Share |

Friday, 13 November 2009

Mengorak langkah memartabatkan Perlembagaan

Imageoleh Syahredzan Johan

Pada hari Jumaat, 13 November 2009, kita akan mengorak langkah yang sepatutnya kita ambil lama dahulu. Pada hari tersebut, Kempen PerlembagaanKu / MyConstitution akan dilancarkan pada pukul 3.00 petang, di Oditorium Majlis Peguam.

Ramai yang bertanya, apakah sebab Jawatankuasa Undang-Undang Perlembagaan, di bawah naungan Majlis Peguam, mengambil inisiatif ini? Sebenarnya Jawatankuasa ini baru ditubuhkan pada awal tahun 2009 sebagai reaksi kepada isu-isu perlembagaan yang timbul sejak beberapa tahun yang lepas. Lebih-lebih lagi selepas pilihanraya umum yang ke-12, rakyat Malaysia semakin ingin tahu tentang hak-hak mereka yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan (“Perlembagaan”).

Mungkin ada yang berpendapat bahawa Perlembagaan itu banyak kelemahannya. Mungkin ada yang mempunyai pandangan bahawa Perlembagaan itu hanyalah bayang-bayang lesu Perlembagaan yang asal yang dirangka beberapa dekad dahulu. Saya sendiri merasakan bahawa Perlembagaan itu sememangnya boleh diperbaiki. Banyak peruntukan yang terkandung di dalamnya mungkin harus dipinda. Tetapi kita juga harus ingat, undang-undang buatan manusia tiada yang sempurna. Perlembagaan itu seharusnya menjadi dokumen yang ‘hidup’ dan mencerminkan aspirasi rakyat mengikut aliran masa.

Namun sebelum kita boleh berhujah mengenai bagaimana kita boleh menjadikan Perlembagaan itu lebih baik, kita sendiri harus kenalinya dahulu. Mustahil untuk kita berwacana tentang Perlembagaan jika kita tidak tahu apa itu Perlembagaan.

Malangnya, apa yang rakyat tahu tentang Perlembagaan dibentuk oleh apa yang dilaporkan di media. Dan apa yang dilaporkan adalah pandangan-pandangan ahli politik dan juga pertubuhan-pertubuhan yang selalunya mempunyai kepentingan sendiri. Maka maklumat yang diterima oleh rakyat, oleh kerana disalurkan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, menjadi tidak tepat, berat sebelah dan kadangkala palsu!

Ini semua berlaku kerana tahap kesedaran kita tentang Perlembagaan masih di tahap yang tidak memuaskan. Kita, sebagai rakyat Malaysia, masih tidak melihat Perlembagaan itu secara menyeluruh. Apa yang kita tahu hanyalah peruntukan-peruntukan tertentu dan yang selalu mengundang kontroversi. Pandangan kita tentang apa itu Perlembagaan bergantung pada apa yang kita fikir kita tahu dan apa yang disajikan kepada kita. Bagaikan cerita orang buta dengan gajah, jika kita umpamakan Perlembagaan itu sebagai gajah di dalam cerita, maka kita bagaikan orang buta yang membuat kesimpulan tentang Perlembagaan hanya berdasarkan dengan apa yang didedahkan kepada kita.

Kita semua dahagakan maklumat tentang Perlembagaan. Tetapi dokumen tersebut bukanlah dokumen yang mudah untuk difahami. Seperti undang-undang yang lain, ia mengandungi perkataan-perkataan yang sukar dan konsep-konsep yang kompleks. Di kalangan para peguam sendiri, yang dikatakan sebagai ‘pakar’ undang-undang, ramai yang tidak mengetahui tentang peruntukan-peruntakan, bahagian-bahagian, perkara-perkara dan jadual-jadual yang terkandung di dalam dokumen tersebut. Apatah lagi rakyat di luar sana, yang sememangnya tidak mendapat pendidikan dalam bidang perundangan?

Apa yang kami ingin lakukan dengan kempen ini adalah membawa Perlembagaan itu kepada rakyat. Kami mahu rakyat mengenali Perlembagaan itu. Kami mahu rakyat faham tentang apa yang terkandung di dalamnya. Kami berharap, satu hari, kita semua akan menyanjungi dan menghormati Perlembagaan. Orang kata, kalau tak kenal maka tak cinta, maka bagaimanakah hendak kita sanjung dan hormat Perlembagaan jika kita tidak dekati ia?

Ramai juga yang bertanya, bagaimana pula dengan masalah interpretasi? Jika sesuatu perkara itu itu mempunyai interpretasi yang berbeza-beza, apakah interpretasi yang akan digunapakai oleh kempen ini?

Tujuan kempen ini bukanlah untuk memberitahu rakyat apakah interpretasi yang harus diterimapakai. Tidak adil jika kami mengatakan ‘nah, ini maksud baris itu, jangan dengar pandangan lain!’. Kita hanya mahu rakyat tahu apa yang terkandung di dalam Perlembagaan. Jika terdapat isu interpretasi, dengan adanya pengetahuan asas rakyat akan dapat membuat kesimpulan yang berpengetahuan. Dengan forum, debat dan kuliah “Bual-bual Perlembagaan”, salah satu daripada komponen kempen ini, kami juga berharap untuk membincangkan isu-isu tersebut di dalam suasana yang ilmiah. Forum “Bual-bual Perlembagaan: Apa itu Perlembagaan Persekutuan?” akan dilangsungkan sejurus selepas pelancaran kempen ini.

Secara peribadi, penglibatan saya di dalam kempen ini adalah satu keputusan yang saya ambil setelah saya tidak sanggup lagi duduk di kedai kopi atau di hadapan komputer dan mengeluh tentang apa yang sedang berlaku di negara kita. Saya mengambil keputusan untuk memberi sumbangan kepada perjuangan untuk menjadikan negara ini negara ini lebih baik. Apa gunanya hanya bersembang di kedai kopi atau menulis blog di internet, jika kita tidak bangun dari kerusi selesa kita dan menyalurkan usaha kepada sesuatu yang kita percaya?

Jadi saya nekad untuk menyumbangkan daya usaha saya kepada kempen ini. Saya mahu terlibat di dalam satu pergerakan yang bertujuan memartabatkan Perlembagaan, meletakkan ia di paksi yang sewajarnya sebagai undang-undang utama dan tertinggi di Malaysia.

Saya berharap begitu ramai lagi pendukung-pendukung Perlembagaan, yang telah berikrar untuk meluhurkannya, sama-sama terlibat di dalam pergerakan ini. Datanglah ke Oditorium Majlis Peguam. Penuhkan ia, sehinggakan kami terpaksa menyediakan kerusi-kerusi tambahan.

Jadikan Majlis Pelancaran Kempen PerlembagaanKu sebagai satu titik tolak perjuangan suci dan murni, supaya setiap seorang daripada 27 juta rakyat Malaysia akan menjadikan Perlembagaan itu hakmilik kita.

*Majlis Pelancaran Kempen PerlembagaanKu akan diadakan pada 13 November 2009, jam 3 petang, di Oditorium Majlis Peguam. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

No comments: