Parti Keadilan Rakyat hari ini membuat keputusan merujuk kes Zulkifli Nordin kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk menyiasat serta membuat keputusan terhadap beliau dalam masa 30 hari. Parti juga mengeluarkan “gag order” atau larangan supaya beliau tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan parti serta merosakkan perpaduan Pakatan Rakyat.
Hebat bunyi keputusan PKR. Nak ikut “due process “atau proses keadilan dalam undang undang.Sebenarnya ramai orang merasakan PKR tidak serius untok mengambil tindakan. Malah ada yang mengagak tidak akan ada satu keputusan yang tegas akan diambil dalam tempoh tersebut. Sementara itu Zulkifli Nordin setiap minit akan terus menghina pendirian Pakatan dalam TV UMNO dan surat khabar UMNO dan tidak akan peduli arahan parti, sama seperti yang telah dia lakukan pada masa-masa yang lepas.
Hairan juga keadaan ini, seolah-olah Zulkifli Nordin adalah seorang manusia yang tidak boleh disentuh oleh parti; entah mengapa ada keistimewaan itu. Sebab itulah Zulkifli menggelar sesiapa saja yang mengkritiknya sebagai “Firaun Kecil” atau “Little Napoleon”, iaitu merujuk kepada pegawai parti yang tidak ada taring; maksudnya orang seperti saya.
Selepas hari ini, saya yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangan nya. Hanya yang mudah dan expedient,.PKR hari ini tak jauh bezanya dengan UMNO; cuma ia hanya seperti acuan atau “a poor man’s version of” UMNO.
Ada pihak amat takut untuk mengambil tindakan terhadap Zulkifli Nordin, walaupun jelas tindakannya yang mahu menghancurkan parti dari dalam, kerana bimbang dengan persepsi bahawa orang Melayu dan Islam sayang kapada Zulkifli Nordin . Dia konon nya popular dengan “isu Islam nya”. Tapi Zulkifli Nordin bukan wira Islam. Bukan wira Melayu. Sikap, perbuatan dan kata-katanya sama dengan jaguh-jaguh UMNO. Lagi pula Zulkifli Nordin terang-terang membuat kenyataan yang bertentangan dengan keputusan parti dan Pakatan Rakyat. Apa yang dilakukannya hanyalah memberi gambaran kepada umum bahawa PKR dan Pakatan Rakyat telah mengkhianati umat Islam dan Raja Melayu kerana kononnya sanggup membiarkan orang agama lain menghina Islam, terutamanya dalam isu penggunaan perkataan Allah.
Bagi saya, kalau kita tidak yakin dengan pendirian kita dalam soal penggunaan perkataaan Allah ini, dan isu lain yang dibawa olih Zulkifli Nordin ikut saja UMNO dan Zulkifli Nordin. Tapi kalau kita yakin, kalau kita berpegang kapada prinsip dalam Perlembaggaan Persekutuan , dan pendapat alim ulamak maka kita mesti teruskan dengan pendirian kita.. Sampai bila kita mahu berpolitik dua alam; di sana kita berpegang kepada satu prinsip, di sini kita bertukar kepada prinsip lain pula.
Mungkin ada rakan-rakan yang akan berkata tindakan akan diambil selepas siasatan jawatankuasa parti, dan minta saya bersabar. Ikut lunas undang undang. Saya memang setuju, sebab itu kita sepatutnya gantung Zulkifli Nordin sementara siasatan selesai. Kerana kesalahan nya jelas dan berterusan bagi mereka yang dapat dan mahu melihat. Kita perlu berlaku adil kapada dia , tetapi kita juga perlu berlaku adil kapada ratusan ribu ahli parti yang mengharapkan pembelaan dalam mempertahankan prinsip perjuangan parti dan Pakatan Rakyat.
Dalam memperkatakan semua ini saya mungkin dipecat olih parti Keadilan kerana saya tidak ada kekebalan saperti sasetengah pemimpin PKR. Tapi saya biasa kena pecat dan saya akan terus menyuarakan perjuangasn politik yang sihat dan bermaruah untok kebaikan PKR dan Pakatan. Kita tidak mampu menjadi parti yang akan membawa perubahan kapada politik dan pentadbiran Negara kalau Zulkifli Nordin pun kita tidak bolih selesai dengan cara yang sepatutnya. Nampaknya PAS lebih berprinsip dan berani kerana sanggup mengambil tindakan kapada ketua negeri Selangor nya Dr Hassan Ali, tetapi PKR takut kapada ahli Parlimen Kulim Bandar Baru.
No comments:
Post a Comment