Share |

Sunday, 29 December 2013

NGO serah memo bantahan kezaliman Bangladesh


Memorandum diserahkan bagi membantah kezaliman kerajaan Bangladesh yang mengenakan hukuman gantung sampai mati kepada Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mulla
UPDATED

KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan – gabungan PAS, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), PKR dan persatuan mahasiswa menyerahkan satu memorandum bantahan kezaliman kerajaan Bangladesh berhubung hukuman gantung sampai mati kepada seorang pemimpin Islam di negara tersebut.

Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh Abdul Quader Mullah dikenakan hukuman gantung sampai mati 11 Disember lalu setelah didapati bersalah oleh Tribunal Perang Antarabangsa atas tragedi pembunuhan perang kemerdekaan Bangladesh dari Pakistan pada tahun 1971.

Kumpulan seramai hampir 200 orang itu berarak lebih tiga kilometer sejurus selepas solat Jumaat dari Masjid Tabung Haji di sini hingga ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh.

Hampir 50 anggota polis ditugaskan bagi mengawal keadaan.

Kumpulan ini berhenti hampir 100 meter dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh setelah pihak polis melakukan sekatan.

Seramai 10 orang wakil kumpulan tersebut dibenarkan untuk menghantar memorandum mereka yang diketuai oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

“Kami membantah tindakan membicarakan mereka yang digelar pengkhianat atas peristiwa yang berlaku pada tahun 1971 dan perbicaraan yang dijalankan tidak mengikut lunas undang – undang antarabangsa.

“Seorang telah dihukum gantung dan enam orang lagi bakal dikenakan hukuman sama. Ribuan lagi masih lagi ditahan dalam penjara,” kata Mohamad kepada wartawan sejurus selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Mohamad menambah bahawa perkara ini seperti konspirasi global bagi menjatuhkan parti-parti Islam yang dilihat mula mendapat kemenangan dalam pilihan raya di negara masing-masing.

“Seperti di Algeria, kemenangan dinafikan. Di Tunisia, pemerintahan sering diganggu gugat. Ikhwan Muslimin yang dahulunya menang di Mesir kemudian dirampas kuasa dan kelmarin diisytiharkan sebagai pengganas oleh kerajaan Mesir.

“Dan di Bangladesh gerakan Jemaah Islamiah yang cuba masuk dalam proses demokrasi melalui pilihan raya tetapi pemimpin mereka diambil tindakan. Kita lihat ini konspirasi global terutama oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Qatar yang tiada pilihan raya dilihat cuba menganggu proses demokrasi terutamanya di Mesir,” tegas Mohamad.

Mohamad menambah konspirasi ini seperti menutup ruang demokrasi kepada gerakan dan parti-parti Islam di negara-negara Islam.

“Kita nampak seperti gerakan Islam dan parti Islam dipaksa bertindak jalan di luar pilihan raya.Ini yang kita tidak mahu sebab kita memilih proses pilihan raya dan proses demokrasi.

“Di Malaysia pun begitu juga. Walaupun proses demokrasi itu tidak sempurna tapi kita tetap mahu demokrasi dan berlawan melalui sistem demokrasi,” tegasnya.

Kumpulan tersebut bersurai secara aman pada jam 3.40 petang tadi.

No comments: