Kuala Lumpur – Kelab Anwar Ibrahim (AIC) melihat kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai kedudukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang adalah satu kenyataan yang lucu dan dangkal.
Khairy berhujah bahawa pengekalan Dato’ Seri Anwar sebagai Ketua Pembangkang akan mengundang lebih banyak masalah bukan sahaja kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah kepada Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Kalau Khairy dulunya membantah “campurtangan asing” MP Australia yang mendesak pertuduhan ke atas Dato’ Seri Anwar digugurkan, apa hak Khairy untuk membantah muafakat PR untuk Dato’ Seri Anwar terus kekal mengepalai PR di Dewan Rakyat?
Khairy menyatakan bahawa tindakan PAS dan DAP yang masih memberi kepercayaan kepada Anwar adalah agak luar biasa kerana bilangan anggota Parlimen dari DAP melebihi PKR kini. Khairy mungkin buta sejarah, kerana sejarah Dewan Rakyat pasca merdeka pernah menyaksikan Almarhum Dato’ Onn Jaafar, perwakilan tunggal Parti Negara di Parlimen pada tahun 1959 dilantik menjadi Ketua Pembangkang meskipun pada ketika itu blok pembangkang didominasi oleh Pas dan Socialist Front. Memimpin PR memerlukan karisma dan kualiti kepimpinan yang fleksibel, dan ini jelas terbukti ada pada Dato’ Seri Anwar pada masa kini dan dipersetujui oleh PAS dan DAP khususnya.
Tidak timbul isu,sebagaimana didakwa Khairy, bahawa PR hanya bergantung kepada Dato’ Seri Anwar tanpa sebarang pelan penggantian. Ini kerana PR tidak mengamalkan pelan penggantian individu yang hanya ditentukan oleh pihak-pihak tertentu sebagaimana Umno. Sebaliknya segala keputusan mengenai hala tuju kepimpinan PR akan bergantung kepada Konvensyen setiap parti komponen dan juga Konvensyen PR sendiri di masa akan datang.
Ini berbeza dengan Umno, pengganti Presiden Umno misalnya, diputuskan oleh penyandang Presiden terdahulu tanpa sebarang proses demokrasi, dan perwakilan Umno dalam Pemilihan Umno hanya menjadi rubberstamp untuk mengesahkan ‘pilihan hati’ penyandang meskipun pilihan itu boleh dipertikaikan kredibilitinya.
AIC berpendapat, adalah wajar bagi Khairy untuk memperkemaskan gerak kerja dan kedudukan beliau di dalam Pergerakan Pemuda Umno, daripada terus mengekori jejak yang diambil oleh Dato’ Seri Anwar dan PR umumnya.
Jika Khairy merasakan bahawa Dato’ Seri Anwar mendatangkan masalah, AIC sepenuhnya bersetuju bahawa kepimpinan Dato’ Seri Anwar sememangnya mendatangkan masalah, bukan kepada PR, tetapi kepada sistem korup dan perlaksanaan zalim kerajaan Umno-BN sehingga menyebabkan setiap inci jejak dan langkah yang diambil Dato’ Seri Anwar bisa mendatangkan racau terhadap kepimpinan Umno-BN.
Muhammad Shukri Md. Saad
Presiden
Kelab Anwar Ibrahim (AIC)
http://www.anwaribrahimclub.com
No comments:
Post a Comment