Share |

Tuesday, 31 July 2012

Pembeli rumah desak pemaju selesaikan masalah CF

Lebih 20 pembeli rumah terbabit mendakwa pemaju gagal mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah CF selewat-lewatnya selepas sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

SENAWANG – Suasana sambutan Hari Raya Aidil Fitri dua minggu lagi mungkin suram kepada pembeli rumah Taman Tuanku Jaafar (Fasa 3), Senawang, apabila hasrat mereka untuk mendiami rumah baru masih tidak kesampaian apabila pemaju masih gagal memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF).

Lebih 20 pembeli rumah terbabit mendakwa pemaju gagal mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah CF selewat-lewatnya selepas sambutan Tahun Baru Cina tahun ini. Walaubagaimanapun sehingga kini, belum ada sebarang berita gembira buat pembeli rumah terbabit.

“Kalau ikutkan perjanjian kami dapat menduduki rumah ini selepas dua tahun. Adalah menjadi hasrat saya untuk menyambut bulan Ramadhan dan Aidil Fitri tahun ini di rumah baru ini.

“Anak saya juga mahu berkahwin dan menjadi impian saya untuk adakan majlis perkahwinan anak saya di rumah baru ini, tetapi semua impian saya ini sudah terbantut kerana rumah tidak boleh didiami tanpa CF.

“Saya ada hubungi pemaju beberapa kali dan bertanya status rumah ini, tetapi pemaju meminta saya bersabar”, kata Abu Bakar Ujang yang berusia 59 tahun.

Zurina Maxtar, 34 pula membuat keputusan drastik dengan menduduki rumah ini sejak sebulan yang lalu walaupun rumah ini masih belum memiliki CF.

`Tinggal di rumah sewa’

“Saya terpaksa mengambil keputusan ini kerana tidak mampu lagi menanggung kos perbelanjaan hidup yang tinggi dan perlu membayar sewa rumah lain.

“Saya tiada pilihan lain kerana gaji saya sudah dipotong untuk bayar ansuran rumah. Pada masa yang sama saya dan suami terpaksa membayar duit sewa rumah jika terus tinggal di rumah sewa.

“Kami sudah putus asa dan oleh sebab itu kami mengambil keputusan nekad untuk berpindah ke rumah baru ini walaupun rumah ini belum mempunyai bekalan air dan CF”, jelas Zurina.

Mehrad Sulaiman, 41, berharap ada pihak yang dapat campur tangan menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sekian lama.

“Kami bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mencari jalan penyelesaian berhubung masalah ini”.

Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani (PAS) berkata beliau difahamkan bahawa pihak berkuasa tempatan masih belum mengeluarkan CF kepada pemaju kerana ada masalah lereng bukit yang pemaju perlu selesaikan terlebih dahulu di lorong 7 hingga 10.

“Walaubagaimanapun pemaju pula berkata lereng bukit yang bermasalah (hakisan tanah) itu berada di luar kawasan perumahan yang mereka bangunkan.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan dan pemaju dapat duduk berbincang dan selesaikan masalah ini dengan segera demi kepentingan pembeli rumah.

“Rata-rata pembeli rumah yang menemui saya menghadapi kesukaran kewangan apabila terpaksa membayar pinjaman perumahan kepada pihak bank dan pada masa yang sama terpaksa juga membayar sewa rumah kerana masih tinggal di rumah sewa sementara rumah baru ini boleh diduduki”, kata Mohd Taufek.

Read more: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/30/pembeli-rumah-desak-pemaju-selesaikan-masalah-cf/#ixzz228Rzd5eX

No comments: