ULASAN Demokrasi, selalu diberi ragam makna. Bergantung kepada fahamnya.
Faham
demokrasi Mahathir Mohamad selalu mudah: demokrasi harus ada
batasannya, harus diiringi dengan tanggungjawab, dan berfungsi untuk
tujuan pembangunan. Inilah "acuan demokrasi yang ideal" yang Mahathir
sampaikan sewaktu syarahan utama di University of Santo Tomas (UST) di
Manila seperti yang dilaporkan oleh
Malaysiakini pada 11 Jun 2012.
Lebih
lanjut di Filipina tersebut, Mahathir turut menegaskan bahawa sekiranya
mahu mengubah pemerintahan, cukuplah dengan kotak undi. Ini dapat
dilakukan lima tahun sekali. Selain itu, nilai pemimpin, bagi Mahathir,
ialah idea dan strategi yang dimilikinya. Sesuai dengan faham ini, maka
Mahathir sama sekali tidak melihat Malaysia sebagai sebuah negara
demokrasi liberal. Anehnya, Mahathir tidak pula memaklumkan jenis apakah
demokrasi di Malaysia ini.
Bagaimanapun
- terlepas dari semua ini - kita harus menelaah kembali apakah
sebenarnya tujuan dari hidup bernegara ini. Sebab, tampaknya Mahathir
cuba menyelewengkan makna demokrasi kepada sebuah faham kenegaraan yang
kabur. Justeru, untuk memahami persoalan ini, maka adalah lebih baik
kita mengungkapkan lima persoalan kepadanya.
Pertama, Mahathir
berkata bahawa demokrasi mestilah difahami bersama batasannya.
Persoalannya: sejak bilakah demokrasi tidak pernah dikaitkan dengan
batasannya? Hanya Mahathir saja yang tidak pernah lelah mengulangi
batasan demokrasi.
Sebelumnya, Mahathir begitu bimbang dengan
kebebasan mutlak. Padahal, tidak ada siapa pun yang mempertikaikan.
Memang, kita semua tahu bahawa takkan ada kebebasan mutlak. Dalam sebuah
negara hukum, perlembagaan (undang-undang) adalah pembatasnya.
Masalahnya ialah, bagaimana perlembagaan itu digubal: Lewat deliberatif
atau lewat autokratik? Persoalan inilah yang lebih berfaedah untuk
Mahathir risaukan, berbanding dengan tidak habis-habis meratibkan
batasan demokrasi.
'Komuniti hukum'Kedua,
mengapa Mahathir lagi-lagi bercakap soal tanggungjawab? Kenapa tidak
bercakap soal hak? Walhal, dalam konsep hak yang sifatnya sangat
universal, itu sebenarnya sudah tertanam konsep tanggungjawab. Misalnya,
dalam konsep hak, itu terdapat konsep tanggungjawab untuk dalam
menghormati hak-hak warga lain, yang harus dipatuhi secara bersama.
Konsep hak ini yang lebih kuat premisnya berbanding dengan konsep
tanggungjawab.
Tapi, dengan beria-ia berbicara soal
tanggungjawab, maka apakah niat terselindung Mahathir ini?
Jangan-jangan, laungan tanggungjawab (yang garisnya ditentukan
pemerintah secara sepihak) tersebut berniat untuk mengawasi dan mengawal
segala tingkah-laku (malah, fikiran!) rakyatnya. Tidak demikian,
Mahathir?
Ketiga,
Mahathir meletakkan makna kehidupan bernegara adalah pembangunan
semata. Bukan demokrasi. Benarkah demikian? Persoalannya, apakah makna
pembangunan menurut Mahathir ini? Dan, persoalan berikutnya, adakah
dengan melakukan pembangunan, maka sempurnalah makna negara? Apakah
sebegini dangkal makna negara menurut Mahathir?
Padahal, kata
negara itu adalah terbitan dari pemaknaan kepada sebuah "komuniti
hukum". Dalam komuniti ini, yang menjadi tujuannya bukannya pembangunan
(yang telah disempitkan oleh Mahathir). Sebaliknya, bagaimana melibatkan
warganegara dalam setiap keputusan-dasar negara. Inilah roh hidup
bernegara. Malangnya, yang terlintas dalam fikiran Mahathir tatkala
berfikir mengenai negara ialah pembangunan. Betapa dangkalnya.
Keempat,
Mahathir menekankan bahawa yang terpenting dari kualiti pemimpin adalah
kemampuannya dalam merangka strategi dan idea untuk kemakmuran negara.
Lagi-lagi, benarkah yang terpenting ialah kualiti pemimpin, bukannya
kualiti sistem (demokrasi)? Jadi, individu lebih penting dari sistem,
begitu Mahathir? Ini logik bernegara apa yang dipakai Mahathir? Lagi
pula, kualiti pemimpin bukanlah diukur dari kecerdasan dan
kebernasannya. Tapi, diukur dari kemampuannya untuk memastikan tatacara
demokrasi terus mengalir dengan baik. Inilah tugas hakiki pemimpin.
Di
samping itu, Mahathir selalu berfikir bahawa kemakmuran - yang sering
disempitkan secara instrumental - adalah segala-galanya. Padahal, negara
itu bukanlah sebuah syarikat perusahaan. Malah, kedudukan perdana
menteri juga bukanlah seperti kedudukan seorang ketua pengarah eksekutif
(CEO).
Machiavelli hormati aspirasi rakyatKelima,
Mahathir, beranggapan bahawa cukuplah untuk mengubah pemerintah saat
pilihan raya umum. Bermakna, menurut Mahathir, proses mengubah
pemerintah hanya boleh dilakukan setiap lima tahun, lewat kotak undi.
Lalu, pertanyaannya: apakah yang warga harus lakukan di antara dua
pilihan raya, atau dalam tempoh lima tahun tersebut? Hanya patuh saya
semua titah pemimpin?
Maka, ke mana perginya konsep "masyarakat
warga" (civil society), ketakpatuhan warga (civil disobedient),
kewarganegaraan aktif (active citizenship) dan ruang awam (public
sphere) yang menjadi sendi demokrasi? Mahathir, percaya atau tidak,
tidak pernah menyebutnya. Sekalipun tidak pernah. Padanya, demokrasi
ialah pilihan raya umum. Selain dari hari mengundi, rakyat mestilah
pasif.
Justeru,
berdasarkan kepada lima persoalan ini, cukuplah untuk kita melukiskan
bagaimana faham demokrasi Mahathir ini. Demokrasi, menurut Mahathir,
selalu dimomokkan sebagai sebuah "kebebasan mutlak", "tidak
bertanggungjawab", "antipembangunan", "menghambat idea pemimpin" dan
"hanya pilihanraya." Setohor ini saja makna demokrasi Mahathir.
Tentunya, makna tumpul seperti ini dengan mudah dapat kita temukan dalam
negara totalitarian.
Sebab itu, usah hairan, ciri-ciri
totalitarianisme ini turut terlekat sepanjang 22 tahun Mahathir sebagai
perdana menteri Malaysia. Demokrasi di Malaysia, pada waktu Mahathir,
berada pada titik terendah dalam sejarah. Seluruh
trias politica
(eksekutif, judikatif dan legislatif) telah dimuatkan ke dalam satu
individu: bernama Mahathir. Inilah Mahathirisme, nama lain kepada
Machiavellianisme. Sementara, rakyat di mata Mahathir tidak lain adalah
sebuah objek, yang sekadar berfungsi lima tahun sekali. Padahal, Niccolò
Machiavelli sendiri bukan begitu.
Andai kata Machiavelli masih
hidup sekalipun, tentunya takkan bersependapat dengan Mahathir ini.
Kerana, Machiavelli bukanlah seorang Machiavellian, seperti Mahathir.
Sebaliknya, Machiavelli adalah seorang republikan, yang menghargai
aspirasi rakyat.
Manakala, Mahathir pula dalam diam-diam adalah
seorang diktator, yang selalu mencipta pemujanya yang fanatik, sepanjang
waktu, selagi mana faham totalitarianisme terus saja bermaharajalela.
, penerima zamil Intelektual Awam Asia (API) 2009-2010 daripada Yayasan Nippon, Jepun dan kolumnis
. Beliau boleh dihubungi menerusi
. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang pendirian rasmi
.