Share |

Tuesday, 6 January 2015

Penjelasan jet rasmi kerajaan melalui Facebook perlekeh pegawai JPM

Penjelasan melalui laman sosial Facebook oleh kumpulan propaganda sosial Friends of BN tanpa sebarang pengesahan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri seolah-olah memperlekehkan pegawai Najib sendiri. – Gambar Facebook, 5 Januari, 2015. 
Penjelasan Putrajaya yang jet rasmi 9M-NAA yang digunakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak “menghadapi isu teknikal dan terpaksa singgah di Amerika” adalah tidak logik, kata Lee Chean Chung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu itu berkata, penjelasan melalui laman sosial Facebook oleh kumpulan propaganda sosial "Friends of BN" tanpa sebarang pengesahan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) seolah-olah memperlekehkan pegawai Najib sendiri.

"Saya membidas laman Facebook 'Friends of BN' yang seolah-olah menjadi jurucakap JPM dengan memberi penjelasan berkenaan penerbangan jet rasmi 9M-NAA ini.

"Penjelasan yang jet tersebut menghadapi isu teknikal dan terpaksa singgah di Amerika adalah tidak logik dan penjelasan melalui Facebook tanpa sebarang pengesahan JPM seolah-olah memperlekehkan pegawai JPM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Status laman sosial Friends of BN pada 2 Januari lalu berkata, pesawat berkenaan berada di Amerika Syarikat sebelum ini bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal dan dalam perjalanan pulang ke Malaysia ketika ini.

Katanya, pesawat berkenaan singgah di London dan Dubai untuk mengisi bahan api, bukan untuk membeli-belah atau berseronok seperti digembar-gemburkan oleh pembangkang.

Mengulas penjelasan Pejabat Perdana Menteri jet tersebut berada di Amerika kerana masalah teknikal, katanya alasan itu tidak munasabah.

"Mengapakah Pejabat Perdana Menteri membisu terhadap isu ini dan penjelasan hanya diberi selepas seminggu?

"Adakah jet 9M-NAA berulang-alik dari Honolulu, Los Angeles dan New York untuk membeli 'spare part' kapal terbang?

"Di manakah senarai penumpang jet 9M-NAA?" soalnya.

Ketua Penerangan PKR itu berkata, pihaknya akan berkunjung ke JPM sekiranya perkara ini masih tiada penjelasan yang memuaskan.

"Seandainya perkara ini masih tidak mendapat penjelasan yang memuaskan, saya sendiri akan hadir ke Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan jawapan, dan saya ingin menjemput Friends of BN datang bersama dalam lawatan tersebut," katanya.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Datuk A Kadir Jasin mendedahkan penjelasan pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri yang memberi alasan jet itu tidak digunakan untuk tujuan peribadi.

“Perdana menteri menaiki pesawat komersial melalui Hong Kong di mana seterusnya beliau dijemput Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus ke Kota Baru.

“Langkah ini diambil ekoran jet yang digunakan perdana menteri dan keluarganya ke Amerika Syarikat berdepan masalah teknikal.

“Jet itu tidak ditinggalkan untuk kegunaan ahli keluarga perdana menteri. Ia juga tidak berada di Indianapolis," kata Jabatan Perdana Menteri kepada Kadir yang disiarkan di blognya hari ini.

Bagaimanapun, laman penjejak pesawat Flight Radar 24 menunjukkan pesawat rasmi itu dengan nombor pendaftaran 9M-NAA, mendarat di Indianapolis dari Los Angeles pada 6.52 pagi waktu Malaysia pada 26 Disember.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Los Angeles pada 1.40 petang waktu Malaysia dari Honolulu, Hawaii yang merupakan destinasi percutian Najib.

Najib sepatutnya menggunakan pesawat kerajaan Airbus A319 itu untuk kembali ke Malaysia dua minggu lalu tetapi sebaliknya menggunakan pesawat TUDM. – 5 Januari, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/penjelasan-jet-rasmi-kerajaan-melalui-facebook-perlekeh-pegawai-jpm#sthash.LzJmlw70.dpuf

No comments: