Melihat perkembangan politik semasa umpama membaca kisah dalam epik Mahabharata.
COMMENT
Perhatikan “percaturan” parti-parti politik masa kini dan kita mungkin segera teringat akan epik Mahabharata yang ditulis dalam Bahasa Sanskrit oleh Vyasa antara kurun ke-5 Sebelum Masehi dan kurun ke-2 Masehi.
Epik berkenaan yang diakui sebagai teks puisi terpanjang di dunia mengisahkan perang saudara antara golongan Kauruva (pakatan seratus orang) dan golongan Pandava (pakatan lima orang) berikutan tindakan Kauruva “merampas” kerajaan daripada Pandava secara tipu muslihat.
Antara lain, dikisahkan dalam Mahabharata bahawa pada suatu ketika, Arjuna (ketua Pandava) pergi ke Himalaya untuk mendapatkan senjata sakti. Maka tinggallah Sahadeva, Yudhisthira, Bhima dan Nakula bersama-sama Draupadi di hutan Kamyaka.
“Hutan ini sudah hilang seri tanpa kehadiran suamiku,” sering Draupadi mengeluh.
Akhirnya, kelima-lima mereka memutuskan untuk mengembara ke tempat lain supaya tidak terlalu merindui Arjuna yang telah ke Himalaya untuk bertemu Dewa Indra.
Setelah melalui beberapa tempat, kumpulan itu sampai di hutan Narayanasrama. Pandava (tanpa Arjuna) dan Draupadi memutuskan untuk tinggal di hutan berkenaan buat beberapa lama. Tujuan utama adalah untuk melupakan rindu terhadap Arjuna.
Suatu hari, angin dari arah utara mengugurkan sekuntum bunga yang harum tidak jauh dari tempat Draupadi berdiri. Lalu diambil dan diteliti wanita itu akan bunga berkenaan. Ternyata cantik dan harum.
“Wah! Ke mari semua,” laung Draupadi ke arah Sahadeva, Yudhisthira, Bhima dan Nakula. “Lihat bunga yang cantik ini; harum baunya.”
“Ya, memang cantik,” kata Yudhishthira.
“Kita perlu dapatkan benih pokok bunga ini. Saya akan tanam di tempat tinggal kita di hutan Kamyaka. Biarlah pokok ini berbunga lebat sewaktu menyambut kepulangan suamiku dari Himalaya nanti,” tambah Draupadi.
Mendengarkan kata-kata itu, Bhima yang bertubuh sasa memutuskan untuk berusaha mendapatkan bunga berkenaan. Dia memutuskan untuk pergi bersendirian kerana dia pasti bahawa ia hanya kerja mudah.
Maka Bhima pun berjalan menuju ke arah utara iaitu arah dari mana angin bertiup. Dapat dihidunya bau harum bunga yang ajaib dan indah itu.
Disebabkan khusyuk menghidu bau harum serta keinginan memenuhi permintaan Draupadi, Bhima langsung terlupa tentang binatang buas yang hidup di hutam tersebut. Mujurlah tiada yang menyerangnya.
Tidak lama kemudian, Bhima tiba di suatu kawasan yang dipenuhi pelbagai tumbuhan di kaki gunung. Dia terus berjalan sambil mencari-cari pokok yang mengeluarkan bunga kesukaan Draupadi.
Lotong tua
Tanpa diduga, Bhima terlanggar sesuatu dan hampir terjatuh. Sambil mengimbangi badannya, dia meneliti apa yang dilanggarnya tadi.
“Ah! Apa bendanya ini?” fikir Bhima apabila terpandang objek yang menghalangnya.
Rupa-rupanya benda yang hampir dilanggar oleh Bhima tadi bukannya tunggul kayu tetapi seekor lotong tua. Ia tersedar daripada tidur akibat dilanggar Bhima sebentar tadi.
Bhima terasa jijik melihat binatang itu. Dia juga marah kerana lotong itu menghalang perjalanannya. Lalu Bhima cuba menakut-nakutkan lotong itu dengan meninggikan suaranya.
“Aduh; kasihanilah aku. Aku hanya seekor lotong tua yang tidak bermaya. Mengapa kau melanggar serta hampir memijak aku? Untuk apa kau menengking? Tidakkah kau kasihan melihat aku?” tanya lotong berkenaan.
Bhima tercabar mendengar kata-kata itu. Pada sangkaannya, lotong tua itu akan terkejut mendengar suaranya dan terus berlari meninggalkan tempat itu. Sebaliknya, ia bertanya soalan pula kepada Bhima.
“Aku adalah Bhima daripada keturunan Kuru. Aku seorang satria. Berani kau bertanya begitu pada aku!” balas Bhima pula sambil mengawal perasaan marah dan rasa terhina.
“Baguslah jika kau seorang satria daripada keturunan Kuru. Tapi mengapa pula kau cuba menakutkan aku? Tidakkah kau kasihan pada lotong tua yang tidak bermaya ini?” Tanya binatang itu lagi.
“Ah, sudah! Aku anak kepada Dewa Angin iaitu Vayu. Suaraku sahaja sudah mampu menggegarkan seluruh dunia. Tapi kau pula berani bertanya soalan kepada aku,” balas Bhima dengan megah. “Kau hanyalah binatang tua yang harus takut pada aku. Kau harus lari apabila aku tengking.”
Lotong tua itu tersenyum sinis. Matanya separuh terpejam. Ia masih terbaring melintang jalan yang sedang dilalui oleh Bhima dalam perjalanan mencari bunga yang diidam oleh Draupadi.
“Nampaknya kau tidak tahu sopan-santun. Mata kau rabun akibat kuasa. Kau terlalu sombong kerana memiliki kekuatan dan kemampuan luar biasa,” jawab lotong berkenaan. “Sepatutnya, kau belajar untuk menghormati semua pihak – termasuk golongan yang tidak bermaya seperti aku.”
“Sudahlah! Aku tidak ada masa untuk mendengar ceramah kau. Sepatutnya aku pijak sahaja kau sebentar tadi supaya kau mati. Tidak mengapa; aku maafkan kau. Nyah kau dari sini sebelum aku mengubah pendirian aku.”
Lotong tua berkenaan menggerak-gerakkan ekornya. Ia cuba menggerakkan badannya tetapi tidak berupaya.
“Aduh! Aku benar-benar tidak bermaya. Mengapa tidak kau cari jalan lain?”
“Apa? Berani kau memberi arahan kepada aku, anak Dewa Angin daripada keturunan Kuru! Kau memang mengundang maut.”
“Bersabarlah. Kau sepatutnya menghormati semua insan. Atau sekurang-kurangnya mengasihani insan tidak bermaya seperti aku. … Apa kata kau alihkan ekor aku ke tepi dan teruskan perjalanan?” Lotong itu mencadangkan.
Cadangan itu benar-benar membuatkan Bhima tercabar. Sambil mengetap bibir, dia menghampiri lotong itu dan memegang ekornya.
“Aku akan baling lotong ini supaya sampai ke Lautan Hindi!” Bhima berfikir.
Bagaimanapun, pemuda itu terkejut kerana dia tidak mampu mengangkat ekor lotong berkenaan. Bhima mencuba lagi tetapi tidak berhasil. Dia cuba mengawal perasaan hairan dan rasa tercabar.
“Binatang apakah ini? Mengapa terlalu sukar untuk mengangkat ekornya?” Bhima tertanya-tanya sendirian.
Walau sekuat mana pun dia mencuba, Bhima masih tidak dapat mengangkat ekor lotong berkenaan. Malah, untuk menggerakkannya pun tidak. Makin dia mencuba, makin sukar dirasakan. Lotong tua itu pula terus terbaring tidak bermaya.
“Siapakah kau, wahai lotong?” tanya Bhima akhirnya setelah menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada kuasa luar biasa yang dimiliki binatang itu. “Adakah kau sebenarnya keturunan dewa?”
Kuasa bukan segala-galanya
Mendengar kata-kata Bhima, lotong berkenaan membuka mata dan merenung pemuda berkenaan. Bhima
pula berdiri dengan kepala tertunduk; mengaku kalah.
“Akulah Hanuman.”
Bhima terkejut mendengar kata-kata itu. Terus dia melutut dan menyembah di hadapan lotong berkenaan. Tidak disangkanya binatang yang dihina dan cuba dipermainkannya adalah Hanuman.
“Maafkan aku,” pinta Bhima dengan penuh penyesalan.
“Tidak mengapa. Aku sengaja menghalang perjalanan kau kerana tempat yang kau tuju tidak selamat. Dan aku juga mahu kau sedar bahawa kuasa yang kau miliki bukanlah segala-galanya. Masih ada pihak yang lebih berkuasa.”
Hanuman menghulurkan benih bunga Saugandhika yang dicari oleh Bhima sambil menasihatkan:
“Jangan sangka pihak yang hina dan tidak bermaya boleh diperlakukan sesuka hati. Kalau golongan terhina itu mula menampakkan kuasa sebenar, kau pasti tewas.”
Maka pulanglah Bhima yang perkasa dengan benih di tapak tangan serta pengajaran dalam hati dan minda.
Saya pernah berkongsi kisah ini pada 2003. Kini, lapan tahun kemudian, melihat akan kecelaruan politik negara, ternyata kisah ini wajar diceritakan semula bagi kali yang entah keberapa!
Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan yang mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.