Share |

Saturday, 12 November 2011

Agensi pembantu rumah `kitar semula’ berdepan tindakan keras

Akta pemerdagangan manusia di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri itu dan pembatalan lesen melalui kementeriannya, banyak lagi bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap agensi yang terlibat.

KUALA LUMPUR: Agensi pembantu rumah asing yang dikesan ’mengitar semula’ pembantu rumah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran selain menghadapi pembatalan lesen serta-merta, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata selain tindakan mengikut akta pemerdagangan manusia di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri itu dan pembatalan lesen melalui kementeriannya, banyak lagi bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap agensi yang terlibat.

“Ada banyak akta lain yang kita boleh kenakan jika ada laporan, tindakan tegas memang perlu dibuat kerana agensi yang berbuat demikian telah menganiaya pekerja asing itu sendiri dan menipu bakal majikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa khas di kuil Jain di Bangsar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar yang mendedahkan tindakan sesetengah agensi yang memberi pembantu rumah kepada majikan dengan mengenakan bayaran tertentu dan dalam tempoh beberapa bulan pembantu rumah terbabit melarikan diri dan kembali ke agensi berkenaan, dan dia kemudian diserah kepada majikan lain.

Sementara itu, Subramaniam yang turut diminta mengulas mengenai langkah kerajaan Selangor mengumumkan gaji minima RM1,500 untuk syarikat kerajaan negeri mulai tahun depan, berkata bagi kerajaan negeri ia membabitkan satu jumlah yang terhad sedangkan tindakan serupa di seluruh negara memerlukan banyak kajian terperinci.

“Untuk negara khususnya swasta, keputusan itu bergantung kepada apa yang akan diputuskan oleh Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan Negara yang sudah pun menjalankan perundingan selama sebulan dua ini dan akan mengumumkan keputusannya selepas semua kajian selesai,” katanya.
-Bernama

No comments: