Komentar ini khusus menyentuh soal agama Hindu dan mungkin tidak sesuai bagi kelompok tertentu.
COMMENT
Apa
yang saya tahu mengenai Bali, Indonesia adalah bahawa majoriti
penduduknya (hampir 93 peratus) beragama Hindu, tetapi amalan agama itu
sedikit berbeza berbanding di tempat-tempat lain.
Berita yang masih basah dalam ingatan adalah mengenai serangan bom
yang membunuh 202 orang di Kuta pada 2002; serta satu lagi letupan bom
pada 2005.
Terkini, sekurang-kurangnya 50 orang dilaporkan cedera akibat gempa bumi melanda pulau pelancongan itu pada 13 Oktober 2011.
Oka Rusmini, penulis terkenal dari Bali yang saya temui semasa
menyertai Program Penataran Sastera Mastera di Bogor pada Oktober 1997
memberitahu bahawa penganut agama Hindu di Bali mengenali Brahma,
Vishnu, Shiva dan Ganesha, tetapi tidak mengenali Murugan.
Saya berpeluang ke Bali apabila diundang menyertai ‘Ubud Writers
& Readers Festival’ (5-9 Oktober 2011). Penerbangan berlepas sekitar
jam 9:35 malam, 3 Oktober dari LCCT dan saya mendarat di Lapangan
Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Denpasar pada sekitar 12:30 tengah
malam.
Ada petugas festival yang menunggu untuk membawa saya menaiki van ke
Honeymoon Guesthouse di Jalan Bisma, Ubud. Perjalanan agak jauh tapi
pemandangan sepanjang jalan amat mengagumkan; walaupun gelap.
Tentu sahaja papan-papan tanda menggunakan Bahasa Indonesia yang ada
banyak pengaruh Bahasa Sanskrit; khususnya pada nama tempat.
Sepanjang perjalanan ke Ubud juga jelas kelihatan patung-patung dan
berhala di tepi jalan. Pemandangan ini mungkin tidak sesuai bagi
pelancong tertentu kerana segala apa yang ada di sini mampu menggugat
keimanan mereka; bergantung pada tahap keimanan masing-masing, tentunya.
Saya berpeluang melihat lebih banyak keindahan tradisi Hindu-Bali
apabila berjalan-jalan di sepanjang Jalan Bisma dan Jalan Raya Ubud pada
siang hari.
Ada begitu banyak pintu gerbang yang menempatkan patung dewa Hindu;
khususnya Ganesha. Di hadapan hampir setiap rumah dan kedai juga ada
tempat puja bagi dewa pengawal. Sajian diletakkan di hadapan setiap
kedai dan bangunan.
Terdapat juga banyak pura (kuil) di sepanjang jalan ini. Ternyata
amalan agama Hindu amat kuat di sini; walaupun pasti sahaja amalan di
sini berbeza dengan apa yang menjadi amalan dalam kalangan penganut
agama Hindu di Malaysia.
Dari Jalan Raya Ubud, kelihatan Jalan Wanara Wana yang menuju ke
Monkey Forest dan Nyuh Kuning. Selepas itu ada Jalan Gautama yang
membuktikan pengaruh Buddha. Seterusnya Jalan Hanoman yang kemudian
bersimpang dengan Jalan Dewi Sita dan Jalan Wanara Wana.
Terdapat juga Jalan Sugriwa, diikuti simpang Jalan Jembawan. Sesiapa
yang gemar/pernah membaca Ramayana (atau mana-mana versi adaptasi) pasti
mengenali nama-nama ini.
Ringkasnya, hari pertama di Ubud membuatkan saya seperti kembali mengenali agama Hindu dan Ramayana serta tradisi budaya India.
Bersatu dengan alam
Pada
petang 4 Oktober, saya dibawa ke Hotel Alam Sari, Tegallalang, Gianyar.
Kalau suasana di Honeymoon Guesthouse amat memikat, suasana di hotel
ini lebih menarik! Apatah lagi saya tinggal di sebuah rumah kecil
dikelilingi taman.
Suasana aman damai dikelilingi hutan amat menyamankan. Ternyata
pengusaha hotel ini tidak memusnahkan alam sekitar untuk membina hutan
batu yang dinamakan hotel. Semua ini berbalik pada ajaran asas dalam
agama Hindu yang menjadi pegangan – malah budaya – di Ubud.
Pada setiap pagi, saya dan seorang penulis dari Australia, Martine
Murray, menaiki van menuju ke tempat acara Ubud Writers & Readers
Festival berlangsung di Jalan Raya Sanggingan.
Peluang perjalanan selama hampir 20 minit selalunya saya gunakan
untuk berbual-bual bersama pemandu. Salah seorang daripada mereka ialah
Dewa (foto) yang bekerja sebagai pemandu selama 15 tahun.
Sepanjang perjalanan, Dewa menceritakan – antara lain – bahawa “Dewa”
adalah nama keluarganya. Sistem catur wangsa yang diamalkan penduduk
Hindu-Bali tidak sama dengan sistem kasta yang berasal dari India.
Misalnya, dalam amalan di India, seseorang yang lahir dalam catur
wangsa tertentu (Sudra, misalnya) akan kekal dalam kedudukan itu. Hal
ini berbeza dengan Hindu-Bali kerana individu berkenaan boleh menjadi
peniaga, misalnya, dan memasuki catur wangsa Vaisya.
Dalam agama Hindu, ada enam mazhab yang menyembah Tuhan dalam bentuk
rupa Shiva, Shakti, Ganapathi, Murugan, Surya Narayanan dan Maha Vishnu.
Hindu-Bali pula mempunyai sembilan mazhab, iaitu Pasupata, Bhairawa,
Siwa Shidanta, Waisnawa, Bodha, Brahma, Resi, Sora dan Ganapatya.
Ternyata budaya penduduk Bali menerima pengaruh kuat daripada budaya
India (Hindu) dan China (Buddha). Akhirnya, lahirlah budaya Hindu-Bali
yang amat unik; sebagaimana budaya masyarakat Chetti di Kampung Chetti,
Gajah Berang, Melaka.
Dewa menceritakan bahawa pemerintah Indonesia mensyaratkan penduduk
Hindu-Bali hanya boleh mempunyai dua anak. Namun, katanya, ilmu yang
dipelajari menerusi Kamasutra sejak zaman berzaman membantu mereka
menikmati keintiman alam perkahwinan sambil memastikan hanya ada dua
anak.
Malah, katanya, penduduk Hindu-Bali bukan mementingkan kuantiti
(jumlah) anak, tetapi kualiti anak-anak. Perkara ini turut diakui
seorang lagi pemandu van, I Wayan Seraya.
“Anak-anak belajar dan bermain. Golongan pemuda dan orang dewasa
bekerja untuk mendapatkan wang. Golongan tua berumur lebih 55 tahun
selalunya kembali mengerjakan sawah milik keluarga dan banyak terlibat
dalam upacara agama,” katanya.
Agak menarik untuk memperhatikan bahawa penduduk Hindu-Bali mahu
sentiasa bersatu dengan alam, selain mementingkan aspek keseimbangan dan
harmoni. Anak-anak bersekolah bukan untuk belajar menjadi pandai
sahaja, tapi apa yang lebih penting adalah belajar untuk menjadi orang
baik.
Kematian adalah proses kehidupan
Penduduk
di Bali – khasnya Ubud – mengenal internet tetapi tidak pula
meninggalkan amalan tradisi. Perkara ini amat menarik pada pandangan
saya. Adat dan budaya Hindu-Bali mementingkan keseimbangan dalam segala
aspek kehidupan.
Menurut Dewa, walaupun dua insiden letupan bom berlaku di Bali,
penduduk di sini tidak mendendami sesiapa. Sebaliknya, mereka cuba
melihat semua kejadian dengan minda positif.
Misalnya, kematian adalah sebahagian proses kehidupan; maka mereka
memilih untuk tidak menyalahkan sesiapa yang menyebabkan kematian dalam
insiden letupan bom itu.
Penduduk Hindu-Bali juga melihat semua agama di dunia ini sebagai
agama yang menyeru kepada kebaikan. Maka, tidak timbul langsung
keperluan untuk memperlekeh agama-agama lain. Agama Hindu tidak pernah
mengatakan ia agama terbaik dan agama lain “salah”.
Hal ini juga terungkap kemas dalam doa umum yang menjadi ikutan para
penganut Hindu di seluruh dunia. Saya juga melihat doa itu dipaparkan
dalam Bahasa Sanskrit, Bahasa Inggeris dan Bahasa Inggeris di Hotel Alam
Sari:
“Om shanti shanti shanti
Semoga damai meliputi Dunia
May peace prevail on Earth”
Dewa juga menjelaskan bahawa agama Hindu dalam kalangan penduduk Bali
bukan berciri ‘religious’ atau ‘ritual’ tetapi berciri ‘spiritual’.
Saya yakin bahawa agama Hindu sudah bersatu dan sebati bersama-sama
adat masyarakat di Bali. Maka, ajaran dan amalan agama Hindu sudah
menjadi suatu ‘budaya’ sejak kecil.
Mungkin ciri seperti inilah yang kurang diberi perhatian oleh
penganut agama Hindu, khususnya daripada kalangan kaum India di
Malaysia.
Memanglah masyarakat India-Hindu hanya minoriti di Malaysia tetapi
perlu disedari bahawa hak beragama dan mengekalkan budaya tradisi
dilindungi Perlembagaan Persekutuan.
Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my bagi sebarang maklum balas.