Konsep “dharma” merujuk pada himpunan ajaran yang membimbing seseorang individu menjadi insan yang berhemah.
COMMENT By Uthaya Sankar SB
Seorang
individu yang menghayati konsep “dharma” pasti tidak akan melakukan
apa-apa perkara yang bertentangan dengan nilai dalam keluarga, kod etika
pekerjaan dan norma dalam masyarakat.
Pemahaman, penghayatan dan kepatuhan kaum India terhadap segala
ajaran yang terkandung dalam teks-teks berkaitan ‘Dharmasastra’ mampu
menyumbang ke arah usaha mengatasi pelbagai masalah dalam masyarakat.
Seperti yang saya huraikan minggu lalu, konsep “dharma” dalam budaya
India bukan tuntutan agama Hindu semata-mata. Sebaliknya, memandangkan
ajaran agama Hindu dan ajaran Dharmasastra sama-sama membimbing manusia
ke arah kebaikan, maka ramai yang berpandangan bahawa Dharmasastra
adalah sebahagian daripada konsep keagamaan Hindu.
Pada waktu sama, ajaran agama Hindu turut digelar Sanatana Dharma
iaitu “agama yang abadi” atau “agama yang tiada permulaan dan tiada
kesudahan”. Satu lagi gelaran yang digunakan adalah Vaidika Dharma iaitu
“agama menurut kitab-kitab veda”.
Namun, sebenarnya, konsep “dharma” tidak terikat pada ajaran
satu-satu agama. Sebaliknya, ajaran “dharma” secara langsung atau tidak
langsung diterapkan juga dalam ajaran mana-mana agama utama dunia.
Hal ini tidaklah menghairankan kerana setiap agama memang membimbing
para penganut ke arah “dharma”. Kebenaran hakikat ini akan diperakui
sekiranya setiap individu memahami ajaran sebenar agama anutan
masing-masing.
Konsep “dharma” merujuk pada himpunan ajaran, peraturan, moral, nilai
murni, etika, norma, tanggungjawab, hak dan sebagainya yang membimbing
seseorang individu menjadi insan yang berhemah dalam keluarga dan
masyarakat.
Dalam budaya India, himpunan “dharma” ini dikategorikan sebagai
Dharmasastra iaitu teks-teks yang mengandungi ajaran mengenai “dharma”.
Topik-topik yang dibicarakan dalam teks Dharmasastra terbahagi pada tiga
kumpulan utama iaitu acara, vyavahara dan prayascitta.
Konsep ‘acara’ merujuk pada tingkah-laku umum serta nilai-nilai murni
yang menjadi amalan serta pegangan seseorang. Setiap individu perlu
memelihara diri secara zahir dan batin supaya dapat menjalani hidup yang
sempurna dan bersih daripada sebarang noda.
Dalam budaya India, kemajuan dan kesejahteraan hidup seorang individu
bukan hanya dipandang dari aspek duniawi (abhyudaya). Sebaliknya, aspek
kebajikan spiritual dan rohani (nissreyasa) turut diberi perhatian.
Kod etika
Untuk
mencapai kesejahteraan dari aspek duniawi dan rohani, seorang individu
dikatakan perlu patuh pada ‘acara’ iaitu semacam kod etika dalam
kehidupan seharian.
Sumber bagi kod etika yang disebutkan ini diambil daripada ajaran
yang terkandung dalam veda, dharmasutra, smrti, nibandha, purana dan
epik. Saya pernah menghuraikan perkara ini menerusi sebuah makalah di
majalah Dewan Budaya (Oktober 2004).
Veda adalah kitab suci yang menjadi panduan dalam kehidupan
masyarakat India beragama Hindu. Dharmasutra pula koleksi teks-teks yang
ditulis kemudian untuk menyampaikan ajaran veda secara lebih mudah.
Memandangkan karya-karya dharmasutra masih sukar difahami dan
diingat, para pemikir agung pada masa lampau telah menghasilkan smrti
yang mengungkapkan konsep “dharma” dengan bahasa yang mudah dan
berirama.
Nibandha merujuk pada ensiklopedia atau teks-teks rujukan mengenai
“dharma” yang disusun secara penuh sistematik. Manakala purana merujuk
pada cerita-cerita mengenai dewa-dewi yang menerapkan ajaran “dharma”.
Amalan positif berdasarkan kod etika (sadacara) menyumbang kepada
kehidupan yang bahagia; manakala pelanggaran kod etika (duracara)
mengakibatkan kesengsaraan dan kedukaan.
Kod etika atau ‘acara’ yang ditegaskan di atas meliputi diri individu
terbabit, hubungannya dengan keluarga serta hubungan dengan Tuhan.
Tanggungjawab melayan tetamu turut dijelaskan dalam kod etika ini dan
ternyata masih sesuai dijadikan pegangan.
Secara umum, ‘vyavahara’ merujuk pada tingkah laku dalam masyarakat
atau norma dalam hidup bermasyarakat. Secara lebih khusus, vyavahara
turut melibatkan perihal undang-undang sivil dan undang-undang jenayah.
Sebanyak 18 perkara utama dibicarakan dalam bahagian ini. Antaranya
adalah isu berkaitan hutang, perkongsian dalam perniagaan, melanggar
surat perjanjian, urusan jual-beli, perbalahan antara majikan dan
pekerja, perselisihan mengenai persempadanan, serangan, rompakan,
menculik wanita, hubungan suami-isteri serta pembahagian harta.
Mungkin sukar dipercayai tetapi hakikatnya adalah bahawa
perkara-perkara di atas memang sudah diperkatakan dalam ‘Dharmasastra’
yang ditulis ribuan tahun dahulu di India.
Bagi mempastikan kestabilan dan keseimbangan dalam masyarakat
berkekalan serta untuk memastikan norma (norms) dipatuhi, istana menjadi
dewan perundangan. Raja yang bertindak sebagai hakim akan dibantu oleh
sejumlah penasihat yang berilmu dan disegani. Demikian cara “dharma”
dipelihara, dipegang dan dipertahankan pada masa lalu.
Konsep “dharma” dalam budaya India sejak ribuan tahun dahulu tidak
pernah menafikan hakikat bahawa manusia tidak terlepas daripada
melakukan kesilapan. Maka, mengikut konsep ‘prayascitta’, individu yang
melakukan kesalahan perlu diberi peluang untuk menebus dosa dan
bertaubat.
Dosa besar
Istilah
‘prayascitta’ merujuk pada perbuatan menebus dosa atau bertaubat. Dalam
teks-teks Dharmasastra, diterangkan jenis-jenis dosa atau perbuatan
yang melanggar kod etika (vyavahara) serta apa yang perlu dilakukan
untuk menebus dosa berkenaan.
Pelanggaran kod etika atau perbuatan dosa disebut ‘pataka’. Terdapat dosa besar (mahapataka) dan dosa kecil (upapataka).
Contoh dosa besar dalam budaya India adalah meminum arak, membunuh
dan sumbang mahram. Antara dosa kecil pula perbuatan tidak membayar
hutang, menebang pokok, membunuh binatang dan mencuri.
Hukuman yang dikenakan (prayascitta) pasti berbeza antara dosa besar
dan dosa kecil. Terdapat banyak saranan hukuman dan denda yang
diterangkan dalam Dharmasastra secara terperinci.
Antara hukuman yang biasa bagi dosa-dosa kecil adalah berpuasa,
memberi hadiah, melakukan upacara pemujaan khas dan memohon maaf. Bagi
dosa besar pula, hukuman mati mungkin dikenakan; atau pesalah diminta
membunuh diri.
Mungkin ada perkara yang terkandung dalam konsep “dharma” kurang
sesuai dengan masa kini. Malah, para pemikir agung yang menghasilkan
teks-teks Dharmasastra ribuan tahun lalu sudah menegaskan bahawa
mana-mana peraturan atau “dharma” yang kurang relevan harus diubah suai
mengikut peredaran zaman.
Konsep “dharma” dalam budaya India menyedari serta mengakui bahawa
norma dalam masyarakat adalah tidak statik. Sebaliknya, ia sentiasa
mengalami perubahan dan bersifat progresif. Malah, membuktikan bahawa
“dharma” hidup sepanjang zaman.
Apa yang cukup mengkagumkan adalah bahawa kebanyakan ajaran dalam
Dharmasastra masih sesuai dijadikan amalan. Apatah lagi, konsep “dharma”
menekankan aspek nilai murni, keharmonian keluarga, norma dalam
masyarakat, etika, tanggangjawab dan hak individu.
Saya pernah bertugas sebagai pensyarah subjek Pendidikan Moral di
beberapa kolej swasta (1999-2007) dan perkara-perkara yang terkandung
dalam konsep “dharma” masih terdapat dalam sukatan pelajaran – secara
langsung atau tidak langsung.
Konsep “dharma” bukan hanya dibicarakan oleh masyarakat India
beragama Hindu. Konsep yang sama turut terdapat dalam ajaran agama
Buddha. Malah, konsep “dharma” terdapat dalam semua masyarakat yang
mengakui kelompoknya bertamadun.
Walaupun mungkin istilah “dharma” tidak digunakan sebagai rujukan,
sesungguhnya konsep “dharma” seperti yang diterangkan ini terus menjadi
amalan dalam masyarakat India khasnya dan masyarakat seluruh dunia
amnya.
Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com dan boleh dihubungi melalui e-mel uthayasb@yahoo.com.my