Share |

Wednesday, 24 August 2011

Kerajaan teliti cadangan beri 4 hektar tanah Orang Asli

Utusan Malaysia

SUNGAI SIPUT 23 Ogos - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang meneliti cadangan memberi tanah tidak melebihi empat hektar kepada setiap keluarga Orang Asli menerusi Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli yang sedang digubal.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, cadangan itu atas permintaan masyarakat Orang Asli sendiri yang membantah pemberian tanah seluas 0.8 hingga 2.4 hektar dalam dasar tersebut sebelum ini.

"Kementerian sedang mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dengan Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Perak, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Selangor.

"Setakat ini perbincangan itu mendapat maklum balas positif. Secara umumnya semua negeri bersetuju dengan keputusan Majlis Tanah Negara untuk melaksanakan pemberian individu kecuali Kelantan yang mahu penempatan Orang Asli diwartakan dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Kenang, di sini, malam tadi.

Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Mohd. Sani Mistam.

Menerusi Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli, masyarakat Orang Asli berpeluang memiliki tanah yang akan dibangunkan oleh Jakoa mengikut konsep Felda dan Felcra.

Berdasarkan rekod Jakoa sehingga 31 Disember 2010, Orang Asli yang populasinya sekitar 150,000 orang cuma memiliki tanah seluas 1,424.31 hektar secara individu walaupun menduduki dan mengusahakan tanah seluas 145,379.67 hektar di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shafie memberitahu, seramai lapan pelajar Orang Asli yang cemerlang akan dihantar melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun ini.

Katanya, setakat ini seorang sudah melanjutkan pelajaran ke Universiti of New South Wales, Australia melalui tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan seorang lagi yang mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menunggu giliran untuk ke luar negara.

"Kita akan hantar enam lagi anak Orang Asli melanjutkan pengajian ke universiti di United Kingdom, Australia, Jepun dan New Zealand pada tahun ini. Mereka sedang mengikuti persediaan untuk ke luar negara," katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan kajian struktur tanah Kampung Sungai Ruil di Cameron Highlands yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh dari Jabatan Mineral dan Geosains.

No comments: