Share |

Monday, 30 August 2010

Isu Bukan Islam Masuk Masjid

PARTI KEADILAN RAKYAT
KENYATAAN MEDIA
Bagaikan menahan lukah di pergentingan, UMNO dan para kuncunya tidak habis-habis menerkam apa jua kesempatan dan isu sebagai modal mempertahan survival politik perkauman mereka. Seperti biasanya, bagaikan jerat sudah mengena, UMNO dan para pendokongnya mengambil kesempatan ke atas tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam yang telah memasuki masjid dan surau baru-baru ini. Peristiwa Dr. Xavier Jayakumar berucap di dewan utama sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang pada Ogos 2009 yang lalu, telahpun hampir dilupakan. Kini tindakan YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen DAP Serdang) masuk ke Surau Al-Huda, Kajang dan YB William Leong (Bendahari PKR, Ahli Parlimen PKR Selayang) masuk ke dalam Masjid At-Taqwa, Selayang Baru pula dijadikan isu besar.
Untuk menjelaskan pendirian kami mengenai isu ini, kami ingin membawa perhatian semua pihak kedudukan perkara ini dari perspektif fiqh (hokum Hakam Islam). Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai masalah ini. Pertamanya: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid. Keduanya: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah. Ketiganya: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana darurat kerja.
Beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang-orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: “Biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka)”
Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini. Hakikatnya, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.
Oleh yang demikian, kami berpendirian bahawa adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di Negara ini. Lebih jauh lagi, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat-syarat yang telah ditentukan. Continue reading ‘Isu Bukan Islam Masuk Masjid’

No comments: