Beliau berkata, ini merupakan antara cadangan yang akan dipertimbangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha memastikan keselamatan pegawainya terjamin.
Katanya, usaha mempertingkat tahap keselamatan lebih penting kerana pegawai penguatkuasa perlu diberi kenyakinan mengenai keselamatan mereka.
"Senjata api akan dibekalkan kepada pegawai penguatkuasa ketika mereka bertugas, tetapi bagaimana pula ketika pegawai ini berada di rumah.
"Jakim sedang melihat kepada semua aspek ini termasuk rondaan secara berkala oleh kereta peronda polis di kawasan kediaman bagi memastikan keselamatan mereka terjamin," katanya dipetik daripada laman Mstar Online.
Jamil berkata demikian ketika mengulas mengenai kematian Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek.
Ahmad Rafli, 49, ditembak mati di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, Kuantan pada Ahad.
Mangsa ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang berpakaian jubah hitam dan berkopiah sebaik sahaja menjawab salam daripada suspek.
Pengikut kumpulan ajaran sesat, Tuhan Harun dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan berkenaan.
Jamil berkata, sekurang-kurangya lapan kumpulan ajaran sesat dikenal pasti masih bergiat aktif di negara ini namun tidak ada yang berbahaya seperti kumpulan yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Ahmad Rafli.
"Mereka (lapan kumpulan) tidak terlalu agresif," katanya.
Beliau berkata, kumpulan tersebut bergerak secara sulit dan sukar untuk dikesan.
"Kebanyakannya menggunakan pendekatan yang lembut untuk mendapatkan pengikut dan sukar untuk mendakwa mereka kerana bukti tidak mencukupi serta kekurangan saksi.
"Mereka (kumpulan ajaran sesat) ini seperti penyakit, kita juga tidak tahu bila mereka akan muncul," katanya. – 12 November, 2013.
No comments:
Post a Comment