Share |

Thursday, 19 November 2009

Transkrip Perbahasan Di Parlimen Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri

Teks Perbahasan Bajet 2010 – Versi Hansard , Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri Oleh : YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

ISNIN, 16 NOVEMBER 2009

Tuan Pengerusi: Kepala Bekalan B.1 hingga B.9 dan B.40 dan Kepala Pembangunan P.6 dan P.7 terbuka semula untuk dibahas. Sila Yang Berhormat Permatang Pauh.

_

12.30 tgh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Pengerusi, saya pohon turut serta dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa B.3, 010000 dan 020000 – Pengurusan Korporat dan Pengauditan. Kita baru-baru ini dikejutkan dengan Laporan Ketua Audit Negara.

Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan Menteri-menteri dan kerajaan berpura-pura terkejut dan memberi jaminan tindakan diambil. Akan tetapi, saya masih ingat tatkala Allahyarham Tan Sri Ahmad Noordin menjadi Ketua Audit Negara sejak itu lagi, sebelum beliau diangkat menjadi Pengerusi Suruhanjaya BMF. Beliau telah mencatat beberapa kelemahan tidak separah sekarang tetapi ada langkah-langkah diambil. Umpamanya ada lembaga ketika itu namanya Maju Ikan yang kemudian dibatalkan dan di antara sebabnya ialah pembelian bot kecil nelayan. Apabila ditanya, bot tidak sampai. Order dibuat, bayaran dibuat. Apabila ditanya pegawai berkenaan, katanya bot tenggelam dan perkara itu ditutup begitu sahaja. Itu sebagai contoh bagaimana pada peringkat itu sekurang-kurangnya dalam hal yang agak kecil yang melibatkan ratusan ribu ringgit yang mengejutkan dan tindakan cuba diambil.

Akan tetapi, sekarang kebocoran dan kerugian dari perkara yang sekecil membeli skru driver, komputer dan sehingga sebesarnya. Semua beri jaminan tindakan akan diambil. Sepatutnya setiap Menteri memberikan jawapan yang tegas dan tindakan diambil melalui Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan supaya ada makna pengauditan ini.

Saya mengalu-alukan tindakan dan keberanian Ketua Audit Negara serta pasukannya yang mengetengahkan isu-isu ini. Kalau kita ada Menteri KPI dan sebagainya tidak perlu sibuk soal lain. Kaji laporan Ketua Audit Negara dan perbaikinya. Itu pun sumbangan besar kepada negara… [Tepuk]

Akan tetapi, kalau kita hanya sibuk dengan rangka-rangka yang canggih dan pengumuman demi pengumuman hendak mempesonakan sedikit orang tetapi kesannya tidak ada. Lihat sahaja Laporan Ketua Audit Negara tahun ini, tahun sebelumnya, dan sepuluh tahun sebelumnya. Apakah ada perubahan yang lebih positif atau kita kekal malah lebih parah dalam beberapa aspek pelaksanaan?

Saya menyatakan di sini berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara yang kami ikuti sejak puluhan tahun yang lalu ternyata tidak ada kesungguhan lebih-lebih lagi sekarang dalam pimpinan kerajaan sekarang kerana kesibukan mereka ialah membelanjakan sesuka hati, mengetepikan proses tender dan kemudian hendak salahkan pegawai-pegawai sahaja. Saya tidak katakan kita harus pertahankan semua pegawai yang terlibat dan dianggap salah. Akan tetapi, saya anggap kelemahan ini berpunca daripada pimpinan politik yang lemah dan tidak mempedulikan soal pertanggungjawaban dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Kita lihat sahaja umpamanya sikap-sikap menteri dalam soal rasuah dan kerugian-kerugian besar. Kita ambil PKFZ, mana menteri yang sanggup pada mulanya mengambil tindakan? [Tepuk] Di mana suara Ahli Parlimen?… [Tepuk]

Tentunya Ahli Parlimen lebih takut lagi kerana pengaruh orang-orang dalam PKFZ.

Akan tetapi di mana suaranya sehingga didedahkan bertahun-tahun barulah berpura-pura mengambil sedikit tindakan dan yang bertanggungjawab itu menteri-menteri kanan. Bekas Menteri Pengangkutan Tun Ling Liong Sik, setelah Datuk Seri diangkat menjadi Tun. Apakala dibuktikan penglibatan beliau dalam kecurangan dan perompakan dalam PKFZ. Tuan Pengerusi mungkin sebut, “Oh kita guna istilah ini”. Apa istilah lain untuk diganti dalam PKFZ ini kalau belanja dan tanggungan yang sedemikian?

Kemudian, Menteri Pengangkutan berikutnya dan beberapa pegawai yang lain kita tidak tahu mana kesudahannya? Jadi, audit itu satu hal di mana ia membantu kita untuk mendapatkan keterangan yang cukup. Akan tetapi, untuk pemerintah dan kerajaan yang bertanggungjawab tindakan dalam item berkenaan itu harus diambil. Tidak cukup umpamanya menjerit dalam Dewan Rakyat mengatakan kami ini peka kepada rakyat. Ya, bantu RM40,000 atau RM100,000 atau setengah juta kepada kawasan. Rugi PKFZ RM12 bilion… [Tepuk]

Tanggungan PERWAJA RM13 bilion. Bayaran oleh Kementerian Kewangan, dua minggu setelah saya dipecat kepada PERWAJA RM3.6 bilion dan soalan-soalan saya tidak dijawab sampai sekarang. Apakah alasan Kementerian Kewangan menutup kes itu dengan sebegitu mudah. Bukan tanggungan sebenarnya, bayaran. Jadi, apa makna RM3 bilion senang sahaja beri kepada tauke. Kemudian, kita sibuk dengan RM30 juta canang satu negara bagaimana kita beri khidmat kepada rakyat jelata. Ini bukan soal pegawai, ini soal pimpinan negara.

Saya sebut tentang subsidi IPP, dijawab semberono. Subsidi IPP berbeza dengan peruntukan yang banyak kepada rakyat. Subsidi kepada tauke-tauke besar, siapa yang berani sentuh tauke-tauke besar? Hendak runding semula pun susah. Jangankan tindakan, runding semula dan malah ada ketika Menteri bagi jaminan ya kami bersedia runding semula perjanjian IPP. Siapa dia yang dapat IPP? Genting Sangyen, tauke Genting, untung catat ratusan juta. Siapa dia YTL, untung catat ratusan juta. Jawabnya, YTL dapat juga di negara-negara lain. Lihat

rekod kewangan di Malaysia dan di negara-negara lain. Keuntungan di sini lah yang paling besar kerana apa? Kerana sekongkolnya pemimpin-pemimpin negara dengan syarikat-syarikat besar… [Tepuk]

Kalau pimpinan negara mempunyai integriti, kewibawaan, keberanian, dan courage, mereka boleh berunding dengan mana-mana tauke besar tanpa kira dan menetapkan syarat yang baik. Kemudian, ada Yang Berhormat Batu Pahat hendak cakap? Siapa?

Beberapa Ahli: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, Yang Berhormat Batu Pahat sila bangun dan cakap… [Tepuk]

Beberapa Ahli: Bangun, bangun. Cakap, cakap… [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: [Bangun]

Tuan Pengerusi: Ahli-ahli Yang Berhormat. Tidak beradat. Di dalam Dewan tidak ada cabar-mencabar. Yang Berhormat Permatang Pauh silakan teruskan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Pengerusi, saya tidak mencabar. Akan tetapi, saya tahu di mana terutamanya Timbalan Menteri patut tahu adab dan akhlak. Biar budak-budak dengar… [Tepuk]

Tuan Pengerusi: Sila teruskan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat tidak boleh jerit dari belakang, saya dengar. Sudah kaya raya… [Ketawa] Ya, cuba tanya kedudukan pendapatannya. Kaya raya kemudian menjerit. Beri, saya beri ruang. Bukan cabar, saya hendak beri ruang. Tanya kalau apa yang saya katakan ini tidak bertanggungjawab… [Tepuk]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Tuan Pengerusi…

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya tidak gunakan ruang di Parlimen. Tuan Pengerusi kenal saya.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Tuan Pengerusi…

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ada bukti saya sebut, tiada bukti saya diam… [Tepuk] Ini PKFZ ada bukti.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Tidak, saya bangkitkan tadi yang RM8 juta saham Yang Berhormat Gombak itu macam mana?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, baik saya boleh jawab. Siasatan sejak 1998. Tahun ini 2009, apa yang jadi? Ditutup kerana tidak ada asas. Yang Berhormat Batu Pahat bercakap sebagai Ahli Yang Berhormat Timbalan Menteri Pelajaran. Timbalan Menteri Pelajaran kah? Saya pun tidak tahu.

Beberapa Ahli: Timbalan Menteri Pelajaran… [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya pun tidak berapa kenal. Cakap soal Islam, ungkapkan dengan istilah. Soalan kaitan, tuduhan, dan fitnah dengan fakta lain.

Tuan Pengerusi tahu Yang Berhormat sendiri sebut Anwar punyai RM3 bilion. Disiasat… [Tepuk] Saya cabar untuk siasat saya… [Tepuk]

Terima kasih Yang Berhormat Menteri pun mengangguk. Memang saya sahabat Yang Berhormat Tasik Gelugor. Cabar siasat saya, cabar siasat akaun saya dalam negara, luar Negara dan termasuk di Switzerland… [Tepuk]

Saya kata Perdana Menteri sekarang, bekas Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri yang lama itu, siasat akaun dalam negara dan di Switzerland… [Tepuk]

Seorang Ahli: Setuju… [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Mana ada jawapan? Yang ada ialah fitnah berterusan. Termasuklah ustaz dan ustazah dalam UMNO pertahankan. Saya hendak beritahu di sini, saya cabar suruh siasat saya dan semua yang ada akaun di dalam negara dan luar negara kerana media UMNO dan Barisan Nasional guna sepenuhnya mengatakan Anwar punyai RM3 bilion. Diam, saya tahu pasukan kanan SPRM ke Penjara Sungai Buloh berjumpa saya sekali bersabit RM3 bilion.

1240

Saya bagi kenyataan. Diam sehingga 2009, minggu lalu, Pengarah Siasatan BPR buat kenyataan bersumpah di mahkamah mengatakan kami telah melakukan siasatan menyeluruh terhadap tuduhan tersebut, kami dapati tidak ada asas, kes tutup… [Tepuk]

Tuan Pengerusi, 11 tahun saya difitnah. Saya puji pegawai sekurang-kurangnya dia buat siasatan. Akan tetapi arahan Perdana Menteri pada masa itu, tutup, jangan sebut hasil siasatan.

Tuan Pengerusi, apakah saya ini paria di kelas bawahan? Sudah diterajang, dipukul setengah mampus dan ramai Ahli Parlimen dan kawan-kawan saya dahulu ketawa dan diaibkan. Kalau ada bukti, silakan! RM3 bilion, sibuk satu negara diceritakan soal RM3 bilion termasuk Ahli Parlimen dari Jelebu. Bukan Jelebu, yang kaya raya itu. Dia marah, cabar, mana dia kekayaan dia? Amboi! Saya kata, okey, siasat saya. Siasat dia, tengok… [Ketawa] [Disampuk]

Seorang Ahli: Rembau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Eh, Rembau, Rembau! Silap Jelebu. Rembau, Rembau, Rembau, menantu. Yang Berhormat Menantu.

Tuan Pengerusi, soal RM3 bilion ini sebagai contohlah. Saya nak sebut Yang Berhormat Batu Pahat, politik, politiklah. Apabila kita cakap, Ahli Yang Berhormat kata oh, ini fitnah. Fitnah apa? RM3 bilion, saya tanggung 11 tahun fitnah itu. Ya, Alhamdulillah kebanyakan tidak percaya, tetapi ada orang percaya sebab yang disebut, yang menyebutnya itu media-media dan pemimpin-pemimpin. Kadang-kadang tidak di majlis terbuka, majlis tertutup. Fitnah ini keji, tak boleh kita teruskan.

Tuan Pengerusi tahu, banyak perkara yang saya tidak bersetuju. Akan tetapi, kalau saya tidak ada bukti, saya tak sanggup guna Dewan untuk serang dalam isu ini. Apabila saya sebut PERWAJA, Bakun atau PKFZ, saya lihat rekod.

Pertama kali saya keluarkan selepas Yang Berhormat Ipoh Timur bangkitkan dahulu, saya keluarkan dengan lengkap kenyataan PKFZ. Itu hanya setelah saya lihat sendiri dokumen termasuk Kertas Kabinet berkaitan. Nanti tanya pula, mana dapat? OSA pula… [Ketawa] Tak tahu! Macam mana tak tahu, sampai di depan saya. Jin mana hantar, saya tidak tahu… [Ketawa]

Kemudian selepas itu hilang.Apabila saya lihat, baru saya tahu percanggahan yang cukup besar. Iaitu seorang Menteri Pengangkutan boleh buat surat jaminan sebegitu rupa dan jawabnya tidak tahu, tidak ingat. Ini kesalahan besar dalam sistem pentadbiran kerajaan.

Yang Berhormat Tasek Gelugor, Menteri tahu bekas Bank Negara dan Menteri Kewangan bahawa tidak ada Menteri yang boleh buat surat jaminan selain Menteri Kewangan. Akan tetapi, ini dilakukan oleh senior Cabinet Minister. Apa yang dilakukan? Naik jadi Tun. Sistem kita permainkan. Orang boleh rompak ratusan juta, ribu juta boleh buat begini dengan kepentingan perniagaan guna wang rakyat berbilion ringgit memperkayakan diri, kroni dan keluarga dan kita tutup kes. Kemudian kita gunakan untuk fitnah orang lain.

Ini yang kita sebut peringatan, bukan peringatan Ronggo Warsito yang dipinjam oleh Timbalan Perdana Menteri. Ronggo Warsito kata zaman edan begitu, zaman edan ini pak, Tuan Pengerusi… [Ketawa] Bapak pula. Ini zaman edan ini, zaman gila Yang Berhormat Tapah. Zaman edan ini ikut philosophy Jawa ini, zaman gila. Saya sebut setelah melihat karya Ronggo Warsito yang awal itu diminta oleh Sukarno untuk diterjemahkan sebenarnya dan kemudian diedit semula.

Jadi, dia kata zaman edan ini, orang baik, yang akhlaknya baik, yang hidupnya

sederhana dituduh rasuah. Penyangak dan perasuah diangkat dan dipuja menjadi pemimpin… [Tepuk] Bukan saya kata, Ronggo Warsito kata.

Jadi, semalam di Kota Bharu, nasib Tuan Guru Nik Abdul Aziz dicerca, diaibkan dan dikaitkan dengan rasuah kerana ada sponsor nak bawa dia menunaikan fardu haji. Saya akui ada masalah teknikal di situ. Akan tetapi Tuan Pengerusi, ini orang yang menjadi Menteri Besar 19 tahun. Boleh check rekod akaun dia, boleh tengok harta dia, boleh tengok kesederhanaan hidupnya. Saya bandingkan, saya sendiri pun dengan stail, tentunya lebih mahal daripada dia, kot saya dengan baju dia. Untuk kita, pemuda-pemuda UMNO dengan kekayaan sedemikian, secara angkuh dan takabbur menyerang Tok Guru itu sebagai perasuah, patut letak jawatan Tuan Pengerusi, ini dia… [Dewan riuh] Bangsa apa ini? Kita cakap soal Melayu, ketuanan Melayu, harapan Melayu. Bangsa apa ini yang boleh menghina seorang pemimpin?… [Dewan riuh][Tepuk] Kita mungkin berbeza pendapat.

Tuan Pengerusi pun tahu dalam kalangan pimpinan, ada pimpinan-pimpinan UMNO tertentu dahulu dan sekarang yang saya tidak sentuh kerana saya tahu masih boleh pertahan sedikit sebanyak kewibawaannya. Akan tetapi, ini hendak banding dengan Tuan Guru Nik Aziz, oleh tokoh-tokoh muda ini yang kaya raya dan cara dia lapor dan cerca, itu mengejutkan kita dan tidak menjadi budaya politik yang sihat dan guna SPRM.

Ini yang RM13 bilion rugi? Ha, Yang Berhormat Padang Besar tahu, dia Pengerusi PAC. Mana dia tindakan? Terpaksa tunggu bertahun-tahun. Desakan demi desakan sehingga menjadi satu isu besar barulah nak mulakan siasatan. Beza dengan sponsor naik haji yang lazim dilakukan oleh semua tuan-tuan guru di negara ini. Cuma kebetulan tuan guru ini Menteri Besar. Tradisi umat Islam seluruh dunia, tanpa kecuali di Malaysia ini, seorang tokoh ulama yang dikenali, selalunya diambil oleh anak-anak qariah dan jemaahnya untuk dibawa bersama bagi memimpin haji mereka…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: [Menyampuk]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tak mengapa boleh tanya, siapa tadi? Tanya… [Dewan riuh]

Tuan Pengerusi: Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, ini peringkat Jawatankuasa. Jangan ganggu, tak apa, sila.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Boleh mencelah Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Pengerusi: Permatang Pauh, Permatang Pauh, panjang lagi?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya tidak bangkang Tuan Pengerusi, dia nak minta penjelasan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Tak, boleh minta penjelasan Tuan Pengerusi? boleh.

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Permatang Pauh sudah duduk, jadi bermakna bolehlah itu.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Ya, terima kasih, terima kasih.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Timbalan Menteri tak tahu undang-undang Dewan kah?

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Ya, sebab itu kita tanya, bukan macam Yang Berhormat Padang Serai. Cakap tak minta kebenaran. Yang Berhormat Padang Serai memang tak tahu peraturan, sebab itu cakap tak minta kebenaran. Saya tanya dulu. Saya nak tanya Yang Berhormat Permatang Pauh, yang menjadi isu sekarang ini ialah kalau itu tidak menjadi masalah, kenapa nak dibatalkan? Pergi sahajalah.

Akan tetapi, maksudnya, apabila tak jadi pergi, maka itu menimbulkan keraguan. Iaitu seolah-olah kalau orang tak tahu, pergi. Apabila dah tahu, tak jadi pergi. Apatah lagi yang sponsor ini kontraktor, yang ada dapat banyak projek di kelantan. Jadi, kena jaga. Jadi, maksudnya, pemimpin juga kena jaga dari segi maruah dan ini adalah penting supaya kredibiliti Menteri Besar ini dijaga. Ini yang menjadi persoalan. Yang Berhormat Permatang Pauh pun sebenarnya saya tengok tadi cakap pun bukan ikut peraturan, tuduh saya kaya raya. Apa bukti saya kaya raya? Dia dah tahukah akaun saya? Banyakkah duit dalam akaun saya berbanding akaun beliau dan isteri beliau? Terima kasih… [Dewan riuh]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Pengerusi, saya ini dalam hidup saya memang pantang dicabar! [Tepuk] Saya ada maklumat. Kalau Yang Berhormat mahu, bukan hajat saya untuk dedahkannya. Saya hendak bagi tahu, tetapi tak usah cabar saya. Cukup setakat itu. Ya, nanti tidak baik, tidak membantu saudara sebagai tokoh muda yang sedang naik… [Tepuk] Cuma nasihat si abang ini,…

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Dedahlah, tak ada masalah, tolong dedah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: …Biar saya jawab tentang Tuan Guru Nik Aziz. Tak apa, Tuan Guru Nik Aziz. Saya nak jawab pasal tok guru Nik Aziz.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi: Nak tengok akaun saya pun, saya boleh bagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, dengan akaun dalam negara, bank akaun luar negara…

Tuan Pengerusi: Ahli Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat…

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: …Syarikat nominee, tak nominee. Saya Menteri Kewangan dahulu, tanya Menteri Kewangan sekarang, kita tahu proses dia. Biar saya jawab Tuan Guru Nik Aziz dulu…

_1250

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Itulah saya kata, Tuan Pengerusi, ini sudah disebut nominee dan sebagainya. Tolonglah dedahkan, tidak ada masalah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak, tidak. Saya hendak jawab…

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tolong dedahkan, tidak ada masalah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak jawab Tuan Guru Nik Aziz.

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Permatang Pauh, jangan lupa kepala…, Kepala B.1

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Kepala tadi B.3

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Pengerusi, memang Yang

Berhormat Permatang Pauh ini dia suka serkap jarang.

Tuan Pengerusi: Jangan terkeluar daripada Kepala-kepala.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak keluar, tidak keluar.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang Pauh

memang serkap jarang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: SPRM.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Dia suka buat cara begitu. Dia bukan ada fakta pun.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: SPRM. SPRM.

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Batu Pahat, Yang Berhormat Permatang Pauh menjawab.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Kalau berani tolong dedahkan. Tolong dedahkan kalau berani. Jadi, jangan main tuduh-tuduh. Sama sahaja dua kali lima, menuduh orang tidak betul tetapi Yang Berhormat Permatang Pauh pun dua kali lima tidak betul, buat tuduhan yang bukan-bukan. Kalau berani tolong dedahkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak mengapa.

Tuan Pengerusi: Sila, sila. Teruskan, Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Bertenang. Bertenang.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tolong dedahkan. Maksudnya tolong dedahkan apa harta saya, apa syarikat saya, apa nominee saya?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tengok akaun saya, berapa duit yang tinggal?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik, Yang Berhormat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Kalau berani tolong dedahkanlah. Kalau berani.

Tuan Pengerusi: Ini perbahasan-perbahasan di bawah kepala Perdana Menteri bukan akaun-akaun masing-masing.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ini bukan cabar-mencabar. Ini bukan soal cabar mencabar, Tuan Pengerusi tetapi saya fikir kalau Yang Berhormat Permatang…

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: SPRM. Saya hendak menjawab tidak boleh. Dia sudah bangkit soalan…[Dewan riuh]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Kalau Yang Berhormat Permatang

berani…

Tuan Pengerusi: Yang Berhormat Batu pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: [Bercakap tanpa menggunakan

pembesar suara]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan main cakap sembarangan.

Tuan Pengerusi: Sudah Yang Berhormat Batu Pahat. Yang Berhormat, sila duduk. Semua yang dihujah dalam Dewan ini dicatat. Semua orang di luar dengar. Sila.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Pengerusi, saya hendak jelaskan tentang persoalan yang dibangkitkan mengenai SPRM yang di bawah B.9 ini. Ia berkaitan dengan tindakan kepada Tuan Guru Nik Aziz. Katanya kalau tidak ada apa-apa masalah mengapa beliau ambil keputusan untuk membatalkan. Beliau tentunya diberi nasihat. Isu teknikal yang berbangkit. Beliau batalkan.

Oleh sebab itu saya sebutkan tadi, kalau Yang Berhormat Timbalan Menteri dengar, saya sebut soal teknikal. Akan tetapi saya juga tekankan isu besar di sini, isu rasuah. Mengapa yang kita hendak pilih, buru orang-orang tertentu dalam pembangkang dalam isu-isu teknikal kecil? Apatah lagi seorang tokoh yang dikenali hidup sederhana menjadi Menteri Besar 19 tahun. Bandinglah dengan semua Menteri Besar lain yang dulu dan yang sekarang.

Tuan Pengerusi, adillah. Janganlah hina dan aibkan orang yang sedemikian. Itu yang saya hendak tekankan. Kalau kita hendak jadi jaguh menentang rasuah, benarkah kita ini jaguh menentang rasuah? Mengapa yang RM10 bilion tidak nampak? Kalau betul konsisten, konsistenlah tetapi kalau hendak jadi jaguh dalam kursus Biro Tatanegara bolehlah kerana orang ini tidak boleh hujah.

Akan tetapi kalau hendak jadi jaguh dalam soal SPRM, hujah di sini isu faktanya. Bukan saya… Sebab itu saya tidak mahu terikat dengan pertengkaran peribadi dengan beliau. Saya hendak tumpu tindakan yang SPRM ambil dan SPRM ambil tindakan bagi saya atas arahan politik kerana menuju kepada tokoh-tokoh tertentu untuk pertikai kredibiliti masingmasing. Yang ini tidak baik sama sekali. Ia umum dan diketahui, bukan sahaja orang Kelantan. Orang tahu kalau tokoh Melayu, Muslim begini pun diserang ini apa hendak jadi kepada Negara kita. Ini yang saya sebut Ronggo Warsito itu.

Saya belum tahu, sejak saya terlibat dalam politik 1982 atau sebelumnya seorang tokoh politik yang ada jawatan besar, yang hidupnya sederhana seperti Tuan Guru Nik Aziz. Kalau orang semacam itu diserbu, diaibkan dan diserang sebagai rasuah, mengapa lepaskan perasuah-perasuah besar lain?… [Tepuk]

Tuan Pengerusi, saya sambung soal yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat yang mana jawapan daripada Menteri itu agak longgar termasuklah permasalahan yang dibangkitkan tentang perbelanjaan tambahan akibat daripada kerugian beberapa pelaksanaan projek umpamanya Projek Landasan Kereta Api Berkembar Rawang-Ipoh RM1.1 bilion. Ini yang dianggap besar.

Yang kecil, yang lain itu tidak mahu saya sebut di sini kerana memang tercatat

dalam laporan B.3 dan 020000 – Pengauditan. Laporan menyebut di antara lain kajian yang dibuat dan dilaporkan dalam akhbar The Star, “Ketirisan, kerugian, penambahan belanja tidak kurang RM28 bilion setahun.” Apakah ini bukan satu angka yang harus menggerunkan atau menyebabkan kita mengambil langkah-langkah untuk perbaiki?

Baik, saya faham Menteri Kewangan atau menteri-menteri yang lain boleh perjelaskan kadang-kadang kos simen meningkat maka ada pertimbangan naik 5% atau 3%. Itu perkara biasa dan saya tahu berlaku. Oleh sebab itu peningkatan RM28 bilion mungkin tidak RM28 bilion tetapi mustahil RM28 bilion itu semua kerana penambahan, bukan kerana ketirisan akibat daripada kebocoran, rasuah dan penyelewengan. Peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2010, RM53 bilion. Rekod tentang ketirisan semuanya itu RM28 bilion. Apa yang sampai kepada rakyat yang disebut, tidak kiralah rakyat Barisan Nasional yang dapat banyak pun, tentunya sedikit daripada jumlah yang berkenaan. Oleh sebab itu sementara kita akui dan tahniah kepada Jabatan Audit Negara kita tidak boleh ketepikan kelemahan yang ketara dalam ini.

Dalam B.9. 20,000, saya ulang dan juga 40,000 tentang pencegahan, saya tanya dulu berdasarkan Laporan Audit Negara tahun lalu iaitu Kementerian Kewangan pada 13 September 1998 telah meluluskan semua hutang Kumpulan PERWAJA yang perlu ditanggung oleh kerajaan dari tahun 1998 hingga 2007 berjumlah RM3.9 bilion ditukar menjadi geran. Saya tidak faham setakat yang kearifan saya dalam bidang ini bahawa perkara ini boleh dilakukan.

Apabila kita bantah, rupa-rupanya Ketua Audit Negara sendiri menyarankan bahawa peruntukan itu yang disediakan mesti diluluskan oleh Parlimen kerana sumber pembiayaan pinjaman ini adalah daripada Kumpulan Wang Amanah. Sehingga hari ini kerajaan belum membentangkannya untuk kelulusan Parlimen. RM4 bilion boleh dibelanjakan tanpa mengikut peraturan, setelah ditegur satu tahun oleh Ketua Audit Negara.

Tuan Pengerusi ingat tarikhnya? Pada 13 September. Saya dipecat pada 2 September. Pada 13 September, Kementerian Kewangan diarah untuk padamkan hutang jadi geran RM4 bilion. Saya dipecat 2 September. Sebulan kemudian tol naik mendadak. Maknanya usaha menahan kebocoran ini dilepaskan sebaik daripada saya dikeluarkan dan tiada orang yang menahan kebocoran terus berlaku. Akan tetapi dalam kes ini diperkuat oleh Ketua Audit Negara kerana Ketua Audit Negara mengatakan dan saya ulang mesti diluluskan oleh Parlimen kerana peruntukan ini adalah sumber pembiayaan pinjaman daripada Kumpulan Wang Amanah. Ada penyelewengan! Apa pendapat dan siasatan SPRM dalam kes ini?

Kita bukanlah bermaksud umpamanya mengutip semua isu ini menjadi masalah. Oleh sebab itulah dalam ucapan membahaskan belanjawan saya akui beberapa projek yang sampai ke kumpulan sasar dan beberapa peruntukan dan kerangka fiskal dan kebijakan ekonomi dalam beberapa aspek yang boleh kita terima dan kita sokong. Akan tetapi hal-hal kecurangan ini besar, terlalu besar bukan kecil, PERWAJA RM4 bilion, RM3.9 bilion.

Kemudian Laporan Audit mengenai MAS termasuk dakwaan bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli. Beliau dipaksa beli saham.

Tuan Pengerusi: Panjang lagi, Yang Berhormat?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, saya hendak selesaikan sedikit.

Tuan Pengerusi: Mahu disambung tengah hari?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik, Tuan Pengerusi.

Tuan Pengerusi: Ahli-ahli Yang Berhormat mesyuarat akan disambung 2.30 petang.

Beberapa Ahli: [Bangun]

Tuan Pengerusi: Duduk dulu, Ahli-ahli Yang Berhormat. Majlis bersidang semula sebagai Majlis Mesyuarat. Kita dalam peringkat Jawatankuasa. Terlampau khusyuk mendengar hujah daripada Yang Berhormat Permatang Pauh. Sebelah tengah hari, ingat Yang Berhormat Permatang Pauh, kerana masa biasanya sepuluh minit sahaja.

Majlis Mesyuarat bersidang semula.

[Tuan Yang di-Pertua mempengerusikan Mesyuarat]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat kita ditangguhkan sehingga pukul 2.30 petang.

Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 petang.

Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.

Majlis bersidang dalam Jawatankuasa.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tunku Jaafar) mempengerusikan Jawatankuasa]

Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tunku Jaafar]: Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Sebelum saya menjemput Yang Berhormat Permatang Pauh untuk meneruskan ucapan beliau, saya ingin memperingatkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, semasa Jawatankuasa ini kita berbahas atau bercakap stail Jawatankuasa iaitu mengikut butiran dan dalam butiran itu sahaja dan tidak kepada fakta-fakta lain. Sila Yang Berhormat Permatang Pauh.

2.33 ptg.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Pengerusi. Saya ingin menyentuh B.8, 10000, 30000, 40000 dan saya akan mulakan dengan penekanan soal royalti minyak yang banyak dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan ini bukan sahaja menyentuh negeri-negeri yang lazim pengeluar minyak seperti negeri Terengganu, negeri Sabah dan negeri Sarawak tetapi juga menimbulkan kedudukan negeri Kelantan sendiri. Kita telah menyemak semua undang-undang awal sehingga pindaan Petronas terakhir, semua kenyataan Perdana Menteri sejak Allahyarham Tun Abdul Razak sehingga Perdana Menteri sekarang, memang ternyata percanggahan pertama ialah istilah yang disebut dalam undang-undang royalty dengan pindaan kepada wang ihsan sebagai pertimbangan pentadbiran.

Keduanya janji bidang kuasa negeri yang jelas dalam Undang-undang 1976 yang awal dengan pindaan yang baru di mana kuasa itu adalah kuasa negeri dan kemudiannya dipindahkan kepada Petronas dengan syarat Petronas menganugerahkan royalti minyak sebanyak 5%. Oleh kerana perkara ini tidak berkesudahan, saya ingin memberi notis bahawa akan mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian – Private Member’s Bill dalam isu pengagihan kekayaan negara minyak ini kepada negeri Kelantan, negeri Terengganu, negeri Sabah dan negeri Sarawak termasuk cadangan kita supaya pengagihannya itu telus dengan royalti 20% kepada negeri Kelantan, negeri Terengganu, negeri Sabah dan negeri Sarawak dan juga dengan peraturan kewangan yang ketat.

Walaupun kita usulkan supaya peruntukan ini dipindahkan dari persekutuan ke negeri mengikut hak yang termaktub dalam undang-undang tetapi saya bersetuju supaya pengagihannya dan pelaksanaannya mengikut tatacara kewangan yang ketat dan mengelakkan daripada salah guna kuasa pengagihan, baik dari peringkat pusat mahupun di peringkat negeri.

Berikutnya juga dengan Jabatan Peguam Negara, bahagian Perbicaraan dan Rayuan 40000 dan saya ingin mulakan dengan laporan Suruhanjaya Diraja mengenai tape V K Lingam. Dalam jawapan Menteri tidak memuaskan sama sekali, salah dari segi moral tidak salah di sisi undangundang. Apa faedahnya bagi kerajaan bersetuju di atas desakan rakyat untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja, kalau tidak diberi pertimbangan sama sekali, jawatankuasa, panel yang dibentuk terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan. Meneliti semua fakta dan undang-undang, kemudian diserahkan kepada Peguam Negara, dan Peguam Negara iaitu Tan Sri Ghani Patail atas arahan politik, mengetepikan sahaja.

Kerana itu saya tanya berulang kali, mengapakah pemimpin negara nampak begitu lemah berdepan dengan orang-orang, tokoh-tokoh, peguam kaya seperti V.K Lingam dengan rekod separuh jenayah yang dilakukan begini rupa, mempengaruhi pelantikan hakim, menulis judgement (penghakiman) dan dalam kenyataan oleh setiausaha beliau sendiri yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, beliau sendiri yang cash wang RM300,000, beliau sendiri yang membawa ke rumah hakim dan serahkan kepada hakim. Beliau sendiri yang membeli tiket untuk Tun Eusoff Chin dan disebut nama-nama tokoh hakim besar seperti Tun Eusoff Chin, Tun Ahmad Fairuz iaitu hakim yang bergelar Tun, tetapi sekarang ini di kalangan mata rakyat yang menjadi orang yang terlibat dalam kes penyelewengan, salah guna kuasa dan jenayah ini, Tun-Tun belaka. Tadi dalam kes PKFZ, Tun Dr. Ling Liong Sik, dalam kes jenayah bidang penghakiman orang yang diamanahkan untuk menjaga keadilan di negara ini, disabit kesalahan besar dalam kes penghakiman.

Jadi saya harap Tuan Pengerusi, perkara ini diberikan perhatian yang serius kerana berbeza daripada kecaman atau yang disebut oleh rakan-rakan saya Ahli-ahli Yang Berhormat. Bukan Yang Berhormat Pasir Salak, seolah-olah kita ini hanya memberikan tuduhan semberono, kita angkat keputusan Suruhanjaya Diraja yang dilantik oleh kerajaan di kalangan yang difikirkan oleh kerajaan, orang yang paling layak dan berwibawa tetapi apa yang berlaku ialah di sebaliknya. Tiada alasan yang munasabah sama sekali untuk menolak dan kalau diberikan atas alasan berselindung di bawah Peguam Negara maka tidak lama lagi, suruhanjaya kalau disiasat dan conduct dan prestasi Peguam Negara juga ada banyak masalah.

Tuan Pengerusi, dalam ucapan-ucapan Ahli-ahli Yang Berhormat terutama dari Barisan Nasional tidak sangat di dalam Dewan tetapi di luar, banyak yang menyindir orang-orang yang dianggap oleh mereka bersalah dan dihukum termasuk saya. Kes RM3 bilion telah saya jelaskan, tetapi ada kes-kes dakwaan

sejak tahun 1998 yang pada mereka sudah diputus tanpa soal oleh mahkamah.

_1440

Apa yang saya tuntut ini hanya keadilan. Saya tidak minta diberikan perlindungan dan keistimewaan. Orang yang meneliti kes dari awal pertuduhan di Tivoli Villa yang belum wujud dipinda pertuduhan, didera orang-orang yang dituduh, dipaksa, dirampas darah bukan mengikut peraturan, ditutup siasatan apabila ada laporan kedoktoran. Apakah kerana kedudukan kita ini sebagai pembangkang yang memilih untuk mengkritik dan menegur penyelewengan dan rasuah dalam kerajaan, maka kita harus dihina, diaibkan dan dipukul begitu sekali. Ataupun negara ini ada dua skim undang-undang.

Sebab itu peruntukan yang diberikan dan harapan diberikan kepada badan kehakiman ini dianggap harus bebas, haruslah selayaknya dibahaskan di Parlimen ini. Sehinggakan ada yang menyinggung setiap kali saya sampaikan ucapan atau memberi teguran atau memilih untuk menerima pelawaan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi pasak ekonomi Selangor…

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya ingat Pasir Salak berdiri hendak tanya tadi. Itu dianggap sebagai sesuatu yang hendak alih daripada pertuduhan, takut bila saya masuk penjara.

Tuan Pengerusi, penjara tahanan politik, tahanan lokap sudah empat, lima kali saya rasai. Saya tahu apa maknanya kezaliman dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang ketika itu dengan rasa sedih dan menunjukkan keprihatinan terhadap saya semata-mata kerana kontrak dan jawatan, dia alih pandangan. Tidak ada masalah, itu hak dia. Akan tetapi saya ingin sebut kalau dianggap pertuduhan yang dibawa oleh pengkhianat politik dengan niat jahat fitnah itu sebagai sesuatu yang sah, mereka bertanggungjawab bukan sahaja kepada Perlembagaan Negara ini, bertanggungjawab di hadapan Allah SWT.

Dalam kes terbaru yang terpaksa saya hadapi, ini Peguam Negara berkeras untuk meneruskan pendakwaan atas niat politik walaupun keterangan-keterangan doktor, pakar-pakar yang mereka pilih sendiri daripada HKL di sebaliknya. Inilah satu kes seksual atau rogol di dunia, di mana kes itu dibawa dan didakwa walaupun doktor kata tidak ada kesan sama sekali bagi orang yang mendakwa perkara itu berlaku.

Tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mengesahkan laporan dari Pusrawi umpamanya, “No conclusive clinical findings suggestive of penetration to the anus and no significant defensive wound on the body of the patient.” Sebab itu, Tuan Pengerusi, saya tanya kadang-kadang yang dibicarakan lubang mana saya tidak tahu… [Disampuk]

Dan saya harap kezaliman-kezaliman ini tidak boleh diteruskan atas nama tuntutan keadilan di negara kita. Saya sebut tadi permulaan dengan kes V. K . Lingam kerana kes V. K. Lingam ini tidak terlepas daripada pendakwaan 1998. Tuan Pengerusi kalau dengar…

Tuan Mohd. Yusmadi bin Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Ketua Pembangkang, minta penjelasan sedikit pasal V. K. Lingam. Tahukah Permatang Pauh bahawa minggu lepas iaitu pengerusi kepada, dengan izin Operation Review Panels oleh SPRM sendiri di atas desakan awam telah membuat kenyataan bahawa beliau memohon kebenaran daripada Peguam Negara untuk menilai semula laporan tersebut kerana ia pada pandangan mereka tidak menimbulkan keyakinan rakyat, tetapi sehingga hari ini selepas seminggu telah berlalu, tidak ada sebarang jawapan pun daripada Peguam Negara. Mohon penjelasan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Pengerusi, Peguam Negara…

Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya pun hendak Tanya Datuk Seri, berapa lama lagi?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sudah hendak habis. Saya hendak rumuskan.

Peguam Negara ini hanya alat politik dan tidak ada kewibawaan untuk meneruskan tanggungjawab dia… [Tepuk] Beliau selamat ini hanya semata-mata kerana jadi boneka murahan, perkakas orang politik untuk mengesahkan rasuah dan kezaliman yang ada. Kita kemukakan bukti V. K. Lingam dan sekarang dipertikaikan oleh panel SPRM, ditanya tidak dijawab. Ada suruhanjaya ditutup, ada pendakwaan dan jenayah lain ditutup. Sebab itulah dia kekal. Ini yang saya tanya dahulu mengapa dalam sistem sekarang ini, ia bercakap soal ketelusan, anti rasuah boleh pertahankan orang-orang seperti ini.

Tuan Pengerusi harus ingat bila kita ambil pendirian seperti ini menggunakan ruang ini, kita tentunya akan dicekal, akan dianggap sebagai musuh Peguam Negara dan itulah sebabnya kita terus menanggung tekanan dan kezaliman ini.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Berjalan masuk ke dalam Dewan]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sri Gading, oh bukan. Jadi sebab itu bila ada kenyataan daripada panel SPRM meminta supaya perkara ini dibuka semula kerana panel menganggap wajar. Bayangkan panel kerajaan, SPRM sendiri yang bebas menganggap perlu dikaji semula, diketepikan begitu sahaja oleh Peguam Negara dan Sri Gading memilih untuk pertahankan kerja macam ini atas nama Islam, atas nama kononnya Melayu. Melayu apa yang diketengahkan? Kita hendak ketengahkan kalaupun Melayu, Melayu yang boleh memimpin dan pegang amanah, tidak khianat, tidak bolot kekayaan untuk sebahagian kecil. Melayu ini Melayu ramai, Melayu rakyat Sri Gading, Melayu rakyat Padang Besar, Melayu rakyat Permatang Pauh, bukan tiga, empat kerat Melayu di atas yang kaya-raya. Saya kenal Sri Gading dan sepatutnya Sri Gading menyokong prinsip ini seperti mana saya pernah dengar dia sokong dahulu. Bukan sokong saya, sokong prinsip ini. Akan tetapi ini kita memilih untuk menyerang dan melindungi penjenayah-penjenayah di atas.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Permatang Pauh, lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang… [Ketawa]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya terima, lain dulu lain sekarang. Saya bahaskan ini prinsip, Yang Berhormat kakanda Sri Gading. Yang saya bahaskan ini prinsip. Kalau dahulu kita tentang rasuah, sekarang kita tentang rasuah. Kalau dahulu kita tolak penipuan, sekarang kita harus tolak penipuan. Mengapa harus kita pilih untuk melindungi? Kalau kita sebut, dia kata ini kerana suara pembangkang. Sebab itu saya pilih laporan Suruhanjaya Diraja, laporan yang arif-arif semua dari hakim, kemudian ditutup atas arahan politik oleh Peguam Negara.

Jadi oleh yang demikian soal V. K. Lingam itu jangan dibiarkan dipadamkan begitu sahaja. Kes ini bukan baru. Saya ulangi, sejak laporan PricewaterhouseCoopers Report 1995, 1996, keluar 1998, sudah disebut peranan V. K. Lingam ini menjadi peguam bagi semua syarikat besar, tetapi masih diberi perlindungan. Kita hairan di negara ini, mengapa orang yang begitu

dengan bukti penipuan begitu, bukan sekadar dilindungi tetapi terus diangkat. Saya hendak tunggu sahaja masa bila dia hendak dapat Tan Sri.

Tuan Pengerusi, saya ingin menyebut badan kehakiman ini kerana selagi tidak ada perubahan dari bentuk pelantikan, tindakan dan keputusan, maka tidak akan ada keyakinan terhadap sistem dan mengharapkan satu badan kehakiman yang bebas. Saya juga telah sentuh tadi beberapa hal yang menyentuh dengan SPRM dan saya harap tidak ada jawapan yang dianggap sepintas lalu, kerana ada kes-kes yang khusus yang telah dibawa dan saya harap SPRM memulihkan kewibawaan mereka dan menjalankan amanah seperti mana yang dilakukan oleh ramai pegawai SPRM yang menjalankan tugas secara profesional, tetapi rasa kesal kerana keputusan-keputusan mereka itu diketepikan begitu sahaja.

Tuan Pengerusi, dalam beberapa minit akhir ini, saya hendak sentuh apa yang saya sebut tadi soal royalti minyak kerana tarikh yang saya sebut tadi 1966 itu tidak tepat.

_1450

Sebenarnya peraturan Petroleum Mining Act itu memang benar Continental Shelf Act 1966, kemudian Petroleum Mining Act and the National Land Code, dikaitkan dengan Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 7 of 1969 yang berkaitan dengan jaminan kedudukan kerajaan-kerajaan negeri dan ini disahkan oleh Jabatan Peguam Negara sendiri yang mengesahkan kedudukan dan bidang kuasa kerajaan negeri. Juga pendirian Petronas bahawa semua perkara mengenai aktiviti cari gali, pembangunan dan pengeluaran petroleum adalah tertakluk kepada Petroleum Development Act 1974 dan pandangan Petronas ialah dengan izin,

“The state’s right to petroleum royalties is based on the PDA 1974 under section 2 of PDA’s 1974, Petronas was given the entire ownership and exclusive rights to explore and obtain petroleum whether on onshore or offshore of Malaysia”.

Jadi oleh kerana undang-undang ini mengesahkan bidang kuasa negeri kemudian diserahkan kepada Petronas, maka ada perjanjian Petronas dengan setiap negeri. Petronas then entered into vesting agreements with each state government in Malaysia where for each vesting a royalty agreement was entered. Istilahnya sekali lagi Royalty Agreement lima peratus daripada nilai yang dihasilkan. Oleh kerana kita gagal mendapat jaminan daripada kerajaan berbeza daripada jaminan dibuat oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada tahun 1975. Kalau menjawab soalan daripada Ketua Pembangkang pada ketika itu maka kita terpaksalah mengemukakan satu Private Member’s Bill dengan mengajak semua rakan-rakan terutama dari Terengganu dan Kelantan, Sabah dan Sarawak supaya jangan mengkhianati amanah rakyat kepada mereka. Amanah rakyat adalah supaya mereka dapat petroleum dan mandat kepada kerajaan negeri supaya disalurkan dan diagihkan dengan adil.

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih.

No comments: