Share |

Monday, 27 June 2011

Jangan sandiwarakan proses pemurnian

Penulis yang pernah menganggotai Panel Bebas Mengkaji Interlok kecewa dengan pelbagai kenyataan berbelit yang dikeluarkan pihak tertentu.
COMMENT
Pasti sahaja saya terkejut membaca kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong di akhbar theSun pada pagi 23 Jun 2011 berhubung perkembangan terbaru kerja-kerja memurnikan novel Interlok Edisi Murid.

Dalam kenyataan itu, beliau dilaporkan berkata bahawa keputusan untuk meminda hanya sebahagian kecil (sembilan halaman?) pada novel itu telah dibuat pada mesyuarat Panel Bebas dan kementerian hanya melaksanakan kerja-kerja pindaan berdasarkan keputusan itu.

Dari sudut yang lain, saya tidak pula terlalu terkejut menyaksikan “sandiwara” terbaru ini daripada seorang “pelakon tambahan”. Saya katakan demikian kerana timbalan menteri berkenaan tidak pernah terlibat dalam mana-mana mesyuarat Panel Bebas.

Beliau juga tidak terlibat dalam mesyuarat terakhir bersama Menteri Pelajaran di Menara Parlimen pada 23 Mac; iaitu sehari sebelum Menteri Pelajaran membentangkan keputusan berkaitan kontroversi novel Interlok Edisi Murid di Parlimen.

Untuk makluman, sebarang mesyuarat, perjumpaan atau pertemuan yang (mungkin) diadakan oleh mana-mana pihak selepas 24 Mac (sepatutnya) adalah semata-mata untuk memastikan kesemua 106 pindaan dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana sudah dijanjikan.

Maka, apabila saya membaca kenyataan Dr Wee, saya tertanya-tanya: Which “underground secret panel meeting” is he referring to?

Sebenarnya, pada 17 Jun lalu, sejumlah ibu bapa dan penjaga menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian berhubung perkembangan berkaitan proses memurnikan novel berkenaan.

Mereka mendapat maklumat daripada anak-anak (pelajar Tingkatan Lima) bahawa Kementerian Pelajaran sudah menyediakan pelekat yang akan digunakan untuk menampal bahagian-bahagian yang memerlukan “pindaan” pada novel edisi murid itu.

Saya terpinga-pinga kerana terdapat 106 pindaan yang sudah diperakukan dan perlu dilaksanakan. Pasti memerlukan pelekat khas (“pelekat ajaib”) yang banyak dan tenaga kerja yang ramai untuk melaksanakan tugas berkenaan.

Senarai 106 pindaan itu dikemukakan oleh Wakil Kaum India iaitu Dr NS Rajendran, G Krishnabahawan dan saya sendiri berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai sejak kami dilantik menyertai Panel Bebas pada Februari lalu.

(Manakala senarai pindaan yang dikemukakan oleh individu lain dalam Panel Bebas juga telah diperakukan tetapi mereka kemudian “menarik balik” senarai itu atas alasan yang tidak saya ketahui. Maka, saya tidak mahu masuk campur dalam hal itu.)

Pelekat ajaib

Kemudian, pada 21 Jun, akhbar New Straits Times menyiarkan berita yang mengesahkan bahawa “pelekat ajaib” digunakan untuk melakukan pindaan pada sembilan halaman sahaja dan langkah mengerah tenaga guru-guru untuk melakukan kerja itu dikatakan lebih mudah (murah?) dan dikatakan sesungguhnya itu adalah kerja guru.

Ini sudah keterlaluan! Saya tidak setuju bahawa pindaan menggunakan “pelekat ajaib” hanya perlu melibatkan sembilan halaman novel berkenaan. Mustahil 106 pindaan hanya melibatkan sembilan halaman.
Senarai pindaan yang dikemukakan oleh Wakil Kaum India dalam Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 28 Februari melibatkan pindaan (penyuntingan, pengguguran, penambahan, pembetulan) bagi 106 perkara yang turut melibatkan hak pengarang, kesalahan fakta dan perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum.

Senarai 106 saranan pindaan itu diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac. Pada 16 Mac, Wakil Kaum India turut menghadiri perjumpaan bersama Menteri Pelajaran di Menara Parlimen.

Pada mesyuarat itu, berlaku insiden tertentu yang akhirnya memaksa kami bertiga berundur daripada Panel Bebas. Berita lengkap mengenai apa yang berlaku sudah saya paparkan kepada umum menerusi blog saya.
Seterusnya, pada 23 Mac, Wakil Kaum India memenuhi undangan ke perjumpaan kedua bersama Menteri Pelajaran di Menara Parlimen. Pada perjumpaan itu, Menteri Pelajaran bersetuju bahawa 87 daripada 106 saranan pindaan yang dikemukakan oleh kami bertiga diterima tanpa perlu dibahaskan dan kerja-kerja pemurnian (pindaan) akan dilaksanakan oleh DBP.

Baki 19 saranan pindaan itu dibincang dan dibahaskan. Akhirnya, kesemua 19 perkara itu yang menyentuh sensitiviti kaum India dan melibatkan kesalahan fakta diterima untuk pindaan berdasarkan hujah dan fakta yang dikemukakan Wakil Kaum India.

Pada 25 Mac, Krishnabahawan dan saya mengadakan sidang media khas untuk menerangkan serta menjelaskan kepada wakil media, orang ramai, wakil parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai 106 pindaan yang sudah dipersetujui Menteri Pelajaran dan bakal dilaksanakan sebagaimana dijanjikan.

Pada pagi itu juga, kami berdua menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa novel Interlok Edisi Murid akan dicetak semula sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah untuk digunakan sebagai teks Komsas.

Maka, kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sebagaimana disiarkan di akhbar pada 21 Jun adalah bertentangan dengan apa yang dipersetujui dan dijanjikan Kerajaan kepada Rakyat.
Bagi saya, keputusan menggunakan “pelekat ajaib” bagi melakukan pindaan terhadap novel Interlok Edisi Murid atas apa alasan sekalipun adalah tanda hancurnya kepercayaan dan harapan yang diletakkan terhadap kredibiliti, kemampuan dan integriti Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan kontroversi ini secara baik.

Pindaan tanpa kompromi

Saya juga menerima pertanyaan daripada sekian ramai anggota masyarakat India yang tertanya-tanya mengapa kenyataan yang saya kemukakan semasa sidang media pada 25 Mac sangat berbeza dengan kenyataan Dr Mohd Puad.

Sekali gus, mereka mula mempersoalkan kredibiliti dan integriti saya sebagai individu yang pernah dilantik menganggotai Panel Bebas yang bersidang mulai 16 Februari lalu.

Bagi saya, sekiranya pindaan hanya dilakukan pada sembilan muka surat, maka segala apa yang dijanjikan dan dilakukan Kementerian Pelajaran sejak 27 Januari lalu hanyalah sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai “lakonan” dan “sandiwara” yang sekadar bertujuan mengabui mata Rakyat.

Dalam babak seterusnya “sandiwara” ini, Dr Mohd Puad mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok Edisi Murid di mana kos mencetak adalah RM5 senaskhah.

Maaf, saya tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu “tertipu” lagi dengan “permainan” dan “sandiwara” mana-mana pihak yang “cakap tak serupa bikin”.

Kebimbangan dan wasangka ini adalah berasas kerana bermula 16 Mac lalu, saya sendiri menyaksikan pelbagai taktik kotor oleh pihak tertentu untuk “menipu” dan “memutar-belit” fakta berhubung senarai pindaan yang diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac.

Maka, sikap berwaspada dan wasangka (bukan lagi prasangka!) yang saya tunjukkan adalah amat berasas.
Saya mahu memastikan bahawa kesemua 106 saranan pindaan dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Perkara pertama yang saya mahu lihat adalah “Sasterawan Negara Abdullah Hussain” dicetak pada kulit hadapan novel dan terdapat “© Abdullah Hussain 1971” pada Halaman Hak Cipta. Kesemua 106 pindaan perlu dilakukan sebagaimana dijanjikan. Jangan jadikan ini “janji pilihan raya”!

Rakyat juga wajar turut serta dalam proses memastikan kesemua 106 pindaan dilakukan sepenuhnya seperti yang dijanjikan. Jika masih ada unsur “lakonan”, “sandiwara” dan “penipuan”, maka Rakyat sendiri boleh menjadi Hakim dan menjatuhkan “hukuman” terhadap Kementerian Pelajaran dan Kerajaan.

Orang ramai boleh menghubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan senarai 106 saranan pindaan atau mengundang penulis memberi penerangan lanjut berserta bukti berhubung kontroversi ini.

No comments: