Share |

Thursday 26 September 2013

Tak adil hukum Sekolah Cina, Mukhriz

Dasar sistem pendidikan negara menjamin hak sama rata kepada semua rakyat.

PETALING JAYA: Sekolah aliran Cina tidak patut dihukum berdasarkan keputusan pengundi Cina yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Wee Ka Siong berkata, tidak adil jika kerajaan menyekat saluran bantuan kewangan kepada sekolah Cina dan membezakannya dengan sekolah aliran yang lain.

“Dasar sistem pendidikan negara menjamin hak sama rata kepada semua rakyat.

“Tidak ada kaitan langsung dengan keputusan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri kini tidak akan melayan sebarang permintaan daripada sekolah Cina selepas melihat keputusan PRU13.

Calon Naib Presiden Umno itu berkata, pihaknya tidak boleh mengabaikan pengundi yang menyokongnya sebelum ini, tambahan Kedah juga penduduknya majoriti terdiri daripada Melayu.

“Saya nak bersifat adil tapi saya pun manusia juga. Akhirnya saya terpaksa membantu orang yang bantu saya dulu.

“Jadi kalau ada yang lebih-lebih tu barulah saya bantu orang lain,” katanya.

Wee yang juga Ketua Pemuda MCA bagaimanapun menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya mencampur adukkan hal politik dengan pendidikan kerana bimbang amalan ini mungkin menjejaskan BN kembali meraih semula sokongan pengundi.

“Kita boleh memahami situasi politik yang berlaku sekarang tetapi tolong biarkan sistem pendidikan negara berfungsi sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, trend PRU13 menunjukkan pengundi sebenarnya mahukan BN memperbaiki kelemahannya tadbir urus dengan baik, komitmen memerangi rasuah dan bukan sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang berkata, Mukhriz sebagai pemimpin negeri yang baru dilantik tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Malah, hanya akan mengeruhkan keadaan sekaligus membuatkan jurang perbezaan antara kaum semakin besar.

“Saya juga tidak gembira dengan undi Melayu di bandar tetapi saya lebih tidak gembira jika sekolah Cina yang terkena tempiasnya,” katanya.

No comments: