Share |

Tuesday 29 October 2013

Najib abai Orang Asli?


Komitmen pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu hak milik tanah adat menjadi persoalan kerana tiada peruntukan di dalam Bajet 2014.

Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari Jumaat lalu tidak mengendahkan kepentingan masyarakat Orang Asli yang mahu pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada tanah adat mereka.

Masyarakat Orang Asal di Sabah dan Sarawak pula hanya menerima peruntukan RM50 juta untuk tujuan pengukuran dan pemilikan tanah adat, umum Najib, merangkap Menteri Kewangan pada hari Jumaat.

Peruntukan RM50 juta semestinya tidak mencukupi untuk mengukur dan mengiktiraf tanah adat di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri James Masing dilaporkan berkata bahawa peruntukan tersebut akan membantu mengurangkan konflik di antara kerajaan negeri dan masyarakat Orang Asal.

Persoalan yang ingin dibangkitkan ialah berkenaan dengan syor-syor Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli kerana perkara ini dipandang enteng.

Terdapat sejumlah 18 syor yang dikemukakan oleh Suhakam dalam laporan tersebut yang dikeluarkan dua bulan lepas.

Ia dibahagikan di dalam enam tema utama iaitu pengiktirafan hak adat Orang Asal terhadap tanah, remedi bagi tanah yang hilang dan isu ketidakseimbangan pembangunan tanah.

Tema lain termasuk pencegahan kehilangan tanah adat orang Asal di masa hadapan, isu-isu pentadbiran tanah dan pengiktirafan tanah sebagai nadi kepada identiti Orang Asal.

Perkara-perkara berkaitan syor-syor dan tema di dalam laporan ini tidak disentuh secara menyeluruh di dalam Bajet 2014.

Sebelum Bajet 2014, masyarakat Orang Asli dan Orang Asal telah pun menzahirkan kekecewaan mereka kerana laporan ini tidak dibentangkan di dalam sidang Dewan Rakyat.

Laporan ini sebaliknya diteliti oleh satu jawatankuasa membabitkan kerajaan dan NGO berkepentingan di dalam isu masyarakat Orang Asli/Asal.

Dalam perkembangan berkaitan, iltizam kerajaan ke arah usaha mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli/Asal turut dipersoal di dalam sesi Penilaian Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

Negara-negara seperti Finland, Sweden, Norway dan New Zealand telah mengesyorkan agar hak Orang Asli / Asal ke atas tanah adat dan budaya mereka diiktiraf oleh kerajaan.

Jika pentadbiran Najib dilihat bersikap seperti melepaskan batok di tangga, para pemimpin Pakatan Rakyat juga kelihatan mempunyai pendirian sama dengan BN.

Pada hari Ahad yang lalu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa masyarakat Orang Asli agar tidak merayau di hutan.

“Orang asal sampai bila nak merayau? Mereka patut berubah jangan selama-lamanya berada pada tahap itu.

“Daripada terus mengharapkan kawasan rayau untuk mereka disediakan, mereka harus keluar daripada kebiasaan,” kata Hadi semasa penutupan perasmian Konvesyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan 2013, di Shah Alam.

Kenyataan ini bagaimanapun ditolak oleh Jawatankuasa Orang Asli Kelantan yang mahu kerajaan negeri dan pusat mengiktiraf tanah adat.

No comments: