Retak mula kelihatan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang
pemimpinnya menghadapi tekanan dengan spekulasi pilihan raya umum yang
bakal dilangsungkan tidak lama lagi seiring dengan serangan
habis-habisan terhadap Anwar Ibrahim yang sedang berlaku kini.
Mereka sedang menucuk-nucuk pemimpin PKR yang berkarisma dan pemimpin
Pakatan Rakyat, yang masih lagi dianggap sebagai ancaman utama UMNO dan
BN dalam pilihan raya akan datang, justeru mereka ingin melihat
golongan ini dikeluarkan dari persada politik negara dengan apa jua kos.
Kebimbangan mereka dilihat berasas memandangkan kedudukan Anwar dalam
Pakatan masih kukuh dan tidak goyah dalam gabungan pembangkang itu
sekalipun pelbagai ujian dan seksaan keatasnya, terutamanya perbicaraan
kes liwat yang terpaksa dihadapi oleh ahli politik yang berusia
64-tahun itu.
Dengan perbicaraan yang hampir sampai ke penutup, pengkritik beliau
semakin lantang menuduh bahawa beliau bersalah. Sudah ada beberapa orang
ahli parlimen dan bekas pembantu Anwar yang menawarkan diri untuk
menjadi saksi-saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat beliau. Ini
berikutan kejayaan pasukan pembelaan Anwar memanggil 15 orang, termasuk
Perdana Menteri dan isterinya, sebagai saksi dalam perbicaraan itu.
Mereka ini dengan agenda politik tersendiri, mengasah pisau mereka
untuk saling mengalahkan antara satu sama lain dalam menilai watak Anwar
dan kredibiliti beliau dalam apa yang para penganalisis sifatkan
sebagai tindakan terdesak dalam konspirasi politik yang dilancarkan
terhadap pemimpin Pakatan Rakyat itu .
Pendedahan daripada perbicaraan
Musuh politik Anwar, bagaimanapun, nampaknya telah terperangkap
dengan keterangan dalam perbicaraan kes liwat terutamanya bukti DNA yang
meragukan dalam usaha pihak pendakwaan melumpuhkan
pemimpin PKR itu.
Pasukan pendakwaan yakin strateginya mereka berjaya selepas enggan
mendedahkan bahan-bahan yang dianggap oleh pasukan pembelaan Anwar
sebagai penting untuk pembelaan. Ini termasuk senarai saksi, nota
klinikal doktor dari Hospital Kuala Lumpur, kenyataan saksi dan sampel
forensik untuk pemeriksaan dan pengesahan secara bebas.
Sampel DNA tersebut telah memihak kepada Anwar. Pakar perunding
molekul genetik Dr Brian Leslie McDonald memberitahu Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur bahawa sampel yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari
Azlan berkemungkinan telah tercemar sebelum dihantar untuk analisis.
Beliau menyuarakan secara terang-terangan kesalahan dalam tatacara
dalam mendapatkan swab dan ketidaksamaan cara ahli kimia kerajaan Dr
Seah Lay Hong dalam penlabelan dua botol yang mengandungi swab yang
diambil dari Saiful untuk analisis DNA. Dr McDonald mengatakan bahawa
bukanlah satu pilihan untuk ahli sains membuat anggapan terhadap tarikh,
sambil menambah ia "suatu kesalahan yang boleh menyebabkan pemecatan".
Seorang lagi saksi, Profesor Madya Dr David Lawrence Noel Well,
memberi keterangan bahawa adalah jarang untuk mendapatkan sampel sperma
pada swab dubur yang diambil 65 jam selepas hubungan seks. Pakar
forensik Australia, ketua Perubatan Forensik di Institut Perubatan
Forensik Victoria berkata bahawa dalam pengalaman beliau, sangat rendah
kebarangkalian untuk mendapatkan hasil yang positif jika spesimen itu
diambil selepas 65 jam.
Dengan percubaan yang menemui kegagalan serta tidak mengikut skrip
Barisan Nasional, kongcu-kongcu Umno melakukan serangan terhadap Anwar
dan Pakatan tanpa henti melalui media-dikawal BN dengan memutarkan
propaganda sebagai samaran kepada kegagalan kepimpinan mereka.
Dilema pemimpin-pemimpin Umno
Walau bagaimanapun, serangan tidak berhenti-henti telah menimbulkan
persoalan di kalangan sesetengah orang BN jika kepimpinan Umno telah
kehabisan idea dalam merangka pelan untuk pilihan raya umum ke-13 yang
semakin hampir. Beberapa orang telah secara terbuka menyatakan
kekecewaan terhadap Umno yang dikatakan mempunyai agenda yang salah
dengan memberi tumpuan kepada kempen menyerang Anwar semata-mata dan
membuang masa.
Ada juga yang membuat spekulasi bahawa ini adalah helah
pemimpin-pemimpin Umno untuk menghilangkan semangat dan memusnahkan PKR
yang mempunyai ramai ahli yang merupakan bekas ahli UMNO. Mereka
merasakan serangan Umno terhadap Anwar akan menghilangkan semangat
ahli-ahli PKR seraya berpatah balik kepada Umno. Strategi ini tidak
dikongsi oleh parti komponen BN lain yang merasakan bahawa
perkara-perkara yang lebih penting, terutamanya berkaitan ekonomi dan
isu-isu utama lain telah dikompromikan dalam usaha Umno untuk
menghapuskan Anwar dan parti PKR beliau.
Penganalisis melihat kepimpinan Umno yang sering menghentam Anwar
sebagai manifestasi persaingan peribadi antara Perdana Menteri dan Ketua
Pembangkang itu, yang pernah bersama-sama melalui zaman mereka dalam
Umno dan Kabinet BN persekutuan. Najib menyedari potensi Anwar untuk
merangsang akar umbi dalam PKR dan Pakatan, dan merasakan bahawa Anwar
akan kekal menjadi ancaman utama kerana sifat berkarismatik beliau bukan
sahaja untuk BN pada pilihan raya akan datang tetapi juga sebagai
seorang pemimpin Melayu.
Mereka berkata langkah oleh pasukan pembelaan Anwar membuat
permohonan sepina ke atas Najib dan isterinya Rosmah Mansor untuk
memberi keterangan dalam perbicaraan kes liwat telah benar-benar
mencabar Presiden Umno itu dan beliau akan lakukan apa sahaja untuk
menyekat apa-apa pengaruh politik. Orang dalaman Umno berkata, terdapat
kebimbangan dikalangan peringkat tertinggi parti dan berkemungkinan
perbicaraan terhadap Najib akan memberi kesan negatif kepada calon-calon
mereka pada pilihan raya akan datang.
Orang dalaman Umno juga berkata bahawa obsesi Najib terhadap Anwar
menyebabkan mereka-mereka yang lain dalam BN kecewa kerana mereka lebih
ingin melihat beliau fokus kepada isu-isu yang lebih penting dalam
ekonomi seperti pengangguran,inflasi, kenaikan harga, penghijrahan
professional keluar negara, rasuah besar-besaran dan dasar kerajaan yang
dianggap tidak adil.
BN menghadapi prospek yang samar
Terdapat spekulasi bahawa prospek BN pada pilihan raya umum akan
datang semakin malap dari hari ke hari dengan percanggahan dalaman parti
dalam menangani isu-isu yang dihadapi negara. Ramai merasakan bahawa
'tsunami politik' boleh berlaku dan mengakhiri zaman BN dan
pemimpin-pemimpin Umno.
Sesetengah pemimpin Umno berani memberitahu Najib untuk menimbang
semula strategi beliau terhadap Anwar, yang masih dilihat sebagai gam
yang mengikat Pakatan Rakyat dan satu-satunya pemimpin Melayu yang boleh
dipercayai; masih berprinsip dan berintegriti terutamanya dengan
kekurangan pemikir dalam Umno. Prospek Anwar dipenjarakan dalam
perbicaraan kes liwat boleh mencetuskan tindak balas yang lebih besar
bukan sahaja dalam Umno tetapi BN secara keseluruhannya. Mereka telah
secara terbuka mempertikaikan prospek memenjarakan Anwar yang dilihat
boleh mencetuskan rasa marah rakyat seperti episod 'Mata hitam Anwar'
terutamanya di kalangan belia justeru memusnahkan prospek politik BN.
Perkembangan politik di negara ini telah memerangkap BN dan pemimpin
Umno dalam arus kegelinciran dan kredibiliti Najib dan Umno semakin
menipis selepas perhimpunan Bersih baru-baru ini dan episod pertikaian
jajahan Inggeris terhadap Tanah Melayu yang telah meninggalkan ramai
tertanya-tanya jika kepimpinan BN akan lumpuh dalam pilihan raya umum
akan datang.
Selepas kesilapan dalam menangani Bersih, Najib akhirnya bersetuju
dengan beberapa tuntutan mereka dan juga bersetuju untuk menubuhkan
sebuah jawatankuasa parlimen untuk mengkaji reformasi pilihan raya. Ada
dikalangan pemimpin parti komponen BN merasakan bahawa Najib telah
menjejaskan BN kerana terlalu mengikut telunjuk Umno apabila gagal untuk
menangani Bersih dengan betul. Ia rata-rata dianggap sebagai kesilapan
besar oleh pengkritik Perdana Menteri dan menghantar isyarat yang salah
kepada rakyat.
Pemerhati politik merasakan bahawa Najib boleh menghadapi kegagalan
besar dalam politik sekiranya Anwar didapati bersalah dalam kes liwat
dan dipenjarakan. Penahanan pemimpin Pakatan itu akan dilihat oleh
rakyat sebagai helah kotor dalam kempen memburuk-burukkan BN dan ini dan
boleh diterjemahkan kepada kehilangan undi untuk UMNO dan BN. Ia juga
boleh bertukar sebagai simpati yang meningkat untuk Anwar. Akibatnya
mereka akan melangkaui politik perkauman dan berharap agar
pemimpin-pemimpin Pakatan akan bisa menyematkan harapan mereka untuk
tsunami politik yang akan datang.
Fokus pada perbicaraan
Semua mata sekarang fokus kepada perbicaraan kes liwat Anwar dan
bagaimana ia akan dimainkan. Ini mendorong beberapa pemimpin Umno untuk
memberi tekanan kepada Najib untuk mengadakan pilihan raya yang awal
untuk membendung kejatuhan, sementara itu, yang lain lebih suka Anwar
berada dalam penjara dan apa yang mereka harapkan adalah supaya merka
dapat merompak Pakatan daripada pemimpin yang boleh membawa mereka
kepada kemenangan.
Penganalisis politik berkata Najib kini condong memihak kepada
senario ke dua kerana ini akan memberikan dia masa untuk menguasai
semula parti dan secepat mungkin melakukan reformasi dalam pilihan raya,
dalam bentuk apa sahaja, untuk mengelakkan sebarang tindak balas atau
tuntutan kempen kotor. Lebih penting lagi, dengan prospek ekonomi global
yang menurun, Perdana Menteri ingin melihat hasil awal daripada program
transformasi kerajaan yang beliau rencanakan. Ada juga yang melihat
keadaan ekonomi memainkan peranan penting dalam apa-apa keputusan
Perdana Menteri dalam menetapkan tarikh untuk pilihan raya umum ke-13.
Walau bagaimanapun, nasib Anwar dikaitkan dengan Najib. dengan
mempercepatkan pilihan raya umum sebelum perbicaraan Anwar berakhir
menunjukkan kepada pengkritik Najib bahawa Perdana Menteri sedang panik
dan cuba untuk memulihkan apa-apa kerosakan dari segi politik hasil
daripada perbicaraan itu. Senario alternatif adalah lebih menakutkan
kerana memenjarakan Anwar boleh menimbulkan bantahan keras di dalam dan
diluar negara, malah BN dan Umno mungkin tidak akan dapat pulih sebelum
pilihan raya umum ke-13 walaupun sehingga berakhirnya mandat kerajaan
pada tahun 2013.
Ramai melihat kes liwat Anwar sebagai tidak adil dan caj yang dibuat
terhadap bekas timbalan perdana menteri itu yang satu masa dahulu
merupakan bintang Umno saja-saja direka dan merupakan kezaliman terhadap
pemimpin Pakatan itu. Dia dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail,
masih merupakan orang-orang yang berpengaruh dalam Pakatan walaupun
pelbagai cabaran yang dihadapi mereka. Malah kehadiran mereka di
perhimpunan PKR dan Pakatan boleh menguja orang ramai dan pengaruh
mereka ke atas angin perubahan politik mungkin tidak terukur dalam
bulan-bulan yang akan datang.
Terdapat juga badai yang melanda parti-parti komponen BN dan seruan
kepada pemimpin-pemimpin Umno untuk "mengeluarkan kepala mereka dari
pasir" dan menangani cabaran-cabaran yang melanda negara. Ini juga boleh
memaksa Najib untuk menetapkan tarikh bagi pilihan raya . Beberapa
pemimpin komponen BN juga sedang berkira untuk menarik diri daripada
pakatan itu untuk menyelamatkan diri mereka daripada kejatuhan yang
mereka semakin rasakan. Setakat ini Perdana Menteri masih dapat memegang
pengaruh terhadap mereka dan menghapuskan keretakan yang perlahan-lahan
muncul.
Retak tersebut boleh membesar dan tidak dapat diperbaiki lagi jika
PKR dan Pakatan berjaya meraih simpati walau apa jua hasil
perbicaraannya Anwar itu nanti.
- Malaysia Chronicle