Share |

Friday, 20 September 2013

PSM, Jerit gesa KP NS bertindak

Mereka mahu tindakan disiplin diambil ke atas Ketua Balai Polis Mantin, Cif Inspektor Rashid Kasim atas dakwaan salah guna kuasa.

SEREMBAN: Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk SAC Osman Salleh digesa mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Balai Polis Mantin, Cif Inspektor Rashid Kasim kerana bertindak kasar dan gagal menjalankan tugas secara profesional.

Gesaan itu dibuat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) hari ini.

PSM dan Jerit merujuk kepada insiden penangkapan 12 individu termasuk ahli PSM, aktivis Jerit dan penduduk Kampung Hakka, di Mantin pada 12 September lepas.

Setiausaha PSM Seremban, S Tinagaran dalam memorandum yang diserahkan kepada Pegawai Hal Ehwal Awam, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Negeri Sembilan, Adanan Buayurin meminta Ketua Polis Negeri Sembilan menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Saya mewakili PSM, Jerit dan penduduk Kampung Hakka menuntut agar Polis Mantin tidak campur tangan dalam hal masalah tanah antara penduduk kampung dengan pemaju kerana masalah ini masih dalam perbicaraan mahkamah.

“Kami mendesak polis membuat penilaian semula terhadap tuduhan yang disabitkan oleh Ketua Polis Mantin di mana lima aktivis serta tujuh penduduk kampung ditahan dan digari atas satu kesalahan yang tak masuk akal serta tidak munasabah.

“Terdapat salah guna kuasa oleh Ketua Balai Polis Mantin dalam Borang Hak-Hak Orang DiTangkap Seksyen 28A di mana berlakunya penyelewengan butiran pengesahan oleh pegawai penangkap.

“Kami ingin mengutarakan isu-isu secara langsung kepada Ketua Polis Negeri Sembilan memandangkan ada segelintir polis termasuk

Ketua Balai Polis Mantin mempunyai satu persepsi buruk terhadap ahli PSM serta NGO Jerit berdasarkan beberapa insiden sebelum ini dan menggunakan peluang ini untuk membalas dendam.

“Kami juga mendapati, semua siasatan yang dijalankan ini adalah dengan perasaan yang kurang memuaskan dan dengki serta memutuskan bahawa semua tahanan sebagai penceroboh,” kata Tinagaran.

Insiden

Tinagaran berkata terdapat beberapa insiden salah guna kuasa polis yang tidak professional yang Ketua Polis Negeri Sembilan perlu mengambil perhatian dan antaranya adalah:

Cara Ketua Balai Polis Mantin Cif Inspektor Rashid Kasim dimana beliau menahan serta menggari sendiri lima aktivis serta tiga penduduk kampung tanpa berunding walaupun kami semua bersedia berunding dengan beliau. (Aduan polis disertakan).

Membuat tahanan atas arahan Ketua Balai Polis terhadap empat lagi penduduk kampung di dalam Balai Polis Mantin sedangkan mereka berempat datang ke balai polis untuk membuat laporan polis terhadap insiden yang berlaku pada pagi tersebut. Ini adalah penahanan yang tidak sah. (Aduan polis disertakan).

Melakukan siasatan terhadap kesemua 12 tahanan dan memberi layanan seolah-olah seorang penjenayah di mana tangan kami digari sepanjang siasatan, mengambil ujian air kencing, mengambil cap jari keseluruhan dan mengambil beberapa gambar beserta nombor plat. Pihak polis turut mengambil ujian DNA dengan mengugut kami apabila kami tidak bersetuju untuk memberi walaupun ia adalah hak kami. (Kronologi disertakan).

Berlakunya penyelewengan butiran dalam Borang Hak-Hak Orang Di tangkap seksyen 28A dimana pengesahan oleh pegawai ditangkap adalah merupakan Mohd Sufian Bin Yusof (Pangkat Koperal) sedangkan kami empat aktivis ditahan dan digari sendiri oleh Ketua Balai Polis Mantin, Inspektor Rashid. (Lampiran disertakan).

Justeru itu, Tinagaran berkata memorandum ini adalah bertujuan untuk mengutarakan isu ini secara langsung kepada Ketua Polis Negeri Sembilan selaku pegawai polis tertinggi di Negeri Sembilan.

“Kami dari PSM menyeru Ketua Polis Negeri Sembilan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap tuntutan yang diutarakan di atas kerana penduduk kampung Hakka hilang kepercayaan terhadap pegawai-pegawai siasatan Balai Polis Mantin serta IPD Nilai terutamanya Ketua Balai Polis Mantin, Inspektor Rashid.

Turut hadir menyerahkan memorandum kepada wakil Ketua Polis Negeri Sembilan ialah Inspektor Adenan ialah beberapa penduduk Kampung Hakka, Mantin dan aktivis Jerit.

No comments: