Share |

Monday 27 February 2012

Polis: Himpunan Hijau cuma tarik 3,000 orang

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin lain hadir di perhimpunan itu.

KUANTAN: Himpunan Hijau 2.0 yang berlangsung di padang MPK 4 di sini hari ini gagal menarik kehadiran 20,000 orang seperti disasarkan apabila hanya kira-kira 3,000 orang hadir pada perhimpunan bagi membantah operasi kilang nadir bumi Lynas.

Walaupun tiada kejadian tidak diingini berlaku pada perhimpunan itu namun polis kesal kerana terdapat kalangan mereka di bawah umur 15 tahun menyertai perhimpunan itu, kata Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof.

Beliau berkata polis kesal dengan pihak penganjur yang tidak mematuhi sepenuhnya syarat yang telah dipersetujui bersama bagi mengadakan perhimpunan itu sebelum ini.

Kira-kira 3,000 orang hadir ke perhimpunan itu termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin parti politik pembangkang, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Jasmani berkata, pihak polis memberi kerjasama sepenuhnya termasuk tidak mengadakan sekatan jalan dan malah memberikan penunjuk arah ke padang MPK 4 kepada orang luar yang datang ke perhimpunan itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa pemimpin politik turut membuat ucapan berbaur politik pada perhimpunan itu sekalipun antara syarat perhimpunan itu ialah tidak dibenarkan berceramah perkara lain selain isu alam sekitar.

Syarikat Lynas Advanced Material Plants telah diberikan lesen untuk beroperasi sementara.

No comments: