Share |

Saturday, 12 November 2011

Interlok: NGO serah Agong memo minta campur tangan

KUALA LUMPUR, 12 Nov — Susulan gesaan selama 10 bulan, Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) dengan sokongan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar campur tangan membolehkan novel Interlok yang kontroversi ditarik balik daripada silibus sekolah.

Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata memorandum itu diserahkan kepada wakil Istana Negara sekitar 11 pagi tadi dan berharap novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak lagi digunakan di sekolah.

“Saya memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong campur tangan meminta perdana menteri dan juga Menteri Pelajaran agar membatalkan penggunaan novel ini sebagai buku sastera peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di tiga negeri,” kata beliau ketika dihubungi.

NGO itu juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan pada 19 November ini.

Novel itu digunakan di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan.

NIAT memulakan kempen menggesa Putrajaya agar menarik balik penggunaan novel Interlok sejak awal tahun ini walaupun Kabinet memutuskan ia akan terus digunakan dengan dibuat beberapa pindaan.

Akhir Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

The Malaysian Insider difahamkan teks yang dipinda dan dicetak semula digunakan sejak dua bulan lalu.
Hari ini, Thasleem Mohamed berkata pihaknya menyerahkan dua memorandum yang masing-masing menekankan sebab novel itu tidak sesuai digunakan dari perspektif agama dan sosial.

“Memorandum hari ini disokong oleh 115 NGO dan satu lagi memorandum atas nama saya, menggariskan alasan mengapa novel ini tidak sesuai dari sudut agama Islam,” katanya lagi.

Sebelum ini, NGO itu menggesa Putrajaya menggantikan Interlok dengan novel lain yang sesuai.

“Kami terpaksa menghantar memorandum kepada Istana Negara selepas usaha kami selama 10 bulan agar Kementerian Pelajaran menggantikan novel ini tidak membawa hasil. Kami tidak mahu novel ini digunakan dengan pindaan semata-mata, sebab konteksnya masih kekal walaupun dibuat pindaan, kandungannya bukan sahaja menyentuh sensitiviti kaum India tetapi juga melibatkan kaum-kaum lain,” kata beliau.

Kata beliau, pihaknya yakin Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara akan menyelesaikan isu ini.

“Kerajaan membuat pindaan atas desakan MIC. Tetapi kami mahu novel ini tidak digunakan sama sekali di sekolah. Kerajaan tidak harus hanya mendengar pandangan MIC, tetapi juga perlu memberi perhatian ke atas pertubuhan-pertubuhan yang mewakili masyarakat secara keseluruhan,” kata Thasleem Mohamed.

Novel Interlok digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian tertentu.

Persatuan Penulis Nasional (Pena) sebelum ini melahirkan pendirian mahu Interlok dikekalkan tanpa membuat sebarang pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontrovesri kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.

No comments: