Share |

Friday, 15 June 2012

Ambiga rela dipenjara demi Bersih

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan sedia dipenjara demi mempertahankan perjuangannya menuntut pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bekas Pengerusi Majlis Peguam itu sewaktu sesi “chat secara online” di laman Yahoo Malaysia hari ini sewaktu menjawab pertanyaan salah seorang pengunjung ruangan chat tersebut.

Antara soalan pengunjung itu adalah, “Adakah anda rela dipenjarakan kerana tindakan anda?” (Are you willing to be jailed for your cause?); dan Ambiga kemudiannya menjawab,”Ya”.

Kebanyakan pengunjung yang bertanyakan soalan di ruangan chat yang bermula jam tiga petang itu memberikan fokus terhadap perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April lalu.

Selain itu, Ambiga juga menolak untuk menjadikan Bersih sebagai parti politik, dan beliau juga tidak bercadang untuk menjadi menteri.

“Adakah anda berminat untuk menjadi menteri?” soal seorang pengunjung yang hanya dikenali sebagai Baskaran, dan Ambiga kemudiannya membalasnya dengan “Tidak, tidak sama sekali!”(No, absolutely not!).

Pengunjung lain, Howard Klein pula bertanya sama ada pemimpin perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih itu turut bercadang untuk bertanding dalam pilihan raya.

‘‘Ambiga, adakah anda berminat untuk bertanding dalam pilihan raya umum?”, Ambiga turut menjawab,”Sekali lagi, tidak!” (Again, no!)

Sesi berkenaan yang tamat sekitar jam 4.15 petang itu turut menyaksikan sebahagian peserta ruangan chat tersebut yang bertanyakan soalan yang dilihat seperti tidak bersetuju dengan penganjuran Bersih 3.0 penghujung April lalu.

“Anda seorang peguam... tetapi tindak-tanduk anda bersama BERSIH boleh disifatkan sebagai tidak menghormati undang-undang. Demontrasi jalanan hanya menyusahkan sebahagian rakyat Malaysia.. TQ,” tanya seorang peserta yang bernama Awang.

Ambiga kemudiannya menjelaskan, “Demonstrasi jalanan merupakan antara hak asasi rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia.”

Beliau juga turut menolak perhimpuan Bersih adalah salah dari segi undang-undang.

“Saya percaya anda telah tersalah lihat Akta Perhimpunan Aman, namun, anda perlu melihat pula kepada Perlembagaan, yang memberikan hak untuk berhimpun. Ia adalah undang-undang tertinggi yang kita pegang,” katanya menjawab soalan Elsie, yang bertanyakan berkenaan undang-undang hanya membenarkan perhimpunan aman dan bukannya demonstrasi.

Sesi perbualan itu turut membolehkan peserta bertanyakan soalan bukan sahaja menggunakan bahasa Inggeris, tetapi juga turut menggunakan bahasa Melayu.

Ambiga turut menjawab soalan berkenaan insiden demonstrasi yang dilakukan di perkarangan kediamannya dan menyifatkan ianya berbeza dengan perhimpunan Bersih walaupun Perlembagaan mengiktiraf kebebasan berhimpun.

“Ada perbezaan mengadakan demonstrasi di hadapan rumah seseorang dan kawasan umum. Apa gunanya Akta Perhimpunan Aman dan Perlembagaan apabila perhimpunan tidak boleh dilakukan di kawasan umum?

“Bagaimanapun, protes di rumah saya adalah tindakan mengugut dan satu ganguan,” katanya.

Perhimpuan Bersih 3.0 pada 28 April di dataran Merdeka telah menyaksikan 250,000 peserta yang mana berlangsung dengan aman, kemudiannya bertukar ganas apabila perusuh mula merempuh kawasan dataran bersejarah dan merobohkan halangan yang didirikan pihak berkuasa.

Ekoran insiden keganasan tersebut, polis kemudiannya melepaskan gas pemediah mata dan meriam air ke arah perusuh untuk menyuraikan keadaan, yang mana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein semalam menjelaskan, polis telah melepaskan 967 butir gas pemedih mata ketika perhimpunan Bersih 3.0.

Jumlah itu lebih tiga kali ganda berbanding dalam perhimpunan Bersih 2.0, iaitu sebanyak 262 butir.

Tembakan yang dilepaskan dalam Bersih 3.0 itu termasuk 909 butir ‘shell tear smoke’ dan 58 butir ‘grenade tear smoke’.

Hishammuddin turut menjelaskan, kerajaan telah menanggung kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta akibat daripada penganjuran perhimpunan itu.

No comments: