Penulis menjelaskan antara sebab kaum India-Hindu tidak makan daging lembu.
COMMENT
Suatu
perkara yang sepatutnya (ulang: sepatutnya) sudah diketahui masyarakat
pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini adalah bahawa kaum India
beragama Hindu tidak makan daging lembu.
Bagi sesiapa yang mengambil ikhtiar untuk bertanya, maka biasanya
akan diberikan jawapan paling mudah iaitu bahawa lembu dianggap binatang
suci dalam agama Hindu.
Alasan sebenar orang India tidak memakan daging lembu adalah
berasaskan budaya dan kepercayaan tradisional; bukan berikutan tuntutan
agama semata-mata.
Kaum India-Hindu di serata dunia mempercayai bahawa lembu adalah
anugerah Tuhan kepada umat manusia, lalu kurniaan istimewa itu perlu
dihargai.
Sekadar contoh mudah, apabila melihat anaknya kelaparan, lembu betina
akan segera bergegas mendapatkan si anak untuk menyusukannya.
Begitulah dibandingkan dewa-dewi dalam konsep agama Hindu yang datang segera untuk membantu insan yang memerlukan bantuan.
Dalam kepercayaan kaum India, lembu juga dikatakan sama seperti Bumi;
dengan erti kata, sanggup menanggung sesiapa sahaja yang bergantung
hidup padanya.
Sebab itulah juga lembu dianggap sebagai “ibu” kerana Bumi, ibu dan
lembu dikatakan mempunyai persamaan dari segi kesanggupan berkorban dan
menanggung derita demi “anak-anak”.
Sekiranya kita berpeluang memperhatikan kehidupan petani dan pesawah
kaum India yang masih menggunakan khidmat lembu, maka kita akan lebih
memahami sentimen kaum India terhadap haiwan berkenaan.

Sejak
zaman dahulu, lembu memainkan peranan penting dalam kehidupan
masyarakat di Benua Kecil India. Hasil kajian arkeologi menemukan bukti
kewujudan Tamadun Harappa dan Mohenjo-daro di Lembah Indus sekitar tahun
2500-1500 SM.
Antara barangan yang ditemui adalah mohor daripada batu yang
mempunyai ukiran lembu jantan dan betina. Tentulah binatang berkenaan
mempunyai peranan penting dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu
sehingga diabadikan pada mohor.
Lembu membantu petani dan pesawah untuk membajak. Haiwan itu juga digunakan untuk mengangkut barang serta menarik kereta lembu.
Ringkasnya, lembu merupakan binatang yang amat diperlukan dalam
kehidupan seharian masyarakat India tradisional. Kita tidak perlu
memiliki ijazah Doktor Falsafah untuk memahami, menyedari dan mengakui
hakikat itu.
Hubungan dengan Dewa

Dalam pada itu, bagi orang ramai yang berpeluang membaca teks Sejarah
Melayu (Sulalatus Salatin) secara teliti dan mendalam, pasti tahu
mengenai individu yang dikatakan lahir daripada muntah seekor lembu dan
meneruskan jurai keturunan Melayu yang ada sekarang.
Kalau diteliti dalam teks klasik India yang dinamakan purana iaitu
cerita dewa-dewi, akan dijelaskan bahawa bukan hanya manusia bergantung
pada lembu.
Dewa-dewi sendiri mempunyai hubungan rapat dengan mamalia
berkenaan.
Misalnya, Dewa Shiva menjadikan lembu sebagai wahana rasmi. Sekiranya
kita berpeluang melawat kuil Dewa Shiva, pasti akan kelihatan patung
lembu betina yang dinamakan “nandhi” di kuil berkenaan.
Lembu turut menjadi wahana serta binatang kesayangan Dewa Krishna.
Tidak setakat itu, purana menggambarkan Dewa Krishna sebagai pengembala
lembu.
Terdapat juga sebuah cerita di mana Dewa Krishna mengangkat Gunung
Govardhan semasa hujan lebat supaya para petani, penternak serta lembu
mereka boleh berlindung di bawahnya.
Sejak dahulu, petani kaum India merayakan ponggal iaitu pesta menuai
selama beberapa hari. Hari kedua pesta menuai ini adalah Maatu Ponggal
iaitu perayaan khas bagi lembu peliharaan.
Perayaan Maatu Ponggal adalah tanda terima kasih masyarakat India kepada lembu yang amat berguna dalam kehidupan seharian.
Lembu dimandikan dan dibersihkan. Tanduk disapu cat pelbagai warna
dan loceng baru dipasang pada leher. Lembu yang diraikan diberi makan
nasi manis yang dimasak khas untuknya.
Keluarga petani dan penternak berbuat demikian sebagai tanda
terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada haiwan berkenaan.
Lembu sesungguhnya memberi sumbangan besar kepada keluarga si
penternak. Lembu jantan biasanya membantu membajak serta mengangkut
barang. Lembu betina pula membekalkan susu yang amat diperlukan untuk
diminum, dijadikan susu masam atau dijadikan minyak sapi.
Lembu turut membekalkan tahi yang dijadikan baja organik. Di India,
tahi lembu juga dijadikan bahan bakar selepas dikeringkan; termasuk
sebagai bahan bakar apabila jenazah dibakar mengikut adat Hindu.
Kajian saintifik membuktikan bahawa tahi lembu mempunyai kandungan
bahan kimia yang mampu menghalau serangga perosak dan membunuh kuman.
Amalan tradisi itu ada saya selitkan pada perenggan pertama cerpen
“Doa Tahun Baru” (Siru Kambam, 1996) sebagai usaha awal menggambarkan
budaya kaum India dalam karya Bahasa Malaysia.
Mungkin orang ramai sedia maklum mengenai Dewi Lakshmi dalam konsep
budaya India dan agama Hindu. Tambahan pula, ramai yang suka menonton
filem Tamil dan Hindi.
Komatha

Dewi
berkenaan dianggap sebagai sumber kekayaan. Namun, tidak ramai –
termasuk kaum India beragama Hindu – yang tahu bahawa Dewi Lakshmi
dikatakan menghuni tahi lembu.
Mitos dan purana ini sebenarnya bertujuan menunjukkan bagaimana
“kekayaan” (Dewi Lakshmi) terdapat juga pada tahi lembu yang mungkin
dianggap sebagai bahan buangan yang tidak berguna.
Air kencing lembu turut terbukti secara saintifik mengandungi bahan
yang mampu mengubati beberapa penyakit kulit serta bertindak sebagai
bahan antiseptik.
Kelebihan ini ternyata sudah diketahui masyarakat India sejak sekitar
tahun 2500 SM! Air kencing lembu biasanya direnjis pada lantai rumah
untuk membersihkannya daripada kuman.
Tahi lembu yang dikeringkan pula sering dibakar dan asapnya dibiarkan
memenuhi rumah kediaman. Langkah ini bagi membersihkan udara di dalam
rumah daripada bakteria.
Selain itu, khasiat susu lembu adalah suatu hakikat yang sudah
diketahui umum. Secara tradisi, keluarga dalam masyarakat India
bergantung pada susu yang dibekalkan oleh lembu peliharaan keluarga
mereka.
Susu lembu menjadi minuman sejak bayi. Maka itulah lembu yang
membekalkan susu tadi dianggap sebagai “ibu susu” bagi anak-anak dalam
keluarga berkenaan. Konsep ini sama sahaja dengan konsep “ibu susu” yang
terdapat dalam budaya kaum/agama lain di seluruh dunia.
Itulah juga antara sebab utama mengapa masyarakat India menganggap
lembu peliharaan sebagai sebahagian daripada ahli keluarga berkenaan.
Malah, lembu digelar “komatha” iaitu gelaran sama seperti “ibu”.
Sejak kecil, anak-anak dididik supaya menyayangi serta menghormati lembu
yang dipelihara sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.
Lembu juga menjadi simbol kemakmuran, kekayaan dan kebahagiaan.
Apabila seseorang membeli – atau membina – sebuah rumah baru, maka tuan
rumah akan mengadakan upacara sembahyang khas.
Pada upacara berkenaan, seekor lembu betina akan dibawa masuk ke
dalam rumah. Lembu itu akan dibawa ke setiap bilik dan ruang yang
terdapat di rumah berkenaan.
Malah, jika rumah itu merupakan rumah dua atau tiga tingkat, lembu berkenaan akan dibawa menaiki tangga!
Tindakan ini dianggap sebagai mengundang Dewi Lakshmi (“kekayaan” dan
“kemakmuran”) bertandang ke rumah. Malah, tuan rumah dikatakan amat
bertuah sekiranya lembu itu kencing atau berak semasa berada di dalam
rumah berkenaan.
Demikianlah lembu yang pendiam diberi kedudukan yang amat mulia dalam
budaya kaum India sejak dahulu. Atas dasar itulah juga kaum India-Hindu
tidak menyakiti, menganiaya, membunuh – apatah lagi makan! – lembu
hingga kini.
Mahatma Gandhi sendiri beranggapan bahawa lembu adalah wakil bagi
manusia memahami dunia binatang yang bisu. Menurut beliau, walaupun
“bisu” dan tidak mampu berkata-kata, lembu mampu berkomunikasi bersama
manusia melalui pergerakan matanya yang besar dan bulat.
Apa yang pasti, kaum India-Hindu di seluruh dunia amat menghargai
jasa lembu. Walaupun tidak ramai petani/penternak kaum India yang masih
memelihara lembu, amalan yang mendarah-daging sejak hampir 4,500 tahun
lalu tentu sahaja sukar dilupakan.
Mungkin ada individu kaum India (khususnya yang tidak mengamalkan
ajaran agama Hindu) yang makan daging lembu tetapi itu adalah kes
terpencil yang tidak mewakili masyarakat India secara keseluruhan.
Uthaya Sankar SB sering memaparkan budaya kaum India menerusi cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkannya sejak 1991.