Share |

Tuesday, 31 July 2012

Operasi Cegah Jenayah Wajib Diperluas Ke Seluruh WP Kuala Lumpur

Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PR KL) menyambut baik usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mencegah jenayah melalui operasi yang dimulakan di Bangsar sejak hari pertama Ramadhan tahun ini.
PR KL turut difahamkan operasi di Lembah Pantai ini melibatkan 90 anggota PDRM dari Bukit Aman dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dikerah untuk menjaga keselamatan penduduk, dan akan diluaskan ke Desa Seri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail yang terletak dalam kawasan parlimen Segambut.
Walaupun dilaporkan kadar jenayah makin menurun, penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah letih dan jemu mendengar khabar kejadian rompakan, penculikan, dan lain-lain kejadian jenayah yang seakan-akan tidak berkurangan langsung.
Oleh itu, PR KL berpendirian PDRM serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajib memperluas operasi cegah jenayah ini ke seluruh kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan bukannya menumpukan usaha di dua kawasan parlimen ini sahaja.
Seperti yang dibangkitkan YB Liew Chin Tong (Ahli Parlimen Bukit Bendera), hingga Januari 2011 kurang dari 14% dari 105,929 orang anggota PDRM ditugaskan untuk siasatan jenayah (8% di Jabatan Siasatan Jenayah, 4% di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, 1.3% di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil). Dari sudut ini, tindakan PDRM mengerah anggota polis dari Bukit Aman dan FRU dalam operasi cegah jenayah ini adalah satu langkah yang positif dan harus diperluas.
Maka PR KL turut menggesa PDRM untuk meningkatkan jumlah anggota polis yang ditugaskan untuk siasatan jenayah bukan dengan menambah lagi jumlah anggota polis secara keseluruhannya tetapi dengan melatih semula (retrain) dan memasukkan anggota polis dari jabatan lain ke jabatan siasatan jenayah.
PR KL berpendapat gerak kerja PDRM di lapangan sebegini adalah langkah positif yang seharusnya dilaksanakan dpd peringkat awal. Malangnya, kontroversi penurunan statistik telah dijadikan alasan oleh kerajaan BN untuk berlengah-lengah sebelum bertindak.
Apapun, diharapkan tindakan objektif dan tidak dipengaruhi arahan politik menjadi prinsip utama gerak kerja seterusnya.
YB Nurul Izzah Anwar – Ahli Parlimen Lembah Pantai
YAB Tan Sri Khalid Ibrahim – Ahli Parlimen Bandar Tun Razak
YB Dr Tan Seng Giaw – Ahli Parlimen Kepong
YB Tian Chua – Ahli Parlimen Batu
YB Tan Kok Wai – Ahli Parlimen Cheras
YB Teresa Kok – Ahli Parlimen Seputeh
YB Fong Kui Lun – Ahli Parlimen Bukit Bintang
YB Lim Lip Eng – Ahli Parlimen Segambut
Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa

No comments: