Share |

Friday, 6 December 2013

Pindaan Akta Cukai 1967 menekan rakyat, pilih bulu

Malahan para wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) sendiri tidak perasan impak pemindaan akta ini,

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membentangkan pindaan Akta Cukai 1967 dilihat seakan menindas rakyat bawahan terutamanya peniaga kecil apabila Kerajaan Pusat akan diberi lebih kuasa mengutip cukai melalui undang-undang yang diperketatkan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, dengan hanya pemindaan dua, tiga perkataan kepada akta tersebut, ia sememangnya akan memberi impak yang besar kepada rakyat.

“Ramai yang tidak perasan impak pemindaan ini kerana ianya sangat teknikal. Malahan, para wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) sendiri tidak perasan impak pemindaan akta ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Pindaan Akta Cukai 1967 menetapkan bahawa sebarang pengeluaran simpanan dari Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun (kecuali atas sebab-sebab kemalangan dan hilang upaya) akan dikenakan cukai penuh.

Tambah Rafizi, pemindaan tersebut ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pelancaran Skim Persaraan Swasta pada Julai tahun lalu bahawa keuntungan dan pendapatan dari skim tersebut dikecualikan dari cukai untuk menggalakkan lebih ramai pekerja swasta mempunyai simpanan persaraan.

“Perkara ini sudah menjadi amalan BN sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkiri,” katanya.

Katanya, jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung Skim Persaraan Swasta yang mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat.

“Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan cukai sehingga maksimum RM3,000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) sedangkan tabungan dalam Skim Persaraan Swasta kebanyakannya melebihi RM3,000 setahun.

“Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi dari pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu. Maka persoalannya di sini, bagaimana dengan mereka yang menabung lebih?” katanya.

Selain itu, pindaan Akta Cukai 1967 juga menurut Rafizi meluaskan kuasa kerajaan mengutip cukai syarikat dari mana-mana pemegang saham melebihi 20% atau pengarah atau mana-mana individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sebuah syarikat.

Ini sekaligus menyebabkan pemegang saham terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun pemegang saham itu tidak terlibat di dalam apa-apa pengurusan.

Pengarah Strategi PKR itu menyifatkan, pindaan ini sama seperti menghapuskan pemisahan (“corporate veil”) diantara liabiliti syarikat dan individu atau pemegang saham yang menjadi asas persyarikatan.

“Dengan ini, jika syarikat tidak membayar cukai maka individu akan membayar cukai walhal liabiliti syarikat seharusnya terhad kepada jumlah pelaburan.

“Pindaan-pindaan ini sudah tentu bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai dari rakyat dan syarikat; walaupun kutipan cukai meningkat secara purata 10% setiap tahun sejak 3 tahun kebelakangan ini,” katanya.

Tambahnya, pemindaan ini memberi kuasa kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengutip cukai dari pengarah syarikat serta individu. Katanya, ini tidak munasabah kerana LHDN telah mengutip 13% ke 14% cukai tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya kesal apabila wujud ‘double standard’ dan kesungguhan yang sama tidak pula ditunjukkan dalam kes skandal kewangan yang merugikan negara melibatkan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Bila ditanya samada beliau bersetuju dengan penghapusan “corporate veil”, Rafizi menyatakan tidak persetujuannya.

“Saya tidak bersetuju dengan pemusnahan corporate veil tetapi jika kerajaan ingin melaksanakan pemindaan ini, maka kerajaan tidak boleh double standard,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga harus menghapuskan pemisahan di antara pengarah-pengarah Pusat Fidlot Nasional (NFC) dari syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil dari kerajaan.

“Oleh kerana pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menghapuskan “corporate veil” itu, maka pengarah-pengarah NFC dari keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu membayar segera RM250 juta itu.

“Saya cabar Menteri Kewangan jika kerajaan mahu menghapuskan pemisahan di antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai, maka pendekatan yang sama perlu digunakan dalam soal mengutip hutang dari individu yang terlibat di dalam skandal kewangan harta negara,” tegasnya.

No comments: