Share |

Thursday 16 May 2013

Desak ambil tindakan Azmin kritik presiden


(Berita Harian) - Jawatankuasa Disiplin PKR diminta mengambil tindakan ke atas Timbalan Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali kerana mengkritik secara terbuka Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Jumaat lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Balik Pulau, Pulau Pinang, Mohd Faizal Ab Rahman, berkata kenyataan Timbalan Presiden PKR merangkap Pengerusi PKR Selangor itu memburukkan nama baik parti selain menimbulkan polemik negatif dari sudut hubungan dalaman parti.
Amal nepotisme

“Azmin pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, minggu lalu mengkritik Wan Azizah yang juga Presiden PKR kononnya mengamalkan nepotisme dalam parti. Azmin seharusnya lebih peka dalam perihal menjaga nama baik parti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Minggu lalu, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak, mempertikaikan tindakan Wan Azizah yang didakwanya langsung tidak mendapatkan pandangan pemimpin PKR negeri sebelum menyerahkan surat mencalonkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar kepada Istana Selangor.

Mohd Faizal berkata, beliau sudah menulis surat rasmi kepada Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, memohon supaya tindakan disiplin diambil ke atas Azmin.

Sementara itu, Kee Kwong ketika dihubungi BH di sini semalam, berkata beliau belum menerima sebarang surat atau aduan daripada ahli parti berhubung perkara berkenaan.

Hal dalaman parti

Manakala Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula bertegas, tiada keperluan untuk pimpinan tertinggi pakatan pembangkang membincangkan isu berkenaan.

“Apa yang dibangkitkan Azmin adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan sebarang keperluan untuk dibincangkan dalam Majlis Presiden pakatan pembangkang.

“Kita menganggap hal ini sudah selesai apabila Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.

No comments: