Lupakan cerita tentang kerajaan peraduan atau kerjasama UMNO – PAS kerana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu mengulangi bahawa parti itu menutup pintu rapat-rapat mengenai kerjasama itu.
Malah dalam Seminar Memperkasakan Parti bagi menggantikan cadangan Muktamar Agung Khas (EGM) di Markas PAS Pusat Taman Melewar Gombak, beliau menegaskan, PAS akan terus bersama-sama dalam pakatan DAP dan PKR dengan matlamat menang besar dalam pilihan raya umum ke 13.
Namun apa yang menarik dalam seminar julung kali itu, Prof Dr Abdul Aziz Bari serta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikecam dan dikritik gara-gara isu mahu menyingkirkan beberapa pemimpin kanan parti itu termasuk menggantikan Abdul Hadi.
Abdul Aziz, Pensyarah Kanan Undang-Undang UIAM melalui tulisannya di sebuah akhbar harian dan interbiu dengan sebuah portal berita mengkritik kepimpinan Abdul Hadi.
Beliau turut mencadangan supaya Naib Presiden, Nasaruddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohi Ali dikenakan tindakan kerana tindak tanduk yang dilihat tidak membantu mengukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.
Pandangannya kemudian mengheret Mursyidul Am PAS itu yang menulis perkara sama di blognya yang mahu ‘dua tiga kerat’ pemimpin tersebut dihukum hingga tercetus desakan supaya EGM diadakan.
Sebahagian besar perwakilan di seminar itu mengecam Dr Abdul Aziz yang dianggap orang luar parti tetapi dianggap sengaja mencetuskan polimik dalaman parti itu.
Ada antara mereka menganggap beliau mahu menjatuhkan presiden PAS dengan kritikan, tuduhan dan penghinaan.
Ramai juga perwakilan melenting kerana dalam seminar itu Dr Abdul Aziz membuat kenyataan tidak sama seperti dilaporkan akhbar dan portal berita tersebut apatah lagi beliau turut menyalahkan media.
Tersepit dengan asakan perwakilan, beliau cuba menarik simpati dengan menyatakan kini dirinya sudah hilang kawan kerana orang UMNO sudah mula menjauhinya dan sekarang ini, PAS pula menimbang untuk menerimanya ataupun tidak.
Beliau turut menafikan dakwaan kritikannya terhadap Abdul Hadi Awang sebagai satu penghinaan kepada presiden parti itu yang disifatkan bertaraf ulama.
"Saya tidak menghina ulama ataupun presiden parti. Siapalah saya untuk persoalkan perkara ini. Saya hanya sentuh kedudukannya sebagai kapten yang mengemudi parti," katanya sambil menambah bahawa beliau hanya melontar semula cakap-cakap dalam PAS mengenai Hadi, Nasaruddin dan Dr Hasan.
Kejutan lain apabila perwakilan negeri Johor, Suhaizan Kayat menegur Nik Aziz kerana menunjukkan sikap kurang baik dalam struktur organisasi dengan penulisan di blog peribadinya menghentam ‘dua tiga kerat’ tersebut dengan menyiarkan nama mereka.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu tiada ketika perbahasan dan hanya hadir kira-kira sejam pada perasmian dan ucaptama presiden pada sebelah pagi .
Beliau yang dijadualkan menutup seminar yang dijadiri kira-kira 1,000 perwakilan pada sebelah petang tidak hadir kerana uzur dan masih kurang sihat selepas keluar Institut Jantung Negara, semalam.
Seminar yang pada awal dijangka memberi tamparan hebat kepada Hadi, Nasaruddin dan Dr Hasan itu juga sebaliknya menjadi gelanggang perwakilan menyatakan rasa tidak puashati dengan parti sejak bersama pakatan pembangkang.
Perwakilan dari Negeri Sembilan, Khairul Anuar Wafa mahu PAS menentukan hala tuju parti itu dalam pakatan rakyat kerana ketika ini PAS tanpa matlamat berbanding parti mempertahankan Islam sebelum ini.
Lebih perit katanya, sejak PAS bersama PKR dan DAP, ruang parti itu bercakap hak Melayu Islam juga sudah terhalang.
Kesimpulan seminar ini menjadi senjata yang makan tuan kepada Nik Aziz yang mahu PAS memantapkan kerjasama dalam pakatan pembangkang begitu juga dengan Abdul Aziz yang mahu Hadi dan beberapa pemimpin lain dihukum.
Sebaliknya, hasil seminar itu memberi keuntungan kepada Hadi dan barisan kepimpinan beliau yang di pilih pada Muktamar Agung PAS Jun lalu kerana kedudukan mereka semakin mantap jika keputusan seminar tersebut diteliti.
Isu Nasaruddin dan Mustafa langsung tidak berbangkit kecuali Dr Hasan apabila dijadikan rujukan berkaitan hubungan tegang pakatan rakyat di Selangor kerana kenyataan beliau mengenai isu penjualan arak dan Selcat.
Keyakinan Hadi dengan barisan pimpinannya jelas diluahkan beliau dalam penggulungan seminar itu apabila menegaskan, beliau tidak akan meletak jawatan walaupun terdapat gesaan beberapa pihak agar berbuat demikian.
Katanya, sebagai pemimpin yang dipilih secara sah, beliau tidak akan sekali-kali meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk memimpin PAS.
"Pemimpin dipilih melalui muktamar parti, pemimpin adalah amanah.
"Saya tidak akan membuang baju amanah ini... insyaAllah kita akan mengharungi gelombang perjuangan ini," katanya.
Menjawab kritikan terhadap pimnpinannya, Abdul Hadi berkata, “ "Kita ibarat orang-orang yang ada di medan atau padang bola, yang lain daripada kita adalah penonton dan pengulas.
"Walaupun ada teguran yang keras, suruh pecat kapten, buang pengurus, buang pemain, kita belum lagi habis separuh masa pertama.
"Kita adalah kalangan profesional dalam bidang ini, bukan pemain-pemain kampung," katanya.
Dalam sidang media selepas seminar itu berakhir, Abdul Hadi sekali lagi berkata sokongan yang diberikan oleh para perwakilan yang hadir dari seluruh negara menambahkan lagi keyakinannya untuk berkhidmat kepada parti.
"Kita akan terus memikul tanggungjawab yang sepenuhnya, hari ini kita mendapat kepercayaan daripada perwakilan yang datang dari seluruh negara, ini menambahkan lagi keyakinan," katanya.
Apa yang mahu dilihat selepas ini, apakah kumpulan yang mahu melihat Hadi, Nasaruddin dan beberapa pemimpin lain tersingkir daripada saf kepimpinan parti dapat menerima keputusan seminar tersebut.
Jika tidak, PAS pasti bergolak selagi kumpulan Erdogan yang pro Anwar Ibrahim belum dapat menguasai parti itu.
No comments:
Post a Comment