Share |

Friday 1 January 2010

Dua pegawai imigresen didakwa terima rasuah wang tunai, tiket

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 31 Dis. - Dua pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di dua buah mahkamah berasingan di sini hari ini atas tuduhan rasuah dalam bentuk wang tunai, tiket kapal terbang dan barangan.

Penolong Penguasa Imigresen, Noor Hayati Omar, 33, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan rasuah dibacakan di hadapan Majistret Nor Azah Kasran.

Dia didakwa atas tuduhan setuju menerima tiga keping tiket kapal terbang pergi-balik ke Singapura untuk dirinya; ibu, Noor Rana Sulaiman dan anak perempuannya, Noor Shahira Sabrina Ridwan.

Tiket itu didakwa diterima daripada Pengarah Quest Agrotech (M) Sdn. Bhd., C. Anil Kumar sedangkan pemberian tersebut mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai pegawai yang meluluskan pas kerja sementara.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya kira-kira pukul 6.57 pagi, 6 Mei 2006 di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) dekat sini.

Dia juga didakwa mengulangi perbuatannya dengan menyetuju terima sebuah set teater rumah Sony HTS pada 26 Ogos 2006 di Best Denki Malaysia Sdn. Bhd. di sini.

Noor Hayati dibebaskan dengan jaminan RM4,500 berserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes itu pada 2 Februari ini.

Di sebuah lagi Mahkamah Majistret, Pegawai Tinggi Imigresen, Salmiza Man, 35, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim atas tuduhan menerima wang pendahuluan pembelian kereta sebanyak RM18,071.

Dia didakwa menerima wang tersebut daripada Anil Kumar melalui S. Ramadass, 53, kira-kira pukul 6 petang, 10 Mei 2006 di Quest Agrotech (M) Sdn. Bhd., No. 2-4-1, Tingkat 4, Menara KLJ, Jalan Kassipillay Off Jalan Ipoh di sini.

Sementara menunggu sebutan semula pada 2 Februari ini, Salmiza dibenarkan oleh mahkamah diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pertuduhan bagi kesemua kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nafhatun Mohd. Pozi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Hashim Ibrahim.

No comments: