Share |

Wednesday 13 November 2013

Mega 9 disyaki tiada lesen majukan Kg Hakka

Semalam mereka semak Mega 9 tak wujud dalam rekod. Kemungkinan pegawai terlepas pandang, jadi hari ini mereka akan semak sekali lagi untuk pengesahan, kata Setiausaha PSM.

PUTRAJAYA: Pemaju yang bertanggungjawab merobohkan rumah penduduk Kampung Hakka dan membangunkan projek Bandar Baru Mantin, Negeri Sembilan berkemungkinan tidak mempunyai lesen yang diiktiraf kerajaan Pusat.

Syarikat Mega 9 Sdn Bhd ketika disemak dalam data Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) tiada dalam rekod, pegawai kementerian memberitahu.

“Semalam mereka semak Mega 9 tak wujud dalam rekod. Kemungkinan pegawai terlepas pandang, jadi hari ini mereka akan semak sekali lagi untuk pengesahan,” kata Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan kepada FMT hari ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan empat mata antara wakil penduduk Kampung Hakka Chong Tze Yaw, Ketua Komunikasi Korporat KPKT Jessylina Mat Lazim, serta Atutchelvan di sini hari ini.

“Sekiranya benar didapati tiada lesen berdaftar yang sah dibawah kementerian, maka kredibiliti pemaju dan kerajaan negeri boleh dipertikaikan bagaimana penyelewengan kuasa secara berleluasa boleh berlaku dan kita mahu perkara ini segera dihentikan,” katanya.

Dalam pertemuan itu, menurut Arutchelvan, pihak KPKT turut memberikan jaminan, antaranya berjanji untuk mengaturkan satu pertemuan antara wakil penduduk, pemaju, pihak kerajaan Negeri Sembilan, dan Pusat duduk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian bersama.

Turut hadir ke KPKT sebilangan 40 penduduk Kampung Hakka antara golongan berumur dua tahun hingga warga emas 76 tahun datang menaiki bas menghantar memorandum tuntutan kepada Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Namun, Abdul Rahman mahupun Timbalannya, Datuk Halimah Mohd Saddique tiada di pejabat ketika ini dan memorandum diserahkan kepada wakil kementerian.

Memorandum itu antara kandungannya merayu kepada menteri supaya campurtangan dan menghentikan pengusiran paksa yang jelas satu pencabulan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Deklarasi Habitat Agenda 1992, Agenda 21 dan Resolusi Suruhanjaya Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Perumahan 1993.

Penduduk dalam memorandum itu berkata, mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan Negeri Sembilan yang bersekongkol dengan pemaju dan tidak menjaga kepentingan mereka.

“Kami datang dengan harapan Datuk Menteri akan mengambil tindakan sewajarnya untuk campurtangan dan menggunakan kewibawaan politik dalam isu ini serta menyelesaikan masalah kami yang semakin kritikal,” katanya.

Merujuk kepada isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, mereka mahu tindakan sama dilakukan apabila isu perumahan dapat diselesaikan dengan campurtangan kerajaan negeri dan Pusat walaupun kes sudah diputuskan di mahkamah.

Mereka juga turut merujuk kepada isu Kampung Meru Tin pada tahun 2005 apabila kerajaan negeri Perak membatalkan hak milik tanah tersebut daripada Syarikat Wise Fair Sdn Bhd.

Sementara itu, Arutchelvan berkata buat masa ini penduduk kampung tradisi itu mendapat bantuan dana dan sumbangan daripada orang awam dan beberapa NGO untuk membina semula rumah yang telah dirobohkan ditapak sama.

Pada 30 September lalu, sebanyak tiga buah rumah dirobohkan dan 13 orang termasuk aktivis ditahan polis, manakala pada 31 Oktober lalu,lagi sembilan rumah dan sebuah dewan komuniti dirobohkan dan 19 orang termasuk Ahli Parlimen DAP-Seremban Anthony Loke ditahan polis.

Kampung Hakka, asalnya dikenali Kawasan Merah Kampung Atap wujud sejak tahun 1860 wujud ketika zaman penjajah British membawa masuk buruh dari negeri China untuk bekerja di lombong bijih timah berdekatan.

Berstatus Geran Tanah Lesen Menduduki Sementara (TOL) sejak lebih lima generasi, kini hanya tinggal 45 keluarga masih tinggal di perkampungan tersebut kerana enggan menerima pampasan berjumlah RM1500 hingga RM7500 (ikut jenis kediaman).

No comments: