Bekas pengarah Jabatan Siastan Jenayah, Polis, Kuala Lumpur berkata pakar patologi Thailand Dr Pronthip Rojanasunand sepatutnya dibenarkan membuat bedah siasat di negara ini.
COMMENT
Oleh: Mat Zain bin Ibrahim
Sehingga keakhir tahun 1998 nilai kesahan dan kebolehpercayaan laporan-laporan Pakar Patologi (Pathologist ) tidak banyak dipersoalkan. Malahan kebanyakkan pendapat dan penemuan pakar-pakar berkenaan diterima bulat-bulat sebagai kata pemutus.
Namun begitu keadaannya berbeza sejak beberapa tahun kebelakangan ini dimana kedapatan kewibaan dan tahap profesionalisme pakar-pakar tempatan bidang ini, bukan sahaja diragui dan dipersoalkan malahan dikecam begitu hebat apabila telah terbongkar perbuatan manipulasi dan pemalsuan yang berlaku secara terancang dalam penyediaan laporan-laporan forensik dalam kes-kes berprofil tinggi yang tertentu.
Fenomena ini lebih terserlah lagi dalam kes-kes penyiasatan melibatkan kematian Teoh Beng Hock, Kugan Ananthan (Kugan), Aminurrasyid Amza, Ahmad Sarbani dan terkini dalam kes kematian C.Sugumaran pula.
Menambah burukkan lagi keadaan, ialah apabila Malaysian Medical Council sendiri telah mendapati seorang Pakar Patologi dari Hospital Serdang, Dr.Abdul Karim Tajuddin bersalah melakukan salahlaku professional kerana memalsukan penemuan laporan post-moterm dalam kes melibatkan Kugan.
Namun begitu Peguam Negara tidak memulakan sebarang pendakwaan terhadap Pathologist terlibat walaupun kesalahan tersebut adalah perbuatan memalsukan keterangan.
Punca ketidakyakinan rakyat.
Perbuatan memalsukan dan/atau memanipulasikan laporan forensik terdedah dengan jelas dalam penyiasatan insiden mata-lebam 1998.
Dalam kes ini, Gani Patail kini Peguam Negara, dengan kerjasama rapat oleh Musa Hassan,kini seorang mantan KPN telah memujuk dan/atau menghasut dan/atau memaksa seorang Perunding Pathologist dari HKL, Dr.Abdul Rahman Yusof untuk menyediakan laporan-laporan pakar yang palsu untuk mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami oleh Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis adalah akibat dicederakan sendiri (self-inflicted injuries).
Gani Patail dan Musa Hassan sanggup melakukan tindakan tersebut dipercayai untuk menyeragamkan dengan pengumuman yang dibuat 3 minggu sebelum itu oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir ,bahawa Anwar telah mencederakan diri sendiri.
Begitu juga dengan pemalsuan keterangan DNA diatas tilam masyhur oleh Musa dan Gani yang dipercayai dilakukan setelah sebulan sebelum itu Tun Mahathir mengumumkan bahawa pemecatan Anwar dari semua jawatan Kerajaan dan Politik, diatas sebab kelakuan tidak bermoral dan penglibatan beliau dalam aktibiti homoseksual.
Pemalsuan yang mereka lakukan ini adalah sebegitu jelas sehinggakan Hakim mendiang Datuk Augustine Paul yang dikatakan memihak kepada pihak pendakwaan pun, tidak berani untuk menerimanya sebagai keterangan sahih dan benar, lalu mengeluarkannya daripada rekod prosiding.
Bukan sahaja mereka-meraka yang melakukan pemalsuan ini diberi perlindungan oleh Kerajaan, malahan Gani Patail dan Musa Hassan masing-masing dijadikan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara kemudiannya, diikuti dengan anugerah Darjah-Darjah Kebesaran dan rezeki yang melimpah ruah.
Mungkin akibat melihat faedah dan ganjaran yang diterima oleh mereka berdua inilah, yang mendorong satu atau dua orang lagi Pathologist yang lemah semangat untuk mengikuti jejak langkah mereka yang tidak bertanggung jawab itu.
Akibatnya kesemua laporan forensik oleh Pathologist tempatan dipertikaikan kesahan dan kebolehpercayaannya khususnya dalam kes-kes kematian ketika dalam tahanan polis.
Walhalnya Negara kita sendiri mempunyai pakar Pathologist yang bukan sahaja setaraf, malahan lebih baik lagi daripada Dr. Pornthip Rojanasunand dari Thailand itu.
Dakwaan penglibatan YAB Perdana Menteri.
Kini tahap ketidakpercayaan kepada laporan forensik oleh pakar patologi tempatan dibawa pula ketahap antarabangsa apabila, terdapat dakwaan terbuka yang mengaitkan PM Najib sebagai telah memberi tekanan kepada Perdana Menteri Thailand untuk menghalang Dr.Pornthip Rojanasunand untuk datang kesini bagi membuat pemeriksaan kedua keatas mayat Sugumaran sepertimana yang beliau lakukan dalam kes Teoh Beng Hock.
Peguam-peguam keluarga mendiang Sugumaran tidak akan membuat dakwaan terbuka yang serius sedemikian itu terhadap seorang PM, sekiranya mereka tidak mempunyai bukti yang kukuh.
Kini Dr.Pornthip sendiri telah membuat kenyataan terbuka menerusi media elektronik.Sungguhpun maklumat yang didedahkan adalah terhad,namun ianya sudah cukup untuk membuktikan bahawa memang benar terdapat sesuatu perundingan antara pemimpin kedua-dua Malaysia dan Thailand , supaya Dr.Pornthip dihalang daripada melakukan pemeriksaan kedua, keatas mayat Sugumaran walaupun beliau telah mempersetujuinya sebelum itu.
Apa yang rakyat tidak mungkin akan tahu ialah permainan dan persetujuan dibelakang tabir, diantara kedua pemimpin tersebut.Kita berharap PM Najib telah dinasihatkan oleh Jabatan Peguam Negara akan implikasi tindakan beliau itu jika terbukti benar.
Perkara yang dilakukan bukan “perundingan politik” tetapi adalah suatu konspirasi jenayah untuk menyorokkan keterangan yang benar didedahkan didalam suatu prosiding kehakiman membabitkan kematian.
“It’s all fairy tales”
Dakwaan yang dilontarkan oleh peguam N.Surendran yang mewakili keluarga mendiang Sugumaran adalah sesuatu yang sangat serious yang bukan sahaja membabitkan maruah dan kredibiliti Perdana Menteri Malaysia tetapi membabitkan juga Perdana Menteri Thailand.
Jawapan “It’s all fairy tales” yang keluar dari mulut Najib sendiri adalah satu jawapan yang lemah dan tidak bermaya yang tidak sepatutnya datang dari seorang Perdana Menteri yang bertanggung jawab.Beliau sepatutnya lebih tegas dan melakukan sesuatu jika dakwaan itu tidak benar.
Kita percaya rakyat dan pemimpim-pemimpin Kabinet Thailand mempunyai pendirian mereka tersendiri khasnya apabila Perdana Menteri wanita mereka yang pertama, dikaitkan dengan konspirasi jenayah di-Negara kita.
Begitu juga dengan reaksi apabila terdapat beberapa Peguam Perancis mendedahkan yang Najib sendiri terlibat dalam scandal pembelian Scorpene .Beberapa ramai puak pengampu di-Negara ini yang kononya tersangat marah dan tersinggung dengan pendedahan tersebut.
Malahan terdapat seorang Menteri Kanan yang kononya sanggup mempertahankan Najib sehingga titisan darah yang terakhir dalam perkara ini.Terdapat juga Menteri dan pemimpin-peminpin kerajaan yang lain yang mengambil tindakan “tidak dapat tanduk,telinga dipulas” seperti yang berlaku kepada NGO Suaram.
Kita harus terima hakikat bahawa di-Thailand juga mempunyai pemimpin-pemimpin dan puak yang serupa yang akan menunggu masa untuk bertindak balas dengan cara tidak dapat tanduk telinga dipulas juga.Lebih lagi rakyat Thailand yang sangat sensitif jika Raja atau pemimpin tertinggi mereka dihina atau dituduh yang bukan-bukan.
Yang menjadi mangsanya kelak ialah rakyat jelata khasnya yang berada dipersempadanan kedua Negara.Saya faham sensitibiti mereka, kerana pernah bertugas selama 6 tahun di-Changloon dan Padang Besar ,ketika pagar dan tembok sempadan mula dibina sehingga selesai.
Apa yang boleh kita lihat dihadapan mata dan kepala kita sekarang ini pula, ialah masaalah lebih kurang 100 orang penceroboh dari kepulauan Filipina yang dikatakan bersenjata yang menyusup masuk ke-Lahad Datu,Sabah.
Jika Kerajaan mengharapkan kerjasama yang jujur daripada Kerajaan Filipina untuk mengusir penceroboh-penceroboh ini ke-Negara asal mereka, maka kita patut melupakan harapan itu.
Jika Kerajaan Najib boleh menipu dan mempermainkan Kerajaan Filipina disaat-saat akhir berkaitan dengan penyerahan Manuel Amalilio, seorang penjenayah yang dikehendakki kerana menipu lebih kurang 15,000 pelabur rakyat Filipina pelaburan berjumlah P12 Billion, maka mereka juga menantikan peluang untuk bertindak balas secara tidak dapat tanduk telinga dipulas juga.
Kerana ingin menyelamatkan seorang penjenayah yang sangat dikehendakki oleh Filipina,yang kebetulannya mempunyai pertalian persaudara dengan Musa Aman,Ketua Menteri Sabah,Anifah Aman, Menteri Luar yang berkaitan dengan Gani Patail,Peguam Negara juga,Kerajaan Najib telah meletakkan rakyat Malaysia yang tidak berdosa yang sedang berada atau bekerja di-Filipina dalam risiko untuk diapa-apakan oleh mana-mana satu daripada 15,000 orang atau sanak saudara mereka, yang menjadi mangsa penipuan oleh Amalilio.
Kita tidak boleh hairan jika pasukan keselamatan Filipina akan membiarkan sahaja lebih ramai penceroboh-penceroboh dari kumpulan yang sama, masuk ke-Lahad Datu setelah mereka diaibkan oleh Polis kita yang “merampas” Amalilio dari genggaman mereka, sejurus sebelum menaiki kapal terbang ke-Filipina.
Akhirnya kita akan terpaksa menyerahkan sebahagian dari tanah Sabah kepada penceroboh-penceroboh itu sepertimana kita terpaksa menyerahkan Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.
Kejadian penahanan seorang Senator Australia,Nick Xenophon di-Lapangan Terbang LCCT dan menghalang beliau dari memasukki Negara ini awal pagi tadi,jelas membuktikan Najib dan Kerajaannya menyimpan dendam terhadap Xenophon, kerana telah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Kerajaan BN tahun lalu.
Jika Najib dan Kabinetnya boleh menyimpan dendam terhadap seorang Senator Australia,maka begitu juga Kabinet dan rakyat Thailand boleh menyimpan dendam terhadap rakyat Malaysia kerana mengaitkan Perdana Menteri mereka dengan salahlaku jenayah, manakala Kabinet dan rakyat Filipina pula menyimpan dendam terhadap kita akibat ditipu disaat akhir dalam kes penyerahan Amalilio.
Mungkin kepada PM Najib peristiwa yang berlaku ini dan kemungkinan sejarah akan berulang hanyalah fairy tales semata-mata.Itu hak beliau.Rakyat pula mempunyai hak untuk mengetahui perkara sebenar.
Kebolehpercayaan penafian Najib.
Berdasarkan kepada dolak-dalik Najib dalam memberikan jawapan kepada beberapa perkara penting sebelum ini dan memandangkan bahawa beliau sendiri boleh keliru atau tersilap dengan nama beliau sendiri, sama ada terdapat perkataan Muhammad atau tidak,maka jawapan beliau dalam perkara Dr.Pornthip Rojanasunand itu amat meragukan,mengelirukan dan tidak ada nilai kebolehpercayaan.
Ministerial Statement.
Memandangkan tindakan dan jawapan Najib dalam perkara-perkara yang dinyatakan diatas,boleh menimbulkan kegusaran dan perasaan bimbang dan cemas dikalangan rakyat jelata, khasnya mereka yang mempunyai keluarga atau sanak saudara dan sahabat handai yang bersempadan atau didalam Negeri Thailand,Filipina dan Australia maka PM Najib sewajarnya mengeluarkan satu Kenyataan Menteri (Ministerial Statement) bagi menjelaskan tindakan yang beliau telah ambil berkaitan perkara Dr.Pornthip Rojasunand,Manuel Amalilio dan terbaru terhadap Senator Nick Xenophon.
Jika Kerajaan boleh mengeluarkan Ministerial Statement menerusi Parlimen pada bulan Disember 2010 sebagai membela Gani Patail dan Musa Hassan daripada dakwaan salahlaku jenayah mereka berdua,maka rakyat mengharapkan penjelasan yang terperinci juga, dalam perkara yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada kehidupan dan keharmonian rakyat sendiri.
Nota: Datuk Mat Zain bin Ibrahim adalah bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur. Kandungan diatas adalah surat terbuka beliau kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Hj.Omar.