Share |

Tuesday, 5 January 2010

3 soalan bukan Islam untuk ustaz PAS

Wahai ustaz-ustaz PAS sekalian,

Diharap ustaz-ustaz dapat membantu saya dalam mencari jawapan-jawapan terhadap beberapa kebuntuan dan persoalan saya mengenai agama Islam dan juga isu hangat yang sedang dibincangkan sekarang mengenai kalimah Allah.

By Tohkong Mosjid

Untuk makluman ustaz-ustaz, saya pernah membaca buku al-Quran demi memahami intipati saranan ajaran Islam yang dipeluk oleh beribu juta manusia ciptaan Tuhan (Bolehkah saya menggunakan perkataan Allah di sini?). Walaupun pernah membacanya, masih ada banyak perkara yang saya tidak faham mengenai ajaran Islam; mungkin sebab itulah sehingga kini saya tetap tergolong dalam kategori seorang yang kafir.

Soalan 1: Perkara-perkara haram.

Mengapa umat Islam mempunyai perasaan berbeza terhadap perkara-perkara dan benda-benda yang dikelaskan sebagai haram di dalam ajaran Islam? Umpamanya – mengapa umat Islam lebih senang merasa jijik dan mempunyai ketahanan diri yang jauh lebih tinggi terhadap binatang haram seperti khinzir daripada perkara-perkara seperti rasuah, berjudi, berminum arak dan berzina sedangkan perkara-perkara ini sama haramnya di sisi agama Islam?

Adakah fenomena ini berlaku disebabkan budaya kita yang suka untuk membezakan bangsa atau kesilapan proses pengajaran dan penghayatan terhadap agama Islam itu sendiri? Bagaimana ustaz-ustaz sekalian boleh memperbetulkan keadaan ini supaya umat-umat Islam boleh menjauhkan diri dan merasa jijik terhadap benda-benda haram secara sama rata tanpa ada tafsiran tersendiri?

Soalan 2: Persoalan mengenai khutbah.

Di sini saya ingin memberikan satu senario untuk dibahaskan bersama ustaz-ustaz sekalian. Setahu saya, ramai ustaz yang memberikan ceramah agama di masjid-masjid. Persoalan pertama saya, adakah ustaz-ustaz menyediakan khutbah-khutbah itu sendiri ataupun khutbah ini telah disediakan oleh orang lain untuk dibaca ustaz-ustaz sekalian sahaja?

Andai kata jikalau khutbah yang disediakan (sama ada sendiri ataupun orang lain) itu bermasalah dan mempunyai unsur menyeleweng daripada agama Islam, apakah hukum dan tahap dosanya terhadap ustaz-ustaz yang masih sanggup membacanya kepada para hadirin solat sekalian kerana takut dikenakan hukuman manusia seperti penarik-balikan sijil tauliah mereka?

Jika benar perkara di atas berlaku, apakah yang perlu dilakukan oleh ustaz-ustaz untuk mengatasi masalah di atas dalam membendung terlahirnya lebih banyak umat Islam yang berfikiran sempit di dunia ini?

Soalan 3: Kalimah Allah dan nama baik Islam.


Pada pendapat saya, sebuah negara yang majoritinya Muslim perlu sentiasa kelihatan bersih, amanah, cekap dan berintegriti di mata rakyat dan juga dunia. Sebarang kecalaran pada imej negara tersebut akibat amalan rasuah yang berleluasa, kroniisme, nepotisme dan tidak menghormati undang-undang patut dilihat sebagai satu penghinaan besar terhadap nama baik Islam. Sedihnya, sehingga kini tidak banyak pertubuhan gerakan Islam (selain PAS) menggerakkan jentera untuk membantah atau memboikot parti pemimpin yang merosakkan nama baik Islam.

Dalam isu kalimah Allah ini pula, umat-umat Islam negara kita telahpun mula menggerakkan bantahan demi bantahan sekitar negara dengan alasan untuk menjaga kalimah Allah daripada dihina dan disalahgunakan. Semangat “sediakan payung sebelum hujan” di sini amatlah dikagumkan, tapi perkara ini juga amat membinggungkan banyak orang kafir seperti saya, kerana, kebanyakan kami hairan mengapa pula semangat yang membara ini tidak wujud dalam hal isu menjaga nama baik Islam daripada dikaitkan dengan amalan rasuah, kroniisme dan nepotisme yang dipraktikkan secara terang-terangan oleh pemimpin-pemimpin negara kita.

Wahai ustaz-ustaz PAS sekalian,


Mengapa umat Islam tidak pula mempunyai semangat yang membara (seperti semangat yang ditunjukkan dalam mempertahankan kalimah Allah daripada disalahgunakan) terhadap penghinaan terhadap nama baik Islam akibat perbuatan pemimpin-pemimpin Muslim yang jauh menyeleweng daripada ajaran Islam walaupun setelah 29 tahun lamanya? Adakah ini menunjukkan nama baik Islam tidak lebih penting daripada kalimah Allah? Saya rasa sudah tentu tidak, akan tetapi saya tidak tahu di mana silapnya. Adakah ustaz-ustaz sekalian tahu jawapannya?

Sekiranya semangat yang membara dalam menjaga kalimah Allah ini dapat diaplikasikan oleh umat Islam secara sama rata dalam hal penjagaan nama baik Islam daripada diseleweng pemimpin-pemimpin negara yang jahat; sudah pasti kejadian-kejadian seperti kehilangan enjin pesawat, kematian saksi di MACC, bumbung-bumbung bangunan yang sering keruntuhan, skandal kes pembunuhan, pembelian RM42,000 untuk komputer dan katak-katak diutamakan daripada rakyat tidak akan berlaku. Betul tak?

Itulah sahaja soalan-soalan daripada saya pada masa ini. Diharap dapat mendengar jawapan daripada ustaz-ustaz PAS yang sudi menjawab. Saya memohon beribu ampun sekiranya terdapat silap bahasa dan ketelanjuran ayat-ayat saya yang menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Buku ilmiah dibawa belayar,
Untuk dibaca mencari tema,
Niat saya mahu belajar,
Bertanya demi muafakat bersama.

No comments: