Penulis yang pernah menganggotai Panel Bebas Mengkaji
Interlok kecewa dengan pelbagai kenyataan berbelit yang dikeluarkan
pihak tertentu.
COMMENT
Pasti
sahaja saya terkejut membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran,
Datuk Dr Wee Ka Siong di akhbar theSun pada pagi 23 Jun 2011 berhubung
perkembangan terbaru kerja-kerja memurnikan novel Interlok Edisi Murid.
Dalam kenyataan itu, beliau dilaporkan berkata bahawa keputusan untuk
meminda hanya sebahagian kecil (sembilan halaman?) pada novel itu telah
dibuat pada mesyuarat Panel Bebas dan kementerian hanya melaksanakan
kerja-kerja pindaan berdasarkan keputusan itu.
Dari sudut yang lain, saya tidak pula terlalu terkejut menyaksikan
“sandiwara” terbaru ini daripada seorang “pelakon tambahan”. Saya
katakan demikian kerana timbalan menteri berkenaan tidak pernah terlibat
dalam mana-mana mesyuarat Panel Bebas.
Beliau juga tidak terlibat dalam mesyuarat terakhir bersama Menteri
Pelajaran di Menara Parlimen pada 23 Mac; iaitu sehari sebelum Menteri
Pelajaran membentangkan keputusan berkaitan kontroversi novel Interlok
Edisi Murid di Parlimen.
Untuk makluman, sebarang mesyuarat, perjumpaan atau pertemuan yang
(mungkin) diadakan oleh mana-mana pihak selepas 24 Mac (sepatutnya)
adalah semata-mata untuk memastikan kesemua 106 pindaan dilaksanakan
sepenuhnya sebagaimana sudah dijanjikan.
Maka, apabila saya membaca kenyataan Dr Wee, saya tertanya-tanya: Which “underground secret panel meeting” is he referring to?
Sebenarnya, pada 17 Jun lalu, sejumlah ibu bapa dan penjaga
menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian berhubung perkembangan
berkaitan proses memurnikan novel berkenaan.
Mereka mendapat maklumat daripada anak-anak (pelajar Tingkatan Lima)
bahawa Kementerian Pelajaran sudah menyediakan pelekat yang akan
digunakan untuk menampal bahagian-bahagian yang memerlukan “pindaan”
pada novel edisi murid itu.
Saya terpinga-pinga kerana terdapat 106 pindaan yang sudah
diperakukan dan perlu dilaksanakan. Pasti memerlukan pelekat khas
(“pelekat ajaib”) yang banyak dan tenaga kerja yang ramai untuk
melaksanakan tugas berkenaan.
Senarai 106 pindaan itu dikemukakan oleh Wakil Kaum India iaitu Dr NS
Rajendran, G Krishnabahawan dan saya sendiri berdasarkan maklumat yang
diterima daripada orang ramai sejak kami dilantik menyertai Panel Bebas
pada Februari lalu.
(Manakala senarai pindaan yang dikemukakan oleh individu lain dalam
Panel Bebas juga telah diperakukan tetapi mereka kemudian “menarik
balik” senarai itu atas alasan yang tidak saya ketahui. Maka, saya tidak
mahu masuk campur dalam hal itu.)
Pelekat ajaib
Kemudian, pada 21 Jun, akhbar New Straits Times menyiarkan berita
yang mengesahkan bahawa “pelekat ajaib” digunakan untuk melakukan
pindaan pada sembilan halaman sahaja dan langkah mengerah tenaga
guru-guru untuk melakukan kerja itu dikatakan lebih mudah (murah?) dan
dikatakan sesungguhnya itu adalah kerja guru.
Ini sudah keterlaluan! Saya tidak setuju bahawa pindaan menggunakan
“pelekat ajaib” hanya perlu melibatkan sembilan halaman novel berkenaan.
Mustahil 106 pindaan hanya melibatkan sembilan halaman.
Senarai pindaan yang dikemukakan oleh Wakil Kaum India dalam Panel
Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 28 Februari melibatkan
pindaan (penyuntingan, pengguguran, penambahan, pembetulan) bagi 106
perkara yang turut melibatkan hak pengarang, kesalahan fakta dan
perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum.
Senarai 106 saranan pindaan itu diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac.
Pada 16 Mac, Wakil Kaum India turut menghadiri perjumpaan bersama
Menteri Pelajaran di Menara Parlimen.
Pada mesyuarat itu, berlaku insiden tertentu yang akhirnya memaksa
kami bertiga berundur daripada Panel Bebas. Berita lengkap mengenai apa
yang berlaku sudah saya paparkan kepada umum menerusi blog saya.
Seterusnya, pada 23 Mac, Wakil Kaum India memenuhi undangan ke
perjumpaan kedua bersama Menteri Pelajaran di Menara Parlimen. Pada
perjumpaan itu, Menteri Pelajaran bersetuju bahawa 87 daripada 106
saranan pindaan yang dikemukakan oleh kami bertiga diterima tanpa perlu
dibahaskan dan kerja-kerja pemurnian (pindaan) akan dilaksanakan oleh
DBP.
Baki 19 saranan pindaan itu dibincang dan dibahaskan. Akhirnya,
kesemua 19 perkara itu yang menyentuh sensitiviti kaum India dan
melibatkan kesalahan fakta diterima untuk pindaan berdasarkan hujah dan
fakta yang dikemukakan Wakil Kaum India.
Pada 25 Mac, Krishnabahawan dan saya mengadakan sidang media khas
untuk menerangkan serta menjelaskan kepada wakil media, orang ramai,
wakil parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai
106 pindaan yang sudah dipersetujui Menteri Pelajaran dan bakal
dilaksanakan sebagaimana dijanjikan.
Pada pagi itu juga, kami berdua menerima panggilan telefon dari
pejabat Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa novel Interlok Edisi
Murid akan dicetak semula sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah untuk
digunakan sebagai teks Komsas.
Maka, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi
sebagaimana disiarkan di akhbar pada 21 Jun adalah bertentangan dengan
apa yang dipersetujui dan dijanjikan Kerajaan kepada Rakyat.
Bagi saya, keputusan menggunakan “pelekat ajaib” bagi melakukan
pindaan terhadap novel Interlok Edisi Murid atas apa alasan sekalipun
adalah tanda hancurnya kepercayaan dan harapan yang diletakkan terhadap
kredibiliti, kemampuan dan integriti Kementerian Pelajaran dalam
menyelesaikan kontroversi ini secara baik.
Pindaan tanpa kompromi
Saya
juga menerima pertanyaan daripada sekian ramai anggota masyarakat India
yang tertanya-tanya mengapa kenyataan yang saya kemukakan semasa sidang
media pada 25 Mac sangat berbeza dengan kenyataan Dr Mohd Puad.
Sekali gus, mereka mula mempersoalkan kredibiliti dan integriti saya
sebagai individu yang pernah dilantik menganggotai Panel Bebas yang
bersidang mulai 16 Februari lalu.
Bagi saya, sekiranya pindaan hanya dilakukan pada sembilan muka
surat, maka segala apa yang dijanjikan dan dilakukan Kementerian
Pelajaran sejak 27 Januari lalu hanyalah sesuatu yang boleh ditafsirkan
sebagai “lakonan” dan “sandiwara” yang sekadar bertujuan mengabui mata
Rakyat.
Dalam babak seterusnya “sandiwara” ini, Dr Mohd Puad mengumumkan
bahawa Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel
Interlok Edisi Murid di mana kos mencetak adalah RM5 senaskhah.
Maaf, saya tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu
“tertipu” lagi dengan “permainan” dan “sandiwara” mana-mana pihak yang
“cakap tak serupa bikin”.
Kebimbangan dan wasangka ini adalah berasas kerana bermula 16 Mac
lalu, saya sendiri menyaksikan pelbagai taktik kotor oleh pihak tertentu
untuk “menipu” dan “memutar-belit” fakta berhubung senarai pindaan yang
diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac.
Maka, sikap berwaspada dan wasangka (bukan lagi prasangka!) yang saya tunjukkan adalah amat berasas.
Saya mahu memastikan bahawa kesemua 106 saranan pindaan dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
Perkara pertama yang saya mahu lihat adalah “Sasterawan Negara
Abdullah Hussain” dicetak pada kulit hadapan novel dan terdapat “©
Abdullah Hussain 1971” pada Halaman Hak Cipta. Kesemua 106 pindaan perlu
dilakukan sebagaimana dijanjikan. Jangan jadikan ini “janji pilihan
raya”!
Rakyat juga wajar turut serta dalam proses memastikan kesemua 106
pindaan dilakukan sepenuhnya seperti yang dijanjikan. Jika masih ada
unsur “lakonan”, “sandiwara” dan “penipuan”, maka Rakyat sendiri boleh
menjadi Hakim dan menjatuhkan “hukuman” terhadap Kementerian Pelajaran
dan Kerajaan.
Orang ramai boleh menghubungi uthayasb@yahoo.com.my
untuk mendapatkan senarai 106 saranan pindaan atau mengundang penulis
memberi penerangan lanjut berserta bukti berhubung kontroversi ini.