Share |

Sunday, 16 December 2012

Kemelut Gatco masih tiada kesudahan

Masalah yang menimpa peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) merupakan isu yang paling rumit untuk difahami.
COMMENT
Bahagian Pertama

Isu hak milik tanah perladangan (getah) peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) di Jempol, Negeri Sembilan diberi liputan meluas oleh FMT sejak kali pertama lebih 150 peneroka Gatco mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan pada bulan Mac tahun ini.

Dalam beratus-ratus isu rakyat yang FMT pernah membuat liputan di Negeri Sembilan, isu Gatco merupakan isu yang paling rumit (complicated) untuk difahami bukan sahaja oleh FMT malah semua rakan media yang pernah membuat liputan berhubung isu Gatco.

Ini ialah kerana sejak tanah perladangan dan perumahan Gatco mula dibuka pada tahun 1977 kuasa hak milik tanah Gatco bertukar tangan beberapa kali dan pelbagai masalah timbul berkaitan kewangan.

Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tanah ini kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) melalui pajakan 99 tahun. PKNNS pula memberikan tanah ini kepada GATCO melalui pajakan 66 tahun.

Peneroka di sini membeli tapak kediaman seluas satu ekar dan tanah perladangan seluas 10 ekar daripada Syarikat GATCO pada 8 Ogos 1977. Peneroka Bumiputera membayar RM4,000 dan peneroka bukan Bumiputera membayar RM7,600.

Pada tahun 1983, Syarikat GATCO memperbaharui perjanjian dan melakukan pengubahsuaian dan keluasan tanah perladangan dikurangkan kepada lapan ekar.

GATCO membuat pinjaman dengan dua institusi kewangan iaitu United Asian Bank dan Nederlandse Financierings-Maatschappijvoor Ontwikkelingslanden. Disebabkan masalah pengurusan, Syarikat GATCO diistiharkan muflis pada tahun 1996. Sepanjang tempoh ini peneroka gagal mendapat geran hak milik.

Pada tahun 2004 tanah perladangan ini dilelong. Peneroka bersedia membeli tanah perladangan ini melalui Koperasi dan telah membayar deposit sebanyak RM320,000.00 (Earnest Deposit) kepada Tetuan Singam and Young (Pelelong).

Apabila peneroka ingin membuat bayaran peringkat kedua, pihak pelelong tidak mahu menerima bayaran dari peneroka atas alasan peneroka tidak mampu untuk menyelesaikan keseluruhan lelong tersebut. Seterusnya tanah perladangan ini ditawarkan kepada Syarikat Thamarai Holdings Sdn Bhd dengan RM16 juta.


Peluang tertutup rapat

Peluang untuk mendapatkan kembali hak milik tanah perladangan ini semakin tipis apabila satu-satunya ruang undang-undang untuk peneroka tertutup rapat apabila pada tahun 2004 peneroka kalah dalam kes tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.

Maka kalau diikutkan dari sudut undang-undang Syarikat Thamarai Holdings merupakan pemegang hak milik tanah perladangan Gatco yang sah ketika ini.

Walaubagaimanapun peneroka Gatco mendakwa cara tanah perladangan itu dilelong adalah tidak betul kerana pilihan pertama lelongan sepatutnya diberikan kepada peneroka.

Peneroka Gatco mendakwa mereka mempunyai dana yang secukupnya untuk membeli tanah perladangan tersebut.

Justeru itu sebahagian besar peneroka Gatco tidak berputus asa dan berusaha dalam pelbagai cara untuk mendapatkan kembali tanah perladangan mereka.

Peneroka Gatco meletakkan harapan kepada pemimpin parti politik tidak kira sama ada dari Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat untuk mendapatkan kembali hak tanah perladangan mereka.

Harapan besar terhadap MB NS

Pada 28 Mac tahun ini, lebih 150 peneroka mengadakan demonstrasi aman di hadapan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan dan menyerahkan memorandum kepada beliau meminta campur tangan Mohamad mendapatkan semula hak tanah perladangan peneroka.

Pemimpin PAS, DAP dan Hindraf Negeri Sembilan turut hadir ketika menyerahkan memorandum tersebut.

Mohamad dalam penjelasan ringkas kepada wakil peneroka di pintu masuk Wisma Negeri berkata bahawa Kerajaan Negeri tidak ada kuasa dalam isu tersebut kerana lelongan tanah perladangan Gatco melibatkan Danaharta dan hak milik tanah perladangan tersebut sudah pun dimiliki oleh Syarikat Thamarai Holdings.

Walaubagaimanapun Mohamad berkata beliau akan menjadi orang tengah dan akan cuba berunding dengan Syarikat Thamarai Holdings dalam menyelesaikan tuntutan peneroka Gatco itu.

Pada 13 Julai 2012, dalam satu program di Kampung Serampang Indah, Mohamad mengumumkan peneroka Gatco akan menerima empat ekar tanah perladangan setiap seorang. Kebanyakan peneroka bersetuju dengan tawaran Mohamad, tetapi sebahagian peneroka Gatco pula masih berkeras dan mahu keluasan asal ladang getah mereka iaitu lapan ekar setiap seorang.
Peranan PAS dalam isu Gatco

PAS memainkan peranan dalam usaha membantu peneroka Gatco mendapatkan hak mereka.

Pada 12 April tahun ini, diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R Tangam; seramai 200 peneroka Gatco menaiki empat buah bas berhimpun di hadapan Pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Mohd Taufek, Tangam dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) pada ketika itu, Abdul Rahman Ali Mohamad cuba menyerahkan memorandum kepada Najib meminta campur tangan Najib menyelesaikan kemelut peneroka.

Walabagaimanapun mereka gagal berjumpa dengan Najib kerana beliau mempunyai tugasan rasmi lain dan memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Mohammed Amir Haron.

Niat menyerahkan memorandum bertukar menjadi satu tragedi apabila salah seorang peneroka Gatco, Allahyarham Mohd Nordin Bakri, 54, secara kebetulan meninggal dunia pada himpunan tersebut dipercayai akibat serangan jantung.

Pada 17 April, Mohd Taufek, Tangam, Abdul Rahman dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman mengadakan satu sidang akhbar di Parlimen berhubung isu peneroka Gatco.

Abdul Rahman menyerahkan sebuah memorandum kepada Pegawai Khas Perdana Menteri, Dato’ Ghazali Ibrahim meminta campur tangan Najib menyelesaikan masalah pemilikan tanah peneroka yang berlanjutan sejak 35 tahun itu.

Beliau juga menyerahkan memorandum kepada Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk isu itu dibawa ke Dewan Rakyat.

Delegasi DAP turun padang

Pemimpin DAP juga terlibat dalam usaha membantu peneroka Gatco. Selepas mengetahui peneroka Gatco diserang dan dipukul dengan rotan oleh 40 orang pemuda; pada 4 Disember lalu, Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof P Ramasamy (DAP); Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran (DAP) dan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, P Gunasekaran turun padang ke Kampung Gatco bertemu peneroka Gatco untuk mengetahui dengan lebih lanjut berhubung insiden tersebut.

Sesi dialog pemimpin DAP dengan peneroka Gatco tersebut berlangsung dalam suasana emosi yang amat tinggi apabila rata-rata peneroka yang kena pukul tidak dapat memendam perasaan marah mereka.

Malah ada di antara peneroka berkata jika pemuda-pemuda yang memukul mereka datang lagi, peneroka tidak akan teragak-agak menggunakan kekerasan dan akan bertindak balas dengan kekasaran.

Walaubagaimanapun Ramasamy meminta peneroka agar bertenang dan beliau berjanji akan berunding dengan pemilik Syarikat Thamarai Holdings untuk mencapai kata sepakat.

Ramasamy berkata atas dasar perikemanusiaan mungkin ada ruang berunding dengan pihak Syarikat Thamarai Holdings.

Manogaran yang juga merupakan seorang peguam berjanji akan membantu Ramasamy dalam rundingan dengan Syarikat Thamarai Holdings dari sudut undang-undang.

Manogaran juga memberi sedikit harapan kepada peneroka bahawa pasti akan ada satu jalan penyelesaian di meja rundingan.

Selepas laporan Ramasamy turun padang ke Kampung Gatco tersiar di dalam FMT, ramai pihak mengecam Ramasamy kononnya beliau datang jauh dari utara ke Negeri Sembilan untuk menjadi hero Kampung Gatco.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu bahawa Ramasamylah antara orang awal yang pernah cuba membantu peneroka Gatco dalam isu ini sekitar tahun 1982 atau 1983.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) sekarang, K Krishnan pernah berjumpa Ramasamy ketika Ramasamy masih menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Khidmat nasihat


Ramasamy yang belum menyertai DAP pada ketika itu memberi khidmat nasihat dan pertolongan berkaitan kepada Krishnan di bawah sebuah NGO bernama INSAN.

Gunasekaran pula berkata beliau pernah mengemukakan pelan tindakan untuk penyelesaian isu tersebut sekitar tahun 2003 dan 2004. Walaubagaimanapun usaha beliau bersama Krishan tidak mendapat sokongan penuh daripada peneroka Gatco pada ketika
itu.

Gunasekaran berkata hampir semua peneroka Gatco pada ketika itu yakin hanya BN sahaja mampu menyelesaikan masalah mereka.

Gunasekaran turut mendakwa bahawa nilai kayu getah yang menunggu masa untuk ditebang pada bila-bila masa sahaja dianggarkan bernilai RM25 juta untuk 4,000 ekar keseluruhannya.

Gunasekaran berkata RM25 juta itu lebih dari cukup sebagai pampasan kepada Syarikat Thamarai Holdings untuk menyerahkan semula lapan ekar tanah perladangan setiap seorang peneroka.

ESOK: Bahagian Akhir – Hidup peneroka Gatco atau hidup Hindraf?

No comments: