Kita akan naikkan hanya dalam lingkungan 2%...yang buat bising ni kawan-kawan yang tidak ada otak
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan (WP) Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menyifatkan tindakan Pakatan Rakyat yang mengajak rakyat melakukan demonstrasi membantah kenaikan cukai pintu pada 16 Disember depan itu sebagai ‘gila’.
Katanya, hanya 10% daripada 500,000 pemegang hartanah di Kuala Lumpur yang membantah kenaikan harga tersebut malah wakil rakyat Pakatan sudah hadir mendengar penjelasan namun masih berdegil dan mahu meneruskan rancangan tunjuk perasaan.
“Sudah 21 tahun cukai pintu tak berubah dan kita akan naikkan hanya dalam lingkungan 2%…yang buat bising ni kawan-kawan yang tidak ada otak, dia tak tahu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan baru Umno Bahagian Batu di sini hari ini.
Ahli Parlimen Putrajaya itu bagaimanapun mengakui kesilapan di pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila tidak memberitahu kepada pembayar cukai dengan tertib dengan menghantar surat rasmi.
Sebaliknya hanya memaklumkan melalui Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian bersaiz kecil yang diedarkan bulan lalu kepada semua pemilik rumah dan premis sekitar Kuala Lumpur.
Beliau menegaskan, dirinya sesekali tidak akan ‘kelentong’ rakyat dengan kenaikan cukai tetapi mahu semua pihak faham tindakannya itu akan memberikan keuntungan sama rata kepada pemilik premis dan juga DBKL.
Katanya, pihaknya akan memutuskan kadar bayaran selepas selesai sesi pendengaran dan penilaian proses bantahan oleh panel DBKL, namun memberi jaminan kenaikan itu tidak akan berlaku secara mendadak.
“Tunggulah saya buat keputusan. Saya berikan keadilan kepada rakyat tak seperti pembangkang,” katanya.
Setiausaha Agung Umno itu kemudiannya membidas Pakatan Rakyat dengan mendakwa berlaku kemasukan pengundi luar ke kawasan Parlimen Batu semasa Pilihan Raya Umum lalu (PRU13).
“Semasa berhenti di Pasar Sentul saya naik pening. Mereka tak peduli tentang kebersihan, sangat kotor sebab mereka bawa pengundi daripada Seputeh ke sini (Sentul),” katanya.
Pakatan Rakyat merancang untuk akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan cukai pintu pada pukul 11 pagi di Dataran DBKL, di sini selain mahu mendesak Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal Talib meletakkan jawatan.
Sementara itu, ditanya mengenai berlakunya kemungkinan ‘tsunami Melayu’ semasa PRU14 nanti, beliau menganggap perkara itu mustahil sambil membidas laporan Utusan Malaysia yang disifatkannya sebagai satu ‘pandangan peribadi’.
Beliau turut mengingatkan masyarakat lain supaya tidak melatah dengan cadangan perwakilan Umno pada Khamis lalu yang mahu slogan salam ’1Malaysia’ digantikan dengan ’1Melayu’.
Tegasnya, apa saja keputusan yang dibuat kerajaan dan Barisan Nasional (BN) adalah berdasarkan persetujuan secara konsensus walaupun masyarakat Melayu dan Umno adalah populasi majoriti.
“Ini forum orang Melayu, dia boleh cakap apa yang dia mahu. Begitu juga kalau bila tiba perhimpunan MCA dan MIC mesti akan cakap perkara yang sama tentang perkauman dan ketidakadilan, kita tak kisah.
“Tetapi kenapa bila Melayu cakap benda ni mahu diperbesarkan,” soalnya ekoran gesaan yang ditimbulkan Perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berdasarkan pengalamannya ‘ditikam’ kaum lain semasa PRU13.
No comments:
Post a Comment