulisan "I'm with RPK" dan "Say no to ISA".
Setelah lebih 1 jam kami beratur mengikut arahan pegawai keselamatan di pintu masuk, kami dapati kami telah sampai ke ruang dewan di mana makanan dihidangkan namun bukan makanan yang kami cari. Maksudnya kami telah diarah ke tujuan yang salah. Dengan hati yang cekal dan bersemangat tinggi, kami terpaksa keluar dan teruskan mencari laluan yang betul agar dapat bertemu dan bersalam dengan PM.
Atas arahan dan penunjuk beberapa pegawai PWTC yang bertugas di sana, kami sampai ke pintu masuk utama dan pada mulanya kami dihalang dari memasukinya oleh pegawai keselamatan PWTC. Setelah seberapa minit, kami dibenarkan masuk namun dihalang dan disekat pula oleh sekumpulan anggota polis setelah menghampiri pintu masuk Dewan Merdeka.
Mereka (pihak polis) cuba merampas kad Hari Raya yang dibawa oleh kanak Hindraf dan ini menghakibatkan pergelutan kecil antara kami dan pihak polis namun kami sentiasa bersabar dan mempertahankan niat kami untuk bersama rakyat lain yang mampu berjumpa dan bersalam dengan PM. Namun seperti biasa, keterlaluan pihak polis telah menghakibatkan Kad Hari Raya tersebut terkoyak dan terkedut. Tidak mengapa sebab yang terkedut hanyalah Kad Raya dan bukannya semangat kami.
Apabila sedar mata kemera para pemberita sedang memancar cahaya flash tanpa henti ke arah kami, pihak polis mula kembali aman, kami diminta agar bersabar dan dijanjikan akan dibenarkan untuk meneruskan hasrat kami.
Setelah hampir 30 minit, sebilangan kecil dari kami dibenarkan memasuki Dewan Merdeka dan yang selebihnya diarahkan menunggu dan kami pun menurut sahaja dengan penuh kesabaran. Setelah hampir 1 jam menunggu, pihak polis dan pegawai keselamatan memberi laluan kepada kami.
Akhirnya, kami, terutamanya saya hanya dapat bertemu dan bersalam dengan TPM, Najib Tun Razak. Najib pun Najib lah.. saya hampiri TPM dan bersalam dengannya lalu membisik "Salamat Hari Raya, BEBASKAN HINDRAF5", tiba-tiba ada tangan-tangan dari belakang saya mula menarik dan paksa saya meneruskan perjalanan memasuki dewan makan.
Kami bukan untuk menjamu juadah mahupun menikmati hidangan raya yang disajikan. Tujuan kami, terutamanya saya, telah selesai biarpun bisikan saya bukan kepada PM. Seterusnya kami turun dan berkumpul kembali di perkarangan PWTC sebelum bersurai secara aman.
"Yup.. saya telah lakukan dan kami telah lakukan". Saya dan kami telah menyampaikan suara rakyat, suara Makkal Sakthi mungkin kali pertama kedengaran di telinga PM mahupun TPM". Syabas kepada semua yang berjaya lakukannya termasuk mereka-mereka yang membisiknya secara persendirian tanpa bersama gelombang Oren, Hindraf Makkal Sakthi.
Apabila saya membaca dan mendengar berita, seperti biasa fakta sebenar diputar belitkan agar ianya memihak kepada mereka. Kami sudah biasa dengan propaganda sebegini yang pasti bukan sesuatu yang baru di dalam negara yang msih mengamalkan hukum rimba dan kezaliman ISA untuk menutup suara-suara yang lantang menuntut hak dan kebenaran.
Ada juga dikalangan pemimpin Umno yang tidak mahu melepaskan publisiti murahan dengan mengkritik kehadiran Hindraf di rumah terbuka PM kononnya untuk serahkan memorandom sepertimana tertulis di The Star Online .
Memang ada kebenaran disebalik kata-kata Menteri Besar Selangor bahawa "ramai pemimpin BN harus kembali ke sekolah untuk belajar", sebab mereka masih tidak dapat memperbezakan antara Kad Hari Raya dan Memorandom. Apapun kritikan mereka dengan kerjasama pihak media yang telah lama mengagungkan segala kezaliman pihak pemerintah terhadap rakyatnya, sudah pasti tidak akan menghalang tujuan dan laluan saya ke Kepala Batas pada 4hb ini jika diizinkan tuhan yang maha berkuasa. Semoga niat saya untuk bertentang mata dengan PM akan menjadi realiti dengan mengemakan bisikan "bebaskan peguam-peguam Hindraf, RPK dan semua tahanan ISA" di telinga PM. Semoga PM akan berani berdepan dan sambut salam kami di Kepala Batas pada 4 hb ini.
Kami berkumpul secara aman, bertemu PM/TPM secara aman dan bersuai secara aman. Saya sebagai saksi dan salah seorang rakyat yang bersama gelombang Oren Hindraf Makkal Sakthi ingin menegaskan di sini bahawa tiada sekalipun kami membuat kecoh mahupun menjeritkan apa-apa slogan mahupun meninggikan suara sepanjang kami berada di dalam bangunan PWTC bersama para hadiran yang lain.
Vaalge Hindraf Makkal Sakthi
"Inbame Soolge.. Yellorum Vaalge"