Selain
daripada diri saya sendiri, saya mendapat maklum terdapat
sekurang-kurangnya dua lagi pihak yang pernah menemui Perdana Menteri,
YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak (PM Najib), bertujuan menyarankan
supaya sesuatu tindakan diambil terhadap Gani Patail dan Musa Hassan.
Ini memandangkan salahlaku jenayah yang telah mereka lakukan, adalah
sangat ketara dan telah membebankan Negara, selain daripada memusnahkan
kepercayaan Rakyat terhadap Institusi-Institusi Kerajaan.
Mat Zain bin Ibrahim,
Kepada,
YDH Tan Sri Ismail bin Haji Omar, IG,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
12hb.September 2011,
Assalamualaikum wbt.
KENYATAAN TERTUDUH-BENARKAH ANWAR DIANIAYA
1.
Beberapa pihak telah memberikan pendapat berkaitan tindakan Dato Seri
Anwar Ibrahim (Anwar) membuat kenyataan pembelaan diri dalam perbicaraan
kes Sodomy II dari kandang tertuduh pada 22.08.2011 yang lalu. Setiap
seorang termasuk saya,adalah berhak keatas pendapat masing-masing.
2.
Membuat kenyataan dari kandang tertuduh( Kenyataan Tertuduh) adalah
salah satu dari tiga opsyen yang dibenarkan olih undang-undang kepada
seorang Tertuduh. Olih yang demikian, tidak timbul sama ada Anwar telah
melakukan suatu kesalahan dari sudut undang-undang atau sebaliknya.
Beliau pasti telah diberi nasihat berkaitan konsekuen atau faedahnya
memilih opsyen tersebut.
3. Pada pendapat saya, perkara yang
sepatutnya dititikberatkan ialah samada ada keseluruhan kandungan
Kenyataan Tertuduh itu adalah benar atau terdapat diantaranya, penegasan
yang direka atau palsu. Kedapatan Anwar turut membuat dakwaan salahlaku
jenayah yang spesifik, terhadap beberapa individu yang dinamakan dengan
jelas. Apa pun opsyen yang dipilih, beliau telah mengemukakan kenyataan
tersebut dihadapan seorang Hakim dalam suatu prosiding terbuka. Anwar
tetap tertakluk kepada pendakwaan jenayah, sekiranya beliau dibuktikan
telah membuat kenyataan yang direka atau palsu.
4. Dalam mengulas
isu ini,saya memilih untuk menumpukan perhatian kepada beberapa
perenggan Kenyataan Tertuduh seperti berikut:-
4.1. Dakwaan
spesifik terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail(Gani Patail),Tan Sri Musa
Hassan (Musa Hassan) dan Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden (Yusof) dalam
peristiwa tahun 1998. Khususnya berkaitan mereka atau memberi keterangan
palsu serta dakwaan “cover-up” dalam penyiasatan melibatkan Anwar.
Termasuk tetapi tidak terhad kepada insiden mata-lebam.
4.2. Dakwaan berkaitan keterangan Forensik dan DNA.
4.3. Dakwaan keterlibatan dan salahguna kuasa mantan Perdana Menteri dalam penyiasatan melibatkan Anwar.
5.
Saya mendapati hampir keseluruhan Kenyataan Tertuduh itu adalah
merupakan “kenyataan ulangan untuk menyegarkan ingatan”.Dakwaan-dakwaan
yang Anwar lontarkan terhadap mantan Perdana Menteri Y.A.Bhg. Tun
Mahathir Mohamed, Gani Patail, Musa Hassan dan beberapa yang lain,
termasuk terhadap Jabatan Peguam Negara dan Polis, bukanlah perkara
baru.Beliau pernah membuat kenyataan secara rasmi pada 3.3.1999 ketika
prosiding Suruhanjaya Di-Raja siasatan insiden mata-lebam
diadakan.Bagaimanapun dakwaan-dakwaan berkenaan tidak dicabar olih
mana-mana pihak, walaupun daripada Gani Patail atau Musa Hassan sendiri.
5.1.
Selanjutnya,dakwaan salahlaku jenayah secara lebih spesifik terhadap
Gani Patail,Musa Hassan dan Yusof telah beliau kemukakan kepada Mahkamah
dalam beberapa afidavit yang telah difailkan sejak 2008 ketika
perbicaraan masih diperingkat Mahkamah Sesyen lagi.
5.2. Selain
afidavit, Anwar juga telah membuat beberapa laporan Polis terhadap Gani
Patail,Musa Hassan serta beberapa Timbalan Pendakwa
Raya.Laporan-laporan berkenaan kesemuanya berkisar kepada dakwaan mereka
keterangan atau membuat afidavit palsu.
6. Olih hal yang
demikian, isu beliau membuat Kenyataan Tertuduh sedemikian, sebagai
helah untuk mengelakkan diri daripada disoal balas olih Pasukan
Pendakwaan, pada pendapat saya tidak tepat untuk dipersoalkan.
6.1.
Malahan,Pasukan Pendakwaan atau sesiapa juga yang telah didakwa dalam
afidavit atau laporan Polis berkenaan, bolih membuat aduan terhadap
Anwar jika terbukti beliau telah mengikrarkan afidavit atau membuat
laporan Polis palsu.Bagaimanapun sejak 1998 lagi, Gani Patail dan Musa
Hassan tidak mengambil tindakan sedemikian.
7. Peraturan Mahkamah
Tinggi berkaitan penegasan dalam sesuatu afidavit adalah jelas. Banyak
case laws yang bolih dijadikan teladan. Antaranya dalam kes Sunrise
Sdn.Bhd. vs First People (M) Sdn.Bhd & Anor [1996] 3 MLJ
533.Hakikatnya telah diterima olih Mahkamah bahawa, mana-mana penegasan
mustahak dalam afidavit yang tidak dijawab atau dicabar hendaklah
dianggap sebagai telah diakui kenyataan yang benar.
7.1. Contoh
semasa yang terbaik ialah; dalam kes bunuh Altantuya Shaariibuu,
bilamana Hakim telah membebaskan seorang tertuduh Abdul Razak Baginda
tanpa dipanggil membela diri, semata-mata bersandarkan afidavit Razak
yang tidak dicabar olih Pendakwa Raya.
GANI PATAIL DAN MUSA HASSAN
8.
Berbalik kepada dakwaan-dakwaan spesifik terhadap beberapa individu
dalam Kenyataan Tertuduh tersebut, kesimpulan saya adalah seperti
berikut;
8.1. Dakwaan bahawa Gani Patail pada 26.10.1998 telah
mengarahkan seorang Dr. Abdul Rahman Yusof (Dr. Rahman) untuk
menyediakan satu laporan Forensik palsu berkaitan kecederaan yang Anwar
alami dalam insiden mata lebam itu adalah betul.
Pemalsuan ini
telah disusuli dengan 2 lagi pemalsuan olih Dr. Rahman yang dikatakan
telah diarahkan sendiri olih Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam
Negara ketika itu, dalam bulan Disember 1998.
8.2. Dakwaan bahawa
Musa Hassan telah bersubahat dengan memberi kemudahan kepada Gani
Patail dan Dr.Rahman menyempurnakan pemalsuan-pemalsuan tersebut diatas
juga adalah betul.
8.3. Fakta bahawa 2 (dua) daripada 3 (tiga)
laporan forensic palsu tersebut telah dikemukakan dalam prosiding
Suruhanjaya Di-Raja insiden mata-lebam yang bersidang diantara 22.2.1999
hingga 4.3.1999, juga adalah betul.
9. Apapun keadaannya,
keujudan 3 laporan forensik olih Dr.Rahman itu sendiri, merupakan
keterangan yang kukuh bagi membuktikan berlakunya perbuatan mereka
keterangan palsu terhadap Anwar.Saya menekankan bahawa keterangan ini
adalah lebih konklusif daripada keterangan DNA.
YUSOF
10.
Dakwaan bahawa Yusof mengetahui keujudan ketiga-tiga laporan palsu
tersebut dan penggunaanya dalam prosiding Suruhanjaya diatas, dalam
sifat beliau sebagai wakil Peguam Negara sepanjang prosiding berkenaan,
adalah berasas dan dipercayai betul.
10.1. Yusof sewajarnya
mengistiharkan kepada Mahkamah, sama ada posisi beliau sebagai Ketua
Pasukan Pendakwaan kes Sodomi II berada dalam konflik dengan posisi
beliau sebagai wakil Peguam Negara dalam prosiding Suruhanjaya
mata-lebam. Situasi ini timbul, memandangkan isu Gani Patail dan Musa
Hassan memalsukan keterangan dan menggunakannya dalam prosiding
Suruhanjaya itu telah dibangkitkan sejak 1.7.2008.Ini disusuli pula
dengan dakwaan menerusi afidavit-afidavit dalam pembicaraan Sodomi II.
Yusof sendiri turut ditohmahkan sebagai telah menyembunyikan keterangan
salahlaku jenayah Gani Patail dan Musa Hassan.
10.2. Hakikatnya
tidak dapat dinafikan bahawa Yusof adalah seorang saksi yang mustahak
kepada dakwaan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan Musa Hassan
yang telah dilaporkan olih Anwar pada 1.7.2008 itu, manakala pada masa
yang sama juga, Yusof adalah Ketua Pasukan Pendakwaan dalam perbicaraan
Sodomy II terhadap Anwar.
10.3. Yusof hanya perlu untuk
mengesahkan sama ada benar atau tidak ujud 3 laporan forensic yang
disediakan olih Dr. Rahman diatas arahan Gani Patail dan Peguam Negara
dalam penyiasatan insiden mata-lebam itu. Yang lainnya adalah untuk
Mahkamah memutuskan.
KETERANGAN FORENSIK DAN DNA
11.
Dakwaan menerusi afidavit menyatakan Musa Hassan dan SAC Datuk Mohamad
Rodwan Yusof (Rodwan) cuba mengambil tanpa kebenaran (“mencuri”) sample
darah Anwar, daripada simpanan / kawalan seorang Dr.Zahari Noor pada
15.10.1998 untuk kegunaan ujian DNA adalah dipercayai betul. Dr.Zahari
sendiri telah memberikan keterangan kearah demikian pada 30.12.1998
ketika perbicaraan Anwar dalam kes salahguna kuasa dihadapan Hakim Dato
Augustine Paul (mendiang).
11.1. Setidak-tidaknya, Musa Hassan
masih terhutang kepada rakyat jelata, untuk menjelaskan apakah
keterangan yang beliau ada ketika memberi taklimat kepada Tun Mahathir
,sehinggakan mantan Perdana Menteri itu begitu yakin untuk mempercayai
Anwar terlibat dengan aktibiti seks luar nikah dan homosexsual. Manakala
beberapa bulan selepas itu pula, Musa Hassan terdesak untuk
mengumpulkan keterangan lanjut berkaitan DNA, sehingga terpaksa mencuri
sample darah tersebut.Walhal pada ketika itu, Anwar telahpun dituduh
di-Mahkamah dan sedang menunggu tarikh perbicaraan. Sepatutnya proses
pengumpulan keterangan asas telah selesai.
11.2. Musa Hassan juga
patut jelaskan samada tindakan “mencuri” sample darah sebelum
perbicaraan kes dimulakan itu, adalah dalam pengetahuan dan direstui
olih Tun Mahathir atau sebaliknya. Ataupun tindakan itu adalah diatas
inisiatif beliau sendiri semata-mata untuk menjustifikasikan taklimat
meyakinkan yang beliau beri kepada Tun Mahathir beberapa bulan sebelum
itu.
11.2.1.Fakta bahawa Musa Hassan telah menemui Dr. Zahari
berkaitan sample darah Anwar untuk tujuan DNA pada 15.10.1998 itu
sahaja, sudah memadai untuk membuat kesimpulan bahawa Musa Hassan TIDAK
mempunyai keterangan yang lengkap ketika mentaklimatkan Tun Mahathir
berkaitan Anwar beberapa lama sebelum itu.
11.2.2.Sila rujuk
laporan lengkap dalam “surat tertutup” saya bertarikh 27.12.2010
dialamatkan kepada Tan Sri KPN, Solicitor General dan YAB Perdana
Menteri berkaitan pemalsuan DNA ini.
DAKWAAN KETERLIBATAN TUN MAHATHIR
12.
Menerusi Kenyataan Tertuduh dan afidavit-afidavit yang Anwar telah
failkan sebelumnya,beliau telah mendakwa pada tahun 1998 Tun Mahathir
telah menyalahgunakan kuasa beliau dalam memberi tekanan keatas Jabatan
Kehakiman, Peguam Negara dan Polis sehingga mendapatkan beliau (Anwar)
disabitkan dengan kesalahan yang beliau tidak pernah lakukan dan
dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 15 tahun.
12.1. Saya
menegaskan bahawa Anwar TIDAK mempunyai keterangan untuk mengaitkan Tun
Mahathir dengan tindakan Gani Patail dan Musa Hassan dalam perbuatan
merekacipta atau memberi keterangan palsu terhadap beliau (Anwar).
12.2.
Sebaliknya, saya wajar menyatakan bahawa mengikut rekod rasmi dan apa
yang tercatit diatas kertas dalam fail siasatan Polis, Tun Mahathir yang
telah memberi nasihat dan amaran keras supaya tidak ada sebarang
“cover-up” dilakukan dalam penyiasatan kes-kes melibatkan Anwar.
12.3.
Nasihat dan amaran Tun Mahathir sedemikian itu telah saya rakamkan
dalam diari penyiasatan kes mata-lebam pada 8.10.1998 setelah saya
menemui beliau di-Jabatan Perdana Menteri yang dipanggil memberi
taklimat kemajuan siasatan Polis dalam kes tersebut.
12.4. Nasihat
dan arahan tersebut telah disampaikan kepada pucuk pimpinan tertinggi
PDRM pada hari yang sama dan kepada Gani Patail dua hari
kemudian.Laporan secara bertulis menerusi kertas siasatan kes,
disampaikan kepada Gani Patail pada 15.10.1998 yang diakui penerimaannya
secara rasmi.
13. Olih yang demikian,berdasarkan keterangan yang
ada,saya menegaskan, segala penipuan dan pemalsuan keatas Anwar telah
dilakukan olih Gani Patail dan Musa Hassan dengan kehendak mereka
sendiri untuk faedah masing-masing,melainkan mereka berdua bolih
membuktikan terdapat ada pihak ketiga yang terlibat.
MENGENAI SABITAN SALAH DAN HUKUMAN PENJARA 15 TAHUN
14.
Sejak 1998 lagi, Anwar secara konsisten mengekalkan pengakuan tidak
bersalah sambil mendakwa, bahawa pertuduhan-pertuduhan salahguna kuasa
dan liwat yang dikenakan terhadapnya adalah pertuduhan palsu dan berniat
jahat dan suatu konspirasi nekad, untuk memusnahkan kerjaya
poliktiknya. Beliau turut mendakwa bahawa sabitan salah dan hukuman
penjara 15 tahun yang dijatuhkan keatas diri beliau adalah suatu
penganiayaan pihak Pemerintah keatas diri dan keluarga beliau.
15.
Berdasarkan kepada keterangan dokumentari dan peristiwa-peistiwa
penipuan dan pemalsuan yang dilakukan keatas diri beliau, yang bolih dan
mampu dibuktikan, maka saya menyatakan bahawa dakwaan Anwar sedemikian
itu adalah berasas dan mempunyai meritnya yang tersendiri.
15.1.
Perbuatan “mencuri” sample darah Anwar untuk tujuan DNA olih Musa Hassan
dan Rodwan telah dilakukan pada 15.10.1998. Manakala pemalsuan
keterangan Forensic olih Dr.Rahman pula dilakukan pada 26.10.1998.
Kedua-dua peristiwa yang berlaku, adalah diatas arahan dan
atau/penyeliaan Gani Patail yang disempurnakan sebagai persediaan untuk
keterangan tersebut digunakan terhadap Anwar, sebelum perbicaraan kes
salahguna kuasa terhadap beliau dimulakan pada 2.11.1998.
15.2.
Tanpa perlu mengulangi secara detail peristiwa diatas,saya menyatakan
bahawa kedua-dua kejadian tersebut adalah antara beberapa keterangan
kukuh untuk membuktikan keujudan niat jahat (mala fide) dan sikap bias
Gani Patail dan Musa Hassan dalam penyiasatan dan pendakwaan kes ini.
15.3.
Walaupun Hakim mendiang Dato Augustine Paul menolak (expunged)
keterangan DNA akibat penjelasan yang menimbulkan kecurigaan daripada
Ahli Kimia Encik Lim Kong Boon, tidak bermakna bahawa perbuatan
“mencuri” sample darah bagi tujuan DNA dan mereka keterangan palsu dalam
perkara ini, terbatal sama sekali. Malah ianya mengukuhkan lagi
dakwaan-dakwaan bahawa sample darah yang dicuri dari kawalan Dr.Zahari
itu telah ditanam (planted) diatas “tilam masyhor” yang diusung
turun-naik Mahkamah ketika perbicaraan.
15.4. Perbuatan Musa
Hassan memberi keterangan palsu (“perjury”) dalam perbicaraan kes
salahguna kuasa terhadap Anwar, tiba-tiba terbongkar, apabila keterangan
beliau berikan sendiri sebagai saksi PW75 dalam perbicaraan Kes
Pendakwa Raya vs Ramli Yusuff di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu,
dibandingkan dengan keterangan yang beliau berikan dalam kes salahguna
kuasa terhadap Anwar tahun 1998. Seorang Ahli Parlimen telah membuat
laporan Polis terhadap Musa Hassan kerana melakukan kesalahan “perjury”
ini dalam bulan Mac 2010, tetapi penyiasatannya disenyapkan begitu
sahaja.
Analogi
16 Jika Musa Hassan dan
Rodwan tidak pernah menemui Dr.Zahari berkaitan sample darah Anwar
seperti yang dinyatakan diatas, maka Dr. Zahari Noor tidak akan
memberikan keterangan sedemikian dalam perbicaraan kes salahguna kuasa
terhadap Anwar dalam bulan Disember 1998. Rodwan juga tidak akan
menyebut perkara DNA ini tanpa sebab dalam percakapan yang dirakamkan
darinya pada 1.10.1998.
16.1. Jika Musa Hassan sememangnya seorang
yang jujur, termasuk apabila memberi keterangan bersumpah,maka Hakim
Supang Lian dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tidak akan melabelkan
beliau sebagai seorang saksi yang tidak bolih dipercayai, dan
kesaksiannya juga ditolak. Walhal beliau adalah seorang Ketua Polis
Negara dan memakai pakaian seragam lengkap ketika memberikan keterangan
tersebut. Pendek kata Hakim Supang Lian tidak akan membuat komen
sedemikian melainkan beliau mempunyai keterangan yang kukuh.
16.2.
Jika Musa Hassan tidak ada memberi keterangan palsu ketika perbicaraan
kes salahguna kuasa terhadap Anwar, dihadapan Hakim mendiang Dato
Augustine Paul dalam tahun 1998, maka tidak akan ujud nota keterangan
sedemikian yang bolih dibandingkan pula dengan nota keterangan beliau
di-Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu sebelas tahun kemudian.
16.3.
Jika Musa Hassan tidak pernah memberi kemudahan dan membantu Gani Patail
dalam membuat dan mereka keterangan-keterangan palsu dalam penyiasatan
insiden mata-lebam tahun 1998, maka saya sendiri tidak akan merakamkan
dalam diari penyiasatan saya ketika itu, mengenai peranan dan
penglibatan beliau dan Gani Patail dalam salahlaku jenayah ini.
Memoirs
17.
Jika Musa Hassan telah berjaya meyakinkan Tun Mahathir untuk
mempercayai Anwar terlibat dalam aktibiti homosexsual,lantas beliau
dipecat dan dikenakan beberapa pertuduhan jenayah sehingga disabitkan
kesalahan dan dipenjarakan, maka nota keterangan Musa Hassan berikan
dalam perbicaraan salahguna kuasa terhadap Anwar itu sendiri, akhirnya
telah membongkarkan segala pemalsuan dan penipuan lampau yang Musa
Hassan telah lakukan.
17.1. Begitu juga apa yang berlaku keatas
Gani Patail. Sungguhpun beliau berjaya meyakinkan Tun Mahathir dan
Jemaah Menteri ketika itu,dengan memperkecilkan hasil penyiasatan Polis
terhadap insiden mata-lebam, sehinggakan Jemaah Menteri percaya bahawa
PDRM tidak telus dan professional dalam tugas mereka,lantas menubuhkan
Suruhanjaya Di-Raja penyiasatan pula. Maka keterangan-keterangan yang
terkandung dalam laporan Suruhanjaya itu sendiri,akhirnya telah
mengesahkan segala pemalsuan dan penipuan yang Gani Patail telah
lakukan.
17.2. Tanpa diduga 13 tahun kemudian,Tun Mahathir telah
mengeluarkan memoirs beliau dalam “A Doctor in the House”, pada bulan
Mac 2011. Secara sengaja atau kebetulan, memoirs Tun dalam membincangkan
peristiwa mata-lebam dan dakwaan terhadap Anwar, sebaliknya telah
mengukuhkan lagi keterangan salahlaku jenayah terhadap Gani Patail dan
Musa Hassan pula.
17.2.1.Jika Tun Mahathir dalam memoirs
sendiri telah berterus terang pernah tersalah anggap, bahawa kecederaan
mata-lebam yang Anwar alami itu adalah dilakukannya sendiri
(self-inflicted), hanya untuk kemudiannya sedar bahawa kecederaan
tersebut akibat serangan mantan Ketua Polis Negara,maka Tun juga bolih
tersalah anggap mengenai aktibiti homosexsual Anwar. Tun Mahathir tidak
bolih mengenepikan kemungkinan beliau telah diperdayakan olih Musa
Hassan dengan butir taklimat yang ditokok-tambah atau dimanipulasikan.
17.2.2.Menilai
semula penglibatan Musa Hassan dalam peristiwa, yang ramai tidak
menyangka beliau sanggup lakukan,iaitu, “mencuri” sample darah untuk
tujuan DNA,bersubahat dengan Gani Patail dalam mereka 3 laporan Forensik
palsu serta kemudiannya memberi keterangan palsu dalam perbicaraan
melibatkan Anwar, yang kesemuanya berlaku selepas beliau memberikan
taklimat kepada Tun, maka kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan
menjadi lebih credible.
17.2.3.Saya menyatakan Tun
sememangnya serius apabila beliau pada 8.10.1998 mengarahkan menerusi
saya supaya tidak ada sebarang “cover-up” dalam penyiasatan kes-kes
terhadap Anwar. Bagaimanapun Tun tidak mempunyai kawalan terhadap
tingkahlaku Gani Patail dan Musa Hassan.
17.2.4.Tun Mahathir
sendiri mengaku telah mengarahkan KPN supaya berhati-hati apabila
menangani Anwar. Malah Tun (memberitahu saya ketika menemui beliau)
telah meminta supaya Anwar tidak digari apabila ditangkap, jika bolih.
Namun, Anwar tetap juga dibelasah olih mantan KPN tersebut sebaik
ditangkap ketika kedua belah tangannya masih bergari.
Begitu juga
keadaannya,walaupun Tun telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang
“cover-up” terhadap kes-kes melibatkan Anwar, dan arahan tersebut telah
saya sampaikan kepada mereka yang berkenaan,secara lisan dan bertulis,
namun Tun tidak berupaya untuk menghalang Gani Patail dan Musa Hassan
daripada melakukan pemalsuan dan penipuan keatas Anwar dibelakang
beliau.
17.2.5.Sekiranya Gani Patail sanggup melibatkan diri
melesapkan dokumen yang mengaitkan beliau dengan salahlaku jenayah,
sebelum laporan Suruhanjaya Di-Raja mata-lebam dipersembahkan kepada SPB
Yang Di-Pertuan Agong, maka apalah manipulasi keatas rakyat biasa
kepada beliau.
17.2.6.Dengan berat hati saya menyatakan,bahawa
terdapat beberapa kenyataan mustahak Tun dalam Chapter 53 “Doctor in the
House”, khususnya menyentuh berkaitan siasatan kes mata-lebam dan
tindak-tanduk Pendakwa Raya dalam perkara sama, adalah berbeza dengan
fakta terkandung dalam fail siasatan rasmi yang dibuat pada 1998. Saya
percaya pekara ini bolih berlaku akibat Tun telah diberikan maklumat
atau taklimat yang telah dimanipulasikan dan mengelirukan.
Kesimpulan Perkara
18.
Berdasarkan kepada hujah-hujah yang tersebut diatas yang disokong
dengan dokumen-dokumen dan keterangan yang ada dalam milik dan
pengetahuan saya sendiri, saya berpendapat bahawa sabitan salah keatas
Anwar dalam pertuduhan salahguna kuasa keatas beliau,telah diperolehi
olih pihak Pendakwaan melalui jalan penipuan dan pemalsuan yang telah
dilakukan dengan niat bersama olih Gani Patail dan Musa Hassan untuk
faedah bersama mereka.
18.1. Tidak salah untuk menyatakan
hukuman penjara yang Anwar telah lalui adalah penganiayaan terhadap
beliau olih mereka berdua.
PENUTUP
19.
Selain daripada diri saya sendiri, saya mendapat maklum terdapat
sekurang-kurangnya dua lagi pihak yang pernah menemui Perdana Menteri,
YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak (PM Najib), bertujuan menyarankan
supaya sesuatu tindakan diambil terhadap Gani Patail dan Musa Hassan.
Ini memandangkan salahlaku jenayah yang telah mereka lakukan, adalah
sangat ketara dan telah membebankan Negara, selain daripada memusnahkan
kepercayaan Rakyat terhadap Institusi-Institusi Kerajaan.
Saya
mempunyai alasan untuk menyatakan, PM Najib turut sedar bahawa
keterangan terhadap Gani Patail dan Musa Hassan adalah jelas dan kukuh.
Malahan, tidak ada jalan keluar bagi mereka berdua.
Namun begitu,
PM Najib nampaknya masih belum bersedia untuk melaksanakan kuasa beliau
sebagai Perdana Menteri diatas sesuatu pertimbangan yang hanya beliau
ketahui. Mungkin beliau sedang menunggu masa yang sesuai. Saya yakin PM
Najib tidak akan timbulkan soal ketiadaan atau kekurangan keterangan
terhadap mereka berdua.
20. Sebagai seorang yang terlibat secara
langsung menangani isu-isu berkaitan Anwar sejak 1998, serta mempunyai
pengalaman bersemuka dan berinteraksi dengan kesemua “pemain-pemain
utama” perkara dalam persoalan ini,terutamanya Tun Mahathir sendiri,
Gani Patail, Musa Hassan, Anwar Ibrahim, selain daripada
Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Suruhanjaya Di-Raja siasatan mata-lebam dan juga
PM Najib, maka saya mampu menegaskan, bahawa segala pendedahan fakta
yang saya buat dalam surat keluaran ini dan juga dalam beberapa banyak
Surat Terbuka saya sebelum ini, tidak pernah lari sedikitpun daripada
landasan kebenaran.
21. Saya menyimpan hak saya untuk menyambung
ulasan mengenai isu ini pada masa yang sesuai, memandangkan perbicaraan
kes Sodomi II akan disambung semula pada 19 September 2011, walaupun
saya sedar akan risikonya.
Sekian, untuk makluman dan tindakan YDH Tan Sri dimana berkaitan mengikut peraturan Undang-Undang sedia ada. Salam sejahtera.
Yang benar,
Mat Zain Ibrahim