JULY 7 — Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tanpa segan-silu mengakui kerajaannya tidak mampu untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala.
Setiausaha Agung DAP itu mendakwa jika hendak dilakukan juga, tindakan tersebut akan memufliskan kerajaan negeri.
Jadi penyelesaian mudahnya — beliau akan menulis surat kepada Perdana Menteri meminta Kerajaan Persekutuan pula yang mengambil alih tanah kampung itu daripada pemaju.
Guan Eng tidak ambil kisah siapa yang memerintah Pulau Pinang sekarang. Tidak peduli soal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Dia lupa bahawa pembangkang yang menabur janji untuk membantu penduduk Kampung Buah Pala sebelum mendapat kuasa memerintah negeri!
Alasannya untuk mewajarkan bantuan kerajaan Persekutuan kini — kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu yang mencetuskan kontroversi itu!
Dalam hal ini, tidak sukar membaca muslihat Guan Eng memohon bantuan Pusat secara terbuka untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala!
Tabiatnya sejak memimpin kerajaan pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR) 16 bulan lalu tidak habis-habis menyelongkar kelemahan kerajaan negeri terdahulu.
Sehingga kini belum ada satu pun pencapaian atau kejayaan yang boleh dibanggakan. Hakikatnya, kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Guan Eng berhadapan dengan krisis kredibiliti!
Sekiranya Kerajaan Pusat campur tangan dan berjaya menyelesaikan isu Kampung Buah Pala, sudah tentu beliau akan mendabik dada sebagai orang yang membawa perkara itu ke pengetahuan Perdana Menteri.
Sebaliknya jika isu itu gagal diselesaikan sedangkan Pusat setuju membantu — Guan Eng sudah menolak beban tersebut ke bahu BN.
Justeru reaksi Perdana Menteri yang mahu Guan Eng menyelesaikan sendiri isu Kampung Buah Pala amat tepat sekali.
Isu tanah di Pulau Pinang tidak ada kena-mengena dengan Kerajaan Persekutuan.
Guan Eng perlu menghadapi realiti dan mencari jalan menyelesaikan masalah di negeri yang dipimpinnya!
Memang benar kerajaan negeri sebelumnya telah memberi kebenaran kepada pemaju untuk membina pangsapuri di situ.
Tetapi DAP selaku parti pembangkang pada masa itu yang menyokong tindakan penduduk membantah projek dan mempertahankan Kampung Buah Pala.
Kini setelah menjadi pemerintah, sudah sewajarnya DAP meneruskan komitmen tersebut dan menunaikan janji membantu mereka!
Alasan Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang menuntut bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala kerana didakwa sebagai pencetus kontroversi itu sebenarnya tidak relevan lagi.
Persoalannya siapakah yang duduk di kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang sekarang?
Tidak ada maknanya jika pembangkang khususnya DAP menghentam gaya kepimpinan Tsu Koon tetapi pada masa yang sama, mengharapkan bekas Ketua Menteri itu menyelesaikan masalah bagi pihak kerajaan negeri sekarang!
Guan Eng perlu menghentikan tabiat menolak kesalahan kepada kerajaan negeri terdahulu!
Sebulan dua memerintah mungkin rakyat boleh menerimanya tetapi tidaklah setelah 16 bulan berkuasa!
Prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri pimpinan Guan Eng sepatutnya tidak terbatas dalam mengungkit dan menyelongkar kelemahan kerajaan terdahulu semata-mata.
Tabiat menuding jari kepada orang lain lambat-laun akan menyerlahkan kelemahan sendiri. Guan Eng perlu buktikan yang pembangkang bukan setakat pandai menjaja air liur!
No comments:
Post a Comment