Selepas genap setahun, apakah kontroversi ini akan berakhir atau sekadar memasuki musim baru yang lebih mendebarkan?
COMMENT
Sandiwara
dan drama melibatkan campur tangan politik dalam isu novel Interlok
Edisi Murid ternyata masih berterusan, malah kini memasuki musim baru.Sejak tengah hari semalam (16 Disember 2011), ramai yang menghubungi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) untuk berkongsi “berita gembira” bahawa novel berkenaan tidak akan digunakan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) mulai 2012.
Namun, Kavyan sentiasa bersikap objektif dan rasional; bukan emosional. Begitu juga dalam meneliti perkembangan terkini kontroversi Interlok Edisi Murid yang bermula dengan “Interlok Kulit Merah” dan kini berada dalam versi “Interlok Kulit Biru”.
Saya menggunakan frasa “lingkaran syaitan” (vicious circle) dalam faksyen melibatkan berhala Dewa Shiva di Siru Kambam (FMT, 21 & 28 November 2011). Nampaknya “lingkaran syaitan” yang melanda Siru Kambam dalam faksyen itu kini sudah melanda kita!
Ruangan Twitter digunakan oleh pelbagai pihak – khasnya ahli/penyokong MIC – sejak tengah hari semalam untuk berkongsi “berita gembira” bahawa novel Interlok Edisi Murid tidak akan digunakan di sekolah mulai tahun depan.
Khabarnya, menurut mesej Twitter, Facebook dan SMS, “Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri akan membuat pengumuman rasmi mengenainya dalam tempoh terdekat”.
Sementara menanti (bukan “ternanti-nanti”) pengumuman rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu yang khabarnya diputuskan dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu, saya mula meneliti segala dokumentasi berhubung kontroversi Interlok Edisi Murid di blog Kavyan sejak Disember 2010.
Secara ringkas, saya meneliti penglibatan Kementerian Pelajaran, MIC, Panel Bebas, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) dan Kavyan.
Menurut laporan media (termasuk Utusan Online dan Bernama Online) semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam mendedahkan berita terbaru itu kepada wakil media di Ayer Keroh, Melaka.
Kemudian, kenyataan Presiden MIC, Datuk G Palanivel di Kulim, Kedah turut disiarkan di beberapa media; sekali gus membuatkan pelbagai pihak melonjak kegembiraan atas “kejayaan MIC menangani isu Interlok”.
Apabila dihubungi pelbagai pihak menerusi telefon dan SMS, saya menegaskan bahawa saya tidak akan mempercayai “kebenaran” kenyataan kedua-dua individu itu selagi Menteri Pelajaran sendiri tidak tampil membuat kenyataan rasmi.
Kejayaan MIC?
Apa yang berlaku berikutan pengumuman Datuk T Murugiah (bekas pengerusi Biro Pengaduan Awam) pada 15 Disember 2010 bahawa novel Interlok Edisi Murid ditarik balik serta-merta masih segar dalam ingatan.
Pada peringkat awal, MIC memang meminta novel berkenaan ditarik balik. Malah, semasa pertemuan bersama Muhyiddin di Aras 3, Menara Parlimen pada 23 Mac lalu, Palanivel dan Subramaniam menasihatkan Muhyiddin perkara sama. Saya berada di sana dan boleh menjadi saksi.
Bagaimanapun, akhbar Makkal Osai pada 10 Disember lalu melaporkan Palanivel sebagai berkata bahawa segala perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel itu sudah dibetulkan.
Beliau memberitahu wakil media pada 9 Disember lalu bahawa MIC dan dua wakil kaum India dalam Panel Bebas berpuas hati dengan Interlok Kulit Biru.
“Saya menandatangani surat izin selepas kami meneliti draf pindaan. Kami puas hati bahawa apa-apa yang sensitif sudah dikeluarkan,” katanya.
Maka, amat menghairankan mengapa MIC tiba-tiba perlu meminta Kabinet menarik balik sebuah novel yang sudah pun “diluluskan” olehnya walaupun hanya sekitar 20 peratus daripada lebih 100 pindaan yang dipersetujui dilaksanakan sebelum buku itu dicetak semula.
Saya pernah memberitahu MIC sebelum ini bahawa sekiranya parti politik itu “meluluskan” novel itu dengan hanya sekitar 20 peratus pemurnian, maka masyarakat yang sedia marah pada MIC akan bertambah marah.
Saya percaya bahawa kemarahan itu semakin terasa berikutan kenyataan Palanivel pada 9 Disember lalu bahawa “kami puas hati bahawa apa-apa yang sensitif sudah dikeluarkan”.
Kebanyakan mesej yang tersebar (baca: disebarkan ahli/penyokong MIC) semalam memuji “kejayaan” MIC dalam usaha menarik balik novel Interlok Edisi Murid daripada dijadikan teks Komsas.
Soalnya, mengapa tidak usaha itu dilakukan MIC sebelum Interlok Kulit Biru dicetak dengan hanya sekitar 20 peratus daripada lebih 100 pindaan yang diperakukan?
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan pada 22 Jun 2011 bahawa pencetakan semula 390,000 naskhah novel itu melibatkan kos sekitar RM1 juta; termasuk kos penghantaran.
Jangan lupa bahawa terdahulu, “pelekat ajaib” digunakan untuk melakukan pindaan minimum pada novel berkenaan. Entah berapa banyak wang rakyat terbazir dalam melaksanakan tindakan kurang bijak (baca: bodoh) yang tidak selaras dengan apa yang dijanjikan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.
Bercakap mengenai Muhyiddin, sehingga artikel ini ditulis, beliau belum membuat sebarang menyataan rasmi berhubung Interlok Edisi Murid walaupun (menurut Palanivel dan Subramaniam) keputusan sudah dibuat oleh Kabinet minggu lalu.
Memandangkan Kavyan menyimpan rekod berhubung kontroversi ini sejak Disember 2010, maka saya masih ingat bahawa Muhyiddin dalam kenyataan rasmi pada 27 Januari lalu mengumumkan “keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik”.
Kuasa undi kaum India
Maka, jika “pindaan” sudah dibuat dan novel sudah dicetak semula, mengapa tiba-tiba keputusan dibuat untuk menarik balik penggunaannya di sekolah?
Mungkinkah kerana baru sedar akan kuasa undi rakyat – khasnya kaum India – menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13? Atau apakah keputusan ini ada kaitan dengan tekanan yang diterima daripada NIAT yang diketuai Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim?
Semalam, saya turut menerima SMS daripada sekretariat NIAT bahawa Thasleem mengucapkan terima kasih kepada “semua yang telah bersama-sama NIAT dalam usaha menolak penggunaan Interlok di sekolah”.
Maknanya, NIAT juga sudah benar-benar yakin pada pengumuman yang dilakukan Subramaniam dan Palanivel. (Belum mengambil kira soalan siapa yang berjaya: NIAT atau MIC? Atau Hindraf?)
Pada 28 Mei lalu, NIAT membuat pengumuman akan mengadakan mogok lapar bagi membuktikan bahawa pasukan itu serius dalam pendiriannya menuntut novel berkenaan digugurkan.
Pada peringkat awal (Januari 2011), NIAT mahu Interlok Edisi Murid dimurnikan; sebagaimana dituntut Kavyan. Bagaimanapun, selepas 12 Februari lalu, pendirian kumpulan itu berubah, iaitu mahu ia digugurkan terus kerana tidak sesuai dari segi ajaran Islam.
Maknanya, bukan hanya Interlok Edisi Murid, tetapi termasuk Interlok edisi asal yang masih berada dalam pasaran terbuka (atau di stor DBP). Maka, “perjuangan” NIAT belum berakhir, bukan?
Apa pun, mujurlah NIAT tidak meneruskan mogok lapar yang diumumkan penuh emosional. Setahu saya, tindakan mengadakan mogok lapar adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Tentulah aneh jika NIAT menggunakan tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam untuk menjayakan niat menolak sebuah novel yang dikatakannya bertentangan dengan ajaran Islam.
Di pihak Kavyan pula, kami hanya mengeluarkan kenyataan selepas mula meneliti novel edisi murid, edisi pelajar dan edisi asal secara akademik dan objektif.
Dalam kenyataan rasmi pertama pada 3 Januari 2011, Kavyan menegaskan bahawa “Interlok Edisi Murid wajib dimurnikan”. Pendirian sama ditekankan pada sesi taklimat khas yang diadakan pada 16 Januari lalu.
Pada 26 Januari lalu, semasa “Wacana Interlok” di Universiti Malaya, saya tegaskan kembali:
“Sekiranya masih ada bantahan terhadap cadangan supaya novel Interlok Edisi Murid dimurnikan, maka tidak ada pilihan selain meminta novel itu dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komsas.”
Pendirian Kavyan tetap sama sehingga kini. Malah, dalam kenyataan rasmi pada 29 November lalu, Kavyan memutuskan bahawa “Interlok Kulit Biru (2011) adalah edisi yang lebih baik daripada Interlok Kulit Merah (2010) tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Menteri Pelajaran pada Mac 2011”.
Kavyan memulakan kempen “Mari Bersama Murnikan Interlok” pada 28 Januari 2011 dengan meminta masyarakat pelbagai kaum mengemukakan senarai perkara yang perlu dibetulkan dalam Interlok Edisi Murid.
Pada hujung kempen di blog itu, saya turut mencatatkan begini:
“Sekiranya cadangan pemurnian yang rasional, akademik, berhujah, bertamadun dan logik yang dikemukakan itu nanti tidak diterima Kementerian Pelajaran (Kerajaan), maka saya akan pertahankan pendirian supaya Interlok Edisi Murid dikeluarkan terus daripada sistem pendidikan negara. Kalau tidak membenarkan kerja-kerja pemurnian dilakukan, simpan sahajalah buku itu di stor.”
Sandiwara
Pada masa sama, tentu sahaja Kavyan mahu memastikan bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tetap menerima royalti bagi Interlok Kulit Merah dan Interlok Kulit Biru yang dicetak untuk dijadikan teks Komsas.
Mungkin ramai yang yakin bahawa kini Interlok Kulit Merah dan Interlok Kulit Biru akan disimpan di stor. Mungkin mereka hanya menanti pengumuman rasmi oleh Muhyiddin “dalam tempoh terdekat”.
Namun, bagi saya secara peribadi, seperti yang saya nyatakan di FMT pada 27 Jun lalu, saya tetap berwaspada dan bersikap wasangka kerana tidak mahu “tertipu” lagi dengan “permainan” dan “sandiwara” mana-mana pihak yang “cakap tak serupa bikin”.
Malah, apakah alasan retorik yang bakal diberikan oleh Muhyiddin untuk akhirnya bersetuju (jika benar) menarik balik novel yang sudah dicetak dalam dua versi dan dipertahankannya secara bermati-matian sejak setahun lalu?
Kavyan tidak akan terkejut sekiranya Muhyiddin mengeluarkan kenyataan bahawa Interlok Kulit Merah akan ditarik balik pada 2012 dan diganti dengan Interlok Kulit Biru.
Segalanya adalah mungkin di negara bertuah ini. Jangan ketinggalan mengikuti musim baru drama ini yang penuh mendebarkan.
No comments:
Post a Comment