Share |

Thursday 24 June 2010

Cadangan Pembangunan Semula KG Baru Perlu Pandangan MAS Dan Penduduk

KENYATAAN AKHBAR

23 JUN 2010

Cadangan pembangunan semula Kampung Baru yang akan dikemukakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah altenatif yang baik kepada penduduk untuk menikmati pembangunan dan pada masa sama kekal sebagai pemilik tanah.

Cadangan tersebut mengambil kira semua isu yang terlibat terutama hak milik kekal orang Melayu, masalah pembahagian tanah, serta membina pembangunan yang setaraf dengan kawasan yang berdekatan.

Cadangan tersebut, yang dibuat 15 tahun lalu atas permintaan Kerajaan Pusat ketika itu, akan dibentangkan semula pada forum dengan penduduk pada tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Penduduk Kampung Baru dan wakil mereka termasuklah Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) boleh memberi memberi maklum balas dan pandangan mereka terhadap cadangan pembangunan tersebut.

Perlu dinyatakan disini sebarang laporan yang menyatakan bahawa Menteri Besar tidak akan mengambil kira pandangan MAS dalam isu pembangunan Kampung Baru adalah tidak benar sama sekali.

Perbincangan akan diadakan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo Ghazali untuk menetapkan tarikh bagi diadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Baru untuk membolehkan cadangan ini dibentangkan kepada mereka.

Pelbagai pihak yang terlibat dengan pembangunan ini akan dijemput termasuk PKNS sebagai pemaju yang mewakili kerajaan negeri.

“Walaupun Kampung Baru bukan di bawah Selangor tetapi kampung itu mempunyai kaitan rapat dengan sejarah Selangor.

“Sebagai Menteri Besar Selangor , saya tidak boleh berdiam diri atau menutup mata ketika penduduk Kampung Baru memerlukan bantuan dan berada di persimpangan untuk membuat keputusan,” kata Menteri Besar.

Cadangan pembangunan itu akan mengutamakan prinsip pentadbiran Kerajaan Selangor yang mengutamakan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: