Share |

Wednesday, 3 February 2010

Fitnah Siri 2 Rencana Jahat Pemerintah

Pagi tadi bermulalah perbicaraan fitnah kali kedua ke atas saya. Mainan wayang yang sama diulang putar bertujuan mengelirukan rakyat dan menimbulkan kesangsian terhadap diri saya. Bahkan mereka sanggup memperalatkan sentimen agama demi kepentingan politik sempit. Mubahalah diulang-ulang walaupun ulama muktabar seperti Syeikh Yusuf al Qaradawi, Syeikh Wahbah Zuhaili dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahaya menjelaskan ianya tidak selari dengan tuntutan Syariah. Sesuai dengan pendapat dari jumhur ulama, makanya saya menfailkan tuntutan qazaf ke atas pemfitnah saya. Buktikan fitnah ke atas diri saya sebagaimana yang gariskan oleh prinsip syariah! Jangan berani berdolak lagi serta cuba melengah-lengahkannya!

Berhadapan dengan makar yang direncanakan dengan penuh helah membabitkan keseluruhan jentera dan sistem kenegaraan, ternyata ianya bukanlah mudah, namun perjuangan menuntut Perubahan ini tidak akan sekali-kali mengendur. Cita-cita dan harapan kita bukanlah satu mimpi di siang hari. Kita mendambakan sebuah negara yang menjamin perlaksanaan Keadilan untuk semua. Bukannya sebuah negara yang hanya menyempurnakan nafsu jahat pemerintah semata-mata. Tidakkah pimpinan umno-bn sedar bahawa keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan pasukan polis semakin hari semakin luntur. Rakyat sudah mual dengan kehakiman dan pihak polis yang tunduk mengabdi kepada kehendak elit umno-bn.

Pun begitu saya tidak mempunyai pilihan lain selain dari berhadapan dengan fitnah tersebut di mahkamah. Barisan peguam yang terdiri dari Karpal Singh, Datuk Param Cumaraswamy, Sankara Nair dan Datuk Prabhakaran mahukan dakwaan ini digugurkan. Berasaskan peraturan serta proses perundangan, pelbagai permohonan diajukan, misalnya untuk mendapatkan bukti sesuai dengan kehendak peruntukan seksyen 51A Kanun Acara Jenayah. Apa kan daya, permohonan ini dihalang sistem kehakiman, sekaligus membenarkan saya “diserang hendap” oleh pihak pendakwa.

Adakah dengan segala perancangan yang direkayasa ini, mereka sangka saya akan berundur dari memperjuangkan agenda Perubahan demi kemaslahatan rakyat? Inshaallah dengan segala daya dan upaya serta diiringi doa semua, akan kita terus mara menewaskan kebejatan yang bermaharajalela.

ANWAR IBRAHIM

No comments: