(video ehsan malaysiakinitv)
Hari ini saya sekali lagi ke mahkamah rayuan pada sebelah petangnya berhubung keputusan pemindahan kes saya dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi. Akhirnya selepas hampir 2 jam dibelenggu kesejukan, hakim memutuskan untuk menyambung mendengar merit hujah dari kedua belah pihak pada jam 10.15pagi keesokan harinya. Mujurlah ada Azizah dan anak-anak menemani sepanjang prosiding.
Oleh kerana menghadiri sesi mahkamah, makanya saya terlepas untuk menyertai perbahasan usul Dr Lee Boon Chye berkenaan wabak H1N1. Manakala usul tergempar yang saya kemukakan berkenaan kewajaran menimbang semula laluan yang dicadangakan oleh kerajaan pusat untuk projek jambatan kedua Pulau Pinang, di bawah peraturan 18(1) telah ditolak untuk dibahaskan.
Akan tetapi saya berpeluang membangkitkan persoalan tersebut pada sidang media sekitar jam 12 tengahari tadi. Saya berkongsi bersama warga media akan maklumat industri yang diperolehi, terutamanya berhubung laluan alternatif projek jambatan kedua yang mampu menjimatkan sehingga RM 4 billion dana awam. Nampaknya isu pokok bagi memacu pertumbuhan serta upaya memulihkan ekonomi negara masih diabaikan kerajaan. Selagi isu tadbir urus yang baik dan pertanggungjawaban tidak ditangani, keyakinan rakyat dan pelabur hanya akan terhakis dari hari ke hari.
Kerana itu pengumuman terbaru Dato’ Najib untuk melonggarkan peraturan ekuiti demi menarik pelaburan asing seumpama mencurah air ke daun keladi. Kita mengakui adanya usaha untuk memulihkan negara dari kemelesetan, namun ketiadaan ekonomi manusiawi dan program menyeluruh, hanya menyebabkan ketidakadilan sosial.
Pada ketika kita menyedari peranan kuasa pasaran, tidak sepatutnya ianya menjadi alasan buat kerajaan goyang kaki memejam sebelah mata akan keperitan rakyat mengharungi kesusahan. Agenda Ekonomi Malaysia jelas mempertahankan peran pasaran memacu pertumbuhan di samping meletakkan tanggungjawab besar kepada kerajaan membantu rakyat yang kesusahan tanpa mengira batas kaum.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment