Share |

Wednesday, 6 January 2010

Permohonan Anwar ditolak lagi

Utusan Malaysia
Oleh AMIRUDDIN HARUN

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya yang menyatakan tiada fakta memihak kepada pihak pembelaan dalam kes liwatnya, disifatkan sebagai sesuatu yang remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) memutuskan demikian hari ini semasa menolak dengan kos permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk mendapat kebenaran membuat semakan kehakiman terhadap kenyataan pendakwa raya tersebut.

Hakim Datuk Aziah Ali dalam penghakimannya menyatakan, mahkamah sivil bukanlah forum yang betul untuk menyemak kenyataan bertulis yang dikeluarkan bagi tujuan perbicaraan kes di mahkamah jenayah.

''Ia adalah penyalahgunaan proses (mahkamah) untuk mendapatkan bantuan mahkamah sivil bagi menyemak kenyataan bertulis itu dan mengarahkan responden pertama mengeluarkan kenyataan bertulis yang baru,'' ujar beliau.

Tegasnya lagi, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak sebarang tindakan pendakwa raya selain sebarang cabaran oleh pihak pembelaan seharusnya dikemukakan di mahkamah jenayah.

''Untuk membenarkan permohonan ini bermakna mahkamah sivil masuk campur bidang kuasa mahkamah jenayah,'' tegas beliau dalam penghakiman bertulis setebal 15 muka surat yang dibacakan di kamar beliau di sini.

Beliau menyatakan demikian ketika membenarkan bantahan Peguam Negara yang diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi terhadap permohonan Anwar bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman tersebut.

Anwar memfailkan permohonan itu pada 3 Ogos tahun lalu dengan menamakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria responden pertama, pendakwa raya responden kedua dan Kerajaan Malaysia responden ketiga.

Beliau memohon perintah perisytiharan bahawa kenyataan bertulis itu yang ditandatangani oleh responden pertama dan diserahkan kepadanya pada 24 Jun lalu tidak menepati Seksyen 51A(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah, batal dan tidak sah.

Antara fakta yang didakwa memihak kepada pembelaan ialah laporan Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi bertarikh 28 Jun 2008 dan laporan Dr. Khairul Nizam Hassan, Mohd. Razali Ibrahim serta Dr. Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) bertarikh 13 Julai 2008.

Ketua Pembangkang itu yang tidak hadir diwakili peguam Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad dan Leela J. Jesuthasan.

Dalam penghakimannya, Hakim Aziah juga bersependapat dengan Peguam Kanan Persekutuan bahawa kenyataan bertulis itu bukan suatu 'keputusan' mengikut Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980, sebaliknya ia hanya satu pendapat.

Pada hemat beliau, sekalipun ia adalah satu 'keputusan' seperti yang dihujahkan oleh peguam, kenyataan bertulis itu masih bukan sesuatu yang yang seharusnya dibuat semakan kehakiman kerana ia tidak menjurus kepada keputusan pentadbiran.

''Pemohon mempunyai kebebasan untuk mengemukakan bantahan terhadap kenyataan bertulis itu semasa perbicaraan. Ruang tersebut ada semasa perbicaraan di mahkamah jenayah.

''Keputusan akhir sama ada terdapat fakta memihak kepada pemohon atau sama ada kedua-dua laporan perubatan memihak kepada pemohon akan ditentukan oleh hakim yang mendengar perbicaraan,'' katanya.

Dalam penghakiman tersebut, Hakim Aziah juga menyatakan, pengendalian pendakwaan adalah tanggungjawab penuh pendakwa raya.

Justeru itu, katanya, untuk membuat semakan kehakiman terhadap tindakan pendakwa raya di bawah Seksyen 51A(1)(c) Kanun Prosedur Jenayah akan terjumlah kepada campur tangan dalam pelaksanaan tanggungjawab pendakwa raya.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Kes itu dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah selama sebulan mulai 25 Januari ini.

Amer Hamzah ketika dihubungi menyatakan, pihaknya akan berbincang dengan Anwar untuk mendapatkan arahan lanjut sama ada perlu memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

No comments: