Himpunan hari ini menjadi bukti kepada bulatnya tekad serta matlamat kita semua untuk berbakti kepada negara dan rakyat negara ini. Bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita akan pastikan Perubahan mengambil tempat dan menyempurnakan janji untuk membawa Harapan Baru kepada negara ini.
Tidak lama dahulu ramai yang percaya parti ini tidak ada masa hadapan. Mereka mentertawakan hasrat serta cita-cita kita. Muncullah nujum-nujum politik yang meramalkan kepupusan PKR kerana tidak percaya politik baru yang kita bawa; sebuah negara yang benar-benar bersatu dan tidak terperangkap dengan politik sentimen perkauman yang sempit.
Kepada rakan-rakan sekalian percayalah bahtera perjuangan ini tidak akan karam. Jangan sesekali keutuhan tekad perjuangan kita melonggar lemah.
Kepada mereka yang masih tersemat keraguan, percayalah kepada keluhuran akal budi rakyat, bukannya nujum-nujum yang sebenarnya masih terus mendokong regim korup. Parti ini sudahpun memasuki tahun yang ke 10 dan perjuangan kita mulai menunjukkan hasil. Yakinilah haluan tepat negara ini berada di tangan-tangan kita.
No comments:
Post a Comment