Lingkaran syaitan yang mencengkam kontroversi Interlok Edisi Murid dilihat masih menyelubungi Putrajaya.
COMMENT
Melihat
akan perkembangan terkini isu royalti teks Komponen Sastera Dalam Mata
Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas), saya teringat akan lagu kanak-kanak
“Bangau Oh Bangau!”Sejak 15 Ogos 2011, saya sudah memaparkan mengenai isu sejumlah penulis yang karya mereka (puisi, cerpen dan novel) diangkat menjadi teks Komsas tetapi penerbit menafikan hak mereka menerima royalti.
Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani Deraman diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini cerpen itu diterbitkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Dua. Malangnya, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.
Novel Cempaka Putih Untukmu karya Rohani diterbitkan oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd pada 2001. Kini novel itu diterbitkan oleh Nur-Ilmu dengan judul Cempaka Putih Untukmu dan digunakan sebagai teks Komsas Tingkatan Tiga di Johor, Sabah, Sarawak dan Labuan. Malangnya, nasib sama berulang.
Puisi “Seorang Insan Istimewa” karya Amy Suzani Mohd Ainuddin @ Natasya Puteri termuat dalam antologi Apologi Kepada Alam terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Malangnya, Nur-Ilmu Sdn Bhd tidak mahu membayar royalti walau satu sen kepada penulis.
Cerpen “Limau Bali dan Semangkuk Daging” karya Amy Suzani memenangi hadiah kedua Pertandingan Cerpen Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara pada 1995. Cerpen itu tersiar dengan judul “Budi Semangkuk Daging” dalam antologi Budi Semangkuk Daging terbitan Nur-Ilmu Sdn Bhd pada 2010 sebelum terpilih sebagai teks Komsas. Nasib sama berulang.
Novel Di Sini Bukan Duniaku karya Hazama Harun @ Aida Shahira diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Bukan Duniaku oleh Karya Hartamas Enterprise dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Melaka. Malangnya, penulis hanya diberi sedikit saguhati dan diminta menandatangani resit kononnya menerima bayaran hampir lima kali ganda. Penulis juga tidak diberikan salinan resit itu apabila diminta.
Novel Satu Pengajaran karya Mohd Izan Abd Hazes @ Mohd Faris Ikmal diterbitkan oleh Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd pada 2006. Novel itu diterbitkan semula dengan judul Hikmah oleh V-Nice Resources dan dijadikan teks Komsas Tingkatan Satu di Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Malangnya, Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd meminta penulis menuntut bayaran daripada V-Nice Resources manakala V-Nice Resources pula mengatakan pihaknya sudah membuat bayaran kepada Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd.
Surat rayuan kepada TPM
Pada 29 Septembar 2011, para penulis terbabit menyerahkan surat rayuan ke Pejabat Menteri Pelajaran di Putrajaya dengan harapan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bersikap prihatin, masuk campur dan menyelesaikan isu ini dengan segera.
Masih ingat slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang sepatutnya menjadi pegangan kerajaan Barisan Nasional BN?
Malangnya, tiga bulan kemudian, masing-masing masih menyanyikan lagu “Bangau Oh Bangau!” dengan suara sumbang.
Pada 18 Disember lalu, Amy Suzami menerima surat rasmi yang memaklumkan begini:
“Pejabat YAB Menteri Pelajaran telah meneliti dan memanjangkan surat tersebut kepada Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.”
Rohani, Hazama dan Mohd Izan turut menerima surat sama hampir seminggu kemudian.
Saya hanya mampu tersenyum apabila menerima berita itu. Apa tidaknya, pada 15 Ogos 2011, saya sudah pun menghubungi pegawai di Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).
Encik Sairi Adenan membalas e-mel saya dengan menerangkan bahawa kes berkenaan perlu dirujuk ke Bahagian Buku Teks (BBT). Malah, beliau berbesar hati memanjangkan e-mel saya kepada pegawai tertentu di BBT.
Dipendekkan cerita, pada 7 September 2011, saya pergi sendiri ke Putrajaya untuk bertemu Pengarah BBT, Encik Jame Alip.
Saya memilih untuk pergi sendiri kerana semasa perbualan menerusi telefon pada hari sebelumnya, beliau mengatakan bahawa kesemua penulis terbabit sudah menyerahkan surat izin kepada penerbit.
Semasa pertemuan secara bersemuka, Encik Jame menjelaskan bahawa beliau bertemu penerbit terbabit pada 18 Ogos 2011. Untuk makluman, itulah mesyuarat yang sepatutnya saya turut hadir tetapi pada saat akhir, saya dimaklumkan melalui panggilan telefon oleh Ketua Unit Hak Cipta BBT, Haji Md Nor Azmi Sirat, bahawa mesyuarat tersebut dibatalkan oleh Pengarah BBT!
Bagaimanapun, semasa pertemuan pada 7 September, Encik Jame berkata, penerbit terbabit yang beliau temui pada 18 Ogos mengesahkan bahawa para penulis sudah memberikan surat izin terbit; tetapi penerbit tidak perlu menyerahkan salinan surat izin itu kepada BBT. Malah, katanya, itu bukan bidang kuasa BBT.
Saya agak kecewa kerana tidak berpeluang melihat salinan “surat izin palsu” yang diserahkan penerbit terbabit kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Tentu sahaja saya sedikit pun tidak meragui kebenaran kata-kata Encik Jame. Kalaulah salinan “surat izin palsu” itu ada pada beliau, tentu beliau tidak keberatan untuk menunjukkannya kepada saya.
Kesemua penulis terbabit mengesahkan secara bertulis bahawa mereka tidak pernah memberikan surat izin terbit kepada penerbit terbabit. Maka, “surat izin” yang diserahkan penerbit kepada KPM tentulah dokumen palsu yang bertujuan menipu kerajaan.
Taktik licik
Perlu dinyatakan bahawa para penulis terbabit membuat laporan polis pada 10 September 2011 dan salinan laporan itu diserahkan bersama-sama surat rayuan ke Pejabat Menteri Pelajaran pada 29 September lalu.
Namun, nampaknya isu “surat izin palsu” dan tindakan penerbit menafikan hak royalti penulis tidak dipandang berat oleh Menteri Pelajaran.
Mungkin kerana teks Komsas berkenaan tidak “sepenting” novel Interlok Edisi Murid yang cuba beliau pertahankan secara bermati-matian selama setahun sebelum akhirnya “tewas” pada desakan pihak tertentu – MIC? NIAT? Hindraf?
Sebaliknya, dalam isu royalti teks Komsas, Pejabat Menteri Pelajaran sekadar “memanjangkan” isu “empat penulis teraniaya” kepada Pengarah BPK, Datuk Ibrahim Mohamad.
Nyanyian lagu “Bangau Oh Bangau!” ternyata berterusan kerana Pengarah BPK memberi jawapan bertulis berikut kepada Pegawai Khas Menteri Pelajaran:
“Untuk makluman tuan, BPK dipertanggungjawabkan sebagai urus setia dalam proses pemilihan teks KOMSAS Bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu (KM) Sekolah Menengah. Setiap karya yang terpilih akan dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (JKP) untuk mendapatkan kelulusan dan seterusnya dihantar kepada Bahagian Buku Teks (BBT) untuk mendapatkan perolehan dan hak cipta daripada penerbit dan penulis.
“Sehubungan dengan itu, hal-hal yang berkaitan dengan royalti adalah di bawah tanggungjawab BBT dan penerbit yang berkenaan.”
Nah! Kalau saya sekali lagi menghubungi Pengarah BBT, beliau pasti akan mengulangi rayuan seperti pada 7 September lalu: “Tolonglah, Uthaya, jangan kacau saya lagi. Awak tak kacau saya; saya tak kacau awak.”
Encik Jame juga mungkin – sekali lagi – menasihatkan saya menghubungi penerbit terbabit untuk berunding secara langsung.
“Kami tak perlu minta apa-apa izin daripada penulis. Kami tak ada masa nak layan semua ini.” Tidak mustahil Julie Looi dari Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd dan Nur-Ilmu Sdn Bhd akan menengking seperti yang dilakukannya pada petang 7 September 2011.
Jika saya menghubungi pula Encik Steven KH Lee dari Associated Education Distributors (M) Sdn Bhd dan Karya Hartamas Enterprise untuk bertanya mengenai isu surat izin terbit, beliau mungkin mengulangi jawapan sama seperti pada 8 September lalu: “Saya tak boleh terangkan semua ini kepada kamu.”
Nampaknya inilah antara taktik licik yang digunakan pihak tertentu untuk menipu penulis (rakyat) secara berterusan.
Kalaulah saya berada di tempat Menteri Pelajaran, saya akan menghentikan lingkaran syaitan (vicious circle) ini dengan mengeluarkan arahan tegas supaya penerbit membayar royalti kepada penulis dalam masa dua minggu.
Akan tetapi, masakan saya boleh mengajar seorang menteri membuat kerja-kerja yang sudah diamanahkan kepadanya! Kerja-kerja yang memang terletak dalam bidang kuasanya.
Apa pun, sementara isu royalti teks Komsas belum selesai dan masing-masing pihak berkenaan di Putrajaya khusyuk menyanyikan lagu “Bangau Oh Bangau!” dengan suara parau, perjuangan menuntut hak diteruskan!
Guru dan pelajar juga perlu didedahkan kemungkinan teks Komsas yang mereka baca itu diterbitkan secara haram dan Putrajaya belum mampu membela nasib “empat penulis teraniaya”.
Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal ‘Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya’. Beliau menggunakan Facebook dan blog untuk menyedarkan orang ramai mengenai isu royalti teks Komsas.
No comments:
Post a Comment