Share |

Tuesday, 26 January 2010

“Allah” dan dakyah Kristian

thenutgraph.com


(Gambar buku oleh Ivan Petrov; gambar sembahyang oleh Adrian Van Leen / sxc.hu)

SALAH satu alasan penganut Islam yang menentang penggunaan kalimah "Allah" oleh orang bukan Islam di Malaysia ialah perbuatan ini akan mengelirukan umat Islam. Ini pula kerana kononnya terdapat konspirasi Kristian untuk menyesatkan orang Islam supaya mereka murtad dan memeluk agama Kristian.

Dan alasan ini telahpun digunapakai oleh pemimpin politik, termasuklah ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat kawasan Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin. Tetapi mungkinkah isu murtad ini satu isu yang berasingan daripada hak untuk menggunakan kalimah "Allah"?

Dalam isu penggunaan "Allah" oleh orang bukan Islam, sudah terbukti bahawa ia satu fenomena yang biasa di Timur Tengah, Indonesia, malah juga di Sabah dan Sarawak. Jadi, isunya di sini ialah, adakah orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia berhak untuk memegang hakcipta terhadap kalimah "Allah" dan melarang penganut agama lain daripada menggunakannya? Isu Kristian kononnya menyebarkan dakyah untuk menyesatkan umat Islam sebenarnya terkeluar daripada tajuk perbincangan.

Namun, ia merupakan satu topik yang nampaknya menghantui sebilangan besar umat Islam, terutamanya di Malaysia. Soalnya, adakah ketakutan umat Islam di Malaysia terhadap orang bukan Islam itu munasabah? Selanjutnya, apakah penyelesaian yang terbaik untuk meredakan ketakutan ini? Apakah dengan membendung hak warga bukan Islam untuk menggunakan kalimah "Allah", kita dapat menyelesaikan masalah ini?


Langit masjid (kiri) dan gereja (Gambar oleh ctkirklees and beriliu / sxc.hu)

Strategi pendakwah

Sesungguhnya, tidak dapat dinafikan bahawa ada di kalangan puak Kristian yang giat cuba menyebarkan agama mereka kepada golongan bukan Kristian. Malah, terdapat judul-judul khas yang diterbitkan untuk mengajar orang Kristian cara-cara yang terbaik untuk mengKristiankan pengikut Islam. Besar kemungkinan golongan seperti ini juga wujud di Malaysia.

Tetapi tidakkah para muslimin dan muslimat di Malaysia juga cuba menyebarkan agama Islam kepada orang bukan Islam? Lihatlah saja pelbagai kursus yang mengajar muda-mudi Islam untuk mengIslamkan orang bukan Muslim. Ada yang disasarkan kepada penganut Kristian, ada yang bersifat lebih umum, dan ada pula yang khusus untuk komuniti Orang Asli yang diterajui oleh pihak berkuasa dan juga parti politik seperti PAS.

Dalam hal ini, tidak pula tindakan ini menimbulkan kemarahan orang ramai. Malah, orang Islam di Malaysia sungguh bangga apabila mendapat "saudara baru" — kita menggunakan kata-kata seperti "tenang" dan "sempurna" untuk menggambarkan kehidupan orang bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam.

Sebenarnya tidak salah apabila kita tumpang bersyukur dan berbesar hati apabila ada orang yang akhirnya memeluk sistem kepercayaan kita. Tetapi soalnya, mampukah kita menghormati bahawa penganut agama lain juga akan turut bersyukur dan berbesar hati apabila mereka mendapat "saudara baru" sendiri?

Dakwaan tidak berasas

Sekiranya benar dakwaan bahawa orang Kristian berjaya mengKristiankan orang Islam, contohnya dengan menggunakan perkataan "Allah", maka bukti yang kukuh perlu dikemukakan.


Harussani Zakari (Sumber: mufti.perak.gov.my)
Kita mesti ingat bahawa kes serangan ke atas gereja bukan satu perkara yang baru. Pada tahun 2006, sekumpulan orang Islam telah mengepung dan menyerang gereja di Jalan Silibin, Ipoh. Sebabnya? Kononnya gereja tersebut cuba mengKristiankan orang Islam. Punca maklumat? SMS yang disebarkan, termasuk oleh mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Yang amat menyedihkan, sebenarnya gereja tersebut mengadakan upacara penamaan untuk sekumpulan kanak-kanak Kristian. Kesimpulannya, terdapat juga penganut Islam di Malaysia yang sanggup bertindak ganas atas khabar angin tentang usaha untuk memurtadkan umat Islam. Pihak yang menyebarkan khabar angin tersebut tiba-tiba tidak mampu tampil dengan angka-angka yang dapat membuktikan kesahihan dakwaan mereka.

Malah, statistik kerajaan sendiri menunjukkan bahawa bilangan orang Islam yang murtad adalah sangat kecil dan bukan satu perkara yang patut digunakan untuk menakutkan umat Islam. Dan kemungkinan besar, jauh lebih ramai rakyat yang memeluk agama Islam berbanding agama lain di Malaysia.

Yang merumitkan keadaan ialah kadang-kadang dalam setiap agama, akan muncul segelintir penganutnya yang bukan hanya yakin dengan kepercayaan mereka sendiri, tetapi akan bertungkus-lumus untuk mematahkan kepercayaan terhadap agama-agama lain. "Kami betul, yang lain semua sesat" — itulah rumusan kepercayaan dan strategi seharian mereka.

Dan hakikat ini merentas jurang agama. Contohnya di Amerika Syarikat, seorang bekas penganut Islam yang kini menjadi pendakwah Kristian cuba merumuskan 10 perkara yang perlu diketahui tentang Islam kepada para pendakwah Kristian yang lain:

1 Allah dan Jehovah bukan Tuhan yang sama (bagaimana pula gereja Katolik di Malaysia akan menjawab dakwaan ini?).

2 Jihad (baca: peperangan) disarankan dalam Al Quran dan hadis.

3 Terdapat protokol tertentu dalam Islam (contohnya kaum wanita tidak dibenarkan berjihad).

4 Islam tidak menghormati kebebasan beragama.

5 Islam memandang kaum wanita lebih hina berbanding dengan agama Kristian.

6 Islam memandang rendah Nabi Isa (maaf, "Jesus").

7 Islam memandang rendah kitab Injil.

8 Dalam Islam, tiada jaminan untuk masuk ke syurga kerana kepercayaan Islam lebih banyak bergantung kepada amal ibadat dan muamalat.

9 Islam berpecah kepada pelbagai mazhab.

10 Semakin hari semakin ramai orang Islam memeluk agama Kristian.

Benar, sebagai seorang Muslim, saya amatlah terkilan dengan dakwaan-dakwaan seperti ini terhadap kepercayaan yang saya anggap suci. Tetapi apabila melihat 10 butir ini, saya sendiri tahu bahawa lebih daripada separuhnya tidak berasas ataupun boleh dicabar. Masalahnya sekarang, ramai juga orang Islam yang membuat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas seperti ini terhadap kepercayaan Kristian.

Dan perbezaannya sekarang ialah bukannya penganut Kristian yang memegang kuasa di Malaysia. Malahan, institusi awam kita rata-ratanya semakin hari semakin diIslamkan.


Indira Gandhi
Di Malaysia, adakah golongan bukan Islam yang cuba memaksa M Revathi untuk memeluk Islam? Adakah golongan bukan Islam yang cuba mengIslamkan anak-anak M Indira Gandhi? Adakah golongan bukan Islam yang cuba merampas tanah komuniti Ahmadiyah? Adakah golongan bukan Islam yang beria-ia mahu mengisytiharkan mendiang Mohan Singh sebagai "saudara baru"?

Melangkah ke depan

Jadi, apakah langkah seterusnya? Bakar gereja lagi? Bakar masjid pula? Gunakan Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, atau undang-undang syariah? "Berdialog"?

Soalnya, apakah kita mahukan rakyat Malaysia menaruh prasangka sesama sendiri? Yang Islam menuduh yang bukan Islam melakukan itu dan ini. Yang bukan Islam menyangka bahawa agama Islam itu sendiri mengajar umatnya untuk berkasar dan tidak bertolak ansur.

Hakikatnya, ramai juga yang masih tidak bersangka buruk antara satu dengan lain. Mungkin syarat yang paling berkesan sekarang ialah supaya semua perbincangan dilakukan secara terbuka dan jujur.

Kejujuran bermaksud bahawa kita semua perlu mengaku bahawa setiap agama ada penganut yang gila kuasa, tetapi ada ramai penganut yang percaya kepada persaudaraan dan persefahaman yang merentas sempadan kepercayaan. Keterbukaan bermaksud bahawa kita semua perlu menghormati pandangan dan pengalaman masing-masing. Pihak minoriti tidak sepatutnya dipaksa akur kepada kehendak "majoriti" jika kehendak ini tidak berprinsip. Apakah jika pihak majoriti mahu memancung kepala minoriti, pihak minoriti perlu menyerah saja?

Dan akhirnya, kita tidak boleh lupa bahawa pihak kerajaan dan institusi-institusi awam sepatutnya memelihara hak-hak kita semua, sama ada untuk bersuara, merujuk kepada mahkamah, berdemonstrasi secara aman, atau menganut kepercayaan masing-masing. Apabila pihak berkuasa sendiri tidak menjalankan tanggungjawab ini, ia bukan lagi merupakan soal "dakyah" atau "kepercayaan" yang terpesong — ia menjadi isu kewarganegaraan, yakni penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

1 comment:

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan pendapat anda. Memang orang Islam di Malaysia fobia dengan agama mereka. Apa yang perlu dilakukan adalah membuat analisa dan kupasan dengan lebih ikhlas dan telus. Justeru memberi satu mesej yang lebih fokal dan terjamin supaya para pengikut tidak celaru. Kini kecelaruan yang tersebar luas ini semakin mengugat perpaduan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Cerdik pandai dalam hal agama harus lebih bertanggungjawap dalam menangani hal ini. Jangan hanya pentingkan kepopularitian sahaja. Keberanian dalam menegakkan hak haruslah disandarkan kepada fakta dan bukannya kepada amalan.

Menerusi pendekatan yang lebih pratikal bukan hanya orang Islam di Malaysia dapat tidur nyenyak bahkan mereka yang bukan Islam juga akan berasa kehidupan mereka sebagai rakyat sah negara ini terjamin.

Perpaduan antara kaum di negara ini tidak harus dilihat sebagai teori bahkan kita harus pratikkannya. Persoalannya di sini, bagaimanakah, bilakah dan secepat mana perkara ini boleh diselesaikan.

Kerajaan juga tidak boleh bersikap tungu dan lihat. Kerajaan mempunyai tanggunjawab dan obligasinya terhadap rakyatnya. Jangan hanya ingat kerusi. Kerusi tidak bermakna tanpa sokongan rakyat.

Akhir kata, Bulat Air kerana pembetungan, Bulat Manusia kerana Muafakat. Jadi saya menyeru kepada kedua-dua pihak, bermuafakatlah demi kebaikan negara dan bangsa Malaysia.