Share |

Saturday, 21 November 2009

Satu Bangsa Bukan Pilihan

Dari JalanTelawi.Com
Hasmi bin Hashim

Di suatu waktu, bertitah Sultan Saladin (Salahuddin) dengan tegas: “Memang! Nathan tidak berhak ke atas gadis ini, karena dia bukan bapanya…”

Apakah yang berlaku? Apakah yang telah dibuat oleh Nathan; si Yahudi peniaga kaya di Jerussalam itu?

Sasterawan Jerman, Gotthold Ephraim Lessing menuliskan naskhah lakon “Nathan der Weise: Puisi Dramatik Dalam Lima Aksi” (1778-1779) dengan latar “Perang Suci” (Kings’ Crusade”) atau dikenali juga sebagai Perang Salib ketiga (1189–1192).

Karya ini adalah gambaran bagaimana toleransi [juga kebijaksanaan] adalah keperluan yang memungkinkan tiga ugama (Islam, Yahudi dan Kristian) menempuh pancaroba demi kekal hidup aman damai bersama di “tanah suci” al-Ard ul-Muqaddasah.

Dalam pengantar “On Humanity In Dark Times: Thoughts about Lessing” edisi terjemahan Inggeris (2004) terhadap karya-karya Lessing, intelektual asal Jerman, Hannah Arendt antara lain berkomentar:

Ia susah kepada kita hari ini untuk mengindentifikasikan dramatik namun konflik yang tidak tragik di dalam “Nathan Yang Bijak” sepertimana perhatian Lessing. Sebahagiannya kerana perhatian kepada kebenaran telah menjadi persoalan yang kepada kita sudah tentunya untuk berkelakuan toleransi, meskipun ke atas sebab yang baru sahaja ada sebarang kaitan dengan alasan Lessing itu.

Toleransi, dalam maksud Hannah adalah kelakuan yang tidak boleh ditangguh-tangguh, esok-esok. Di era Nazi, karya Nathan der Weise itu diharamkan.

WARISAN PENJAJAH

Karena ia rapuh; karena ia tak bertapak di atas disiplin ilmu dan kecendiakawanan yang tertib; karena ia tak lebih hanya lontaran yang sensasi sementara memanjat tangga kekuasaan; maka The Malay Dilemma, buah coretan Dr Mahathir Mohammad (muda), nampaknya semakin dan semakin payah bertahan. Idea atau hasrat di dalam naskhah itu tak lebih sebagai usaha untuk menakut-nakutkan orang Melayu, seperti yang menjadi maksud hujah Dr Syed Hussein Alatas di dalam buku tandingnya, Mitos Pribumi Malas.

Ada usaha menakut-nakutkan orang Melayu (sebagai kelompok majoriti beserta kepentingan undi) yang bermatlamatkan “penyerahan jiwa”, kemudiannya bergantung nasib kepada seorang “juru selamat bangsa”. Proses pembodohan bermula dari sana, dan kaedah ini nampaknya masih diimani dan terpakai di kalangan [khususnya] ahli dan pimpinan Umno selepas lebih dua dekad Dr Mahathir membentuk fikiran dan ‘ideologi’ parti itu.

Dr Mahathir telah ‘berjaya’ memperdaya ramai dengan silap mata slogan “perjuangan bangsa”. Tentulah ada sebahagian yang tidak menyedari bagaimana strategi serupa juga digunakan kaum imperialis Barat untuk menundukkan bangsa-bangsa Timur di wilayah yang kemudiannya menjadi tanah jajahan mereka. Tujuannya: penjajahan.
lessing_alpha

Gotthold Ephraim Lessing (1769)

Dari sudut persaingan gagasan, ia bisa sahaja ditafsir sebagai kemunafikan seorang ahli politik untuk berkuasa. Dilema Melayu juga nampaknya gagal menyongsong hayat dialog dan perbincangan positif yang lebih lama berbanding usia penulisnya sendiri.

Maka, ada kemunasabahan kalamana timbul kepercayaan generasi hari ini—selepas lebih setengah abad Malaysia merdeka—bagaimana penjajahan luar digantikan dengan penindasan kalangan anak watan, atau pimpinan daripada bangsa itu sendiri. Mengukur keadaan ini, ada benarnya ungkapan Dr Burhanuddin al-Helmy bahawa kemerdekaan kita adalah kemerdekaan yang “separuh masak”.

SLOGAN DAN SARUNG POLITIK

Percubaan kedua Dr Mahathir ketika menjadi PM, dengan satu lagi slogan “Wawasan 2020” pun rapuh. Yang ini lebih singkat usianya dan hanya mendapat ‘layanan’ kalamana beliau berkuasa, sebelum penggantinya, Abdullah Badawi tak semena-mena melontarkan slogan “Islam Hadhari”.

Seluruh aparat pemerintah pun berlumba-lumba mencetak, mempamer slogan itu selain beberapa badan dan institusi diwujudkan atas kemahuan Abdullah; menyukakan hati orang nombor satu, sepertimana mereka pernah perlu melayani Dr Mahathir semahu apapun Dr Mahathir.

Terasa keterlaluan juga apabila ada pihak yang mendesak agar Islam Hadhari dikaji semula—dibayangkan sebagai bidaah buruk kalaupun bukan ‘ajaran baru’ yang merbahaya—sementara kerusi PM masih berbahang panas peninggalan Abdullah; belum pun lama Najib Razak mengambil alih kuasa. Desakan itu adalah di kalangan golongan yang baru kelmarin menumpahkan taat-setia kepada Abdullah.

Dengan Islam Hadhari, Abdullah sebenarnya cuba mengikis legasi serta menghapuskan bayang-bayang pemerintahan Dr Mahathir. Tetapi ia tidak bijak sama sekali apabila kaedah yang digunakan tetap sahaja “method Mahathir”, atau apa yang ditandakan sebagai “Mahathirisme”. Begitu juga apabila kritikan hebat terhadap projek mega Dr Mahathir, digantikan dengan “projek koridor” ala-Abdullah. Bukankah keduanya itu masih juga projek mega dengan “sistem ekonomi titah” dan kawalan negara? Di situ titik persoalan yang tak pernah mampu difahami; tak pernah mampu dipecahkan.

Sementara Najib Razak, yang langsung tak punya latar “tradisi pemikiran” yang kuat, telah sekali lagi meneruskan method Mahathirisme sebermula satu lagi slogan baru, “1Malaysia”—juga jalan menuju kefatalan seterusnya. Kini, sampailah giliran Najib naik miang apabila kemaruk projek-projek baru, seperti klinik untuk golongan miskin bandar dengan nama “Klinik 1Malaysia”.

Di antara tiga slogan itu, “1Malaysia” nampaknya paling lemah dan pasti mudah tergelincir di atas balapan perlombaan idea, walaupun “sarung”-nya nampak lebih menarik. Masing-masing, yang mengatasnamai kepentingan bangsa dan negara, sesungguhnya tidak menjiwai keinsafan yang dianjurkan pemikir Islam, Ibn Taymiyyah (1263–1328 M) yang menurutnya betapa kepentingan umum (maslahah ‘ammah) wajar ditinggikan oleh pimpinan ketimbang sesuatu yang memang diniatkan untuk berpusat kepada diri sendiri, maslahah khassah.

Perspektif seorang pemimpin tentulah tak mungkin boleh setaraf sama dengan, misalnya, cita-cita seorang mat rempit yang mahu memenangi setiap perlumbaan malam minggu!

Ada beberapa konsep—seperti sekali lagi kritikan Dr Syed Hussein di dalam Siapa yang salah: Sekitar revolusi mental dan peribadi Melayu (Pustaka Nasional, Singapura; 1973) merujuk naskhah “Revolusi Mental” yang menghimpunkan 14 penulis, terbit tiga tahun sebelum itu—yang kemudiannya dikatakan bersulam hujah yang “menggelikan hati” beliau.

Gugusan pandangan atau tema seperti “1Malaysia” jelas tidak dilatari perbincangan dan daya fikir yang kuat, yang sewajarnya telah terlebih dahulu melintasi rentang waktu tertentu dengan siri diskusi dan perbincangan yang cukup. Najib tak punya sejarah kaseh atau merapati bidang keilmuan sama sekali; sama sewaktu beliau menolak ke depan slogan “Glokal” sewaktu menjadi timbalan Abdullah.

Apa yang mampu kita fahami ialah, perkataan itu, “Glokal” adalah akronim daripada dua perkataan: “GLObal” dan “loKAL”. Konon cita-cita Najib adalah untuk melahirkan sebuah bangsa yang berakar kepada kekuatan setempat (lokal) di samping dihormati di peringkat global. Ini, satu lagi yang yang menggelikan hati. Tidak pasti, sejauh mana Najib telah memahami gaya retorika Soekarno, yang jauh lebih memukau daripada itu, iaitu, “NASAKOM”.

Slogan itu adalah gabungan antara “NASionalisme”, “Agama” dan “KOmunisme”. Memang, ideologi negara yang cuba dibentangkan Seokarno juga gagal. Apatah lagi, “Glokal” Najib yang tidak berasaskan apa-apa ideologi, fahaman dan kesedaran intelektual dan zaman.

Belum pun “Glokal” merebak dan dapat dihadam, “1Malaysia” lahir mengejut. Ia tidak lebih hanya sebagai “packaging” atau sarung politik semata-mata—dan, barangkali pehak consultant yang mencadangkan serta menyiapkan “bungkusan” itu juga tidak arif dengan keperluan falsafah, daya pemikiran dan budaya di dalam bidang pengiklanan.

Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mampu menahan malu apabila Najib menyebutkan konsep “1”-nya itu di pentas Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-35 di Paris, awal Oktober lalu.

Malaysia, rantau dan dunia malah bumi ini memang sudah satu! Persoalan yang perlu diutarakan dengan menyedari persoalan zaman, bagi saya, paling tidak adalah bagaimana untuk mewujudkan rasa persaudaraan atau dalam konteks sesebuah negara, bagaimana mahu diwujudkan perasaan kewarganegaraan dan kaseh kepada ibu pertiwi di kalangan rakyat?

KESEPADUAN NASIONAL

Sewajarnya Najib—dan semua yang bercita-cita menjadi pemimpin—menyemak semula, cuba memahami dan menjiwai semboyan pada lambang Malaysia yang bunyinya “Bersekutu Bertambah Mutu”. Apakah makna yang mendasari cogankata itu?

Persekutuan Tanah Melayu (yang kemudiannya menjadi Malaysia) adalah gabungan daerah, wilayah dan 14 buah negeri. Gabungan ini dengan beberapa peruntukan kuasa kekal kepada Kerajaan Negeri, dan sebahagiannya lagi menjadi hak Kerajaan Persekutuan. Ada pembahagian kuasa, dengan pehak federal, iaitu Kerajaan Persekutuan tidak memusatkan seluruh kuasanya di Putrajaya.

Dalam erti kata lain, hanya dengan “bersekutu” akan “bertambah mutu”. Negeri-negeri di Tanah Melayu tak dapat mengelak daripada keperluan untuk bersekutu tatkala diancam “peleburan identiti dan hak” sepertimana yang dicadangkan Inggeris di dalam Malayan Union.

“Bersekutu” tidak bermaksud menjadi “satu” dengan kesultanan dan hak-hak negeri bahkan wilayah masing-masing terhapus. Johor tetap Johor dengan hak-haknya. Begitu juga Sabah, Sarawak tetap Sabah dan Sarawak. Selangor tetap Selangor. Perak tetap Perak. Negeri sembilan tetap bersembilan ‘negeri’, dan seterusnya untuk negeri-negeri lain.

Berlatarkan kenyataan sejarah sedemikian, maka konsep seperti “1Malaysia” sangat berkemungkinan mengelirukan dan ianya pada bila-bila masa boleh juga berada pada paras fasisme tersendiri. Ditambah di dalam beberapa ucapan Najib yang kehendak untuk mewujudkan “Bangsa Malaysia”, sementara beliau barangkali tak menyedari bahawa label “Bangsa Malaysia” adalah istilah yang bermasalah. Tidak tahu, dari mana dipungutnya apabila beliau juga menafikan bahawa “1Malaysia” atau “Bangsa Malaysia” berbeza dengan keyakinan politik-kenegaraan DAP, iaitu “Malaysian-Malaysia”.

Ia secara praktis dilihat sebagai [proses] pelupusan elemen dan jatidiri kaum, suku kaum dan bangsa-bangsa menjadi “satu-bangsa” di bawah pengertian fundamentalis menyentuh konsep “nation-state”; atau “negara-bangsa”. Di Amerika, di Perancis, di United Kingdom, di India, atau di mana-mana pun negara yang terhidang kerencaman kemajmukan, tidak memakai label yang berat dan bermasalah sebegini. Tetapi sahaja tetap wujud, misalnya, “Black-American”, “Chinese-Indonesian”, “Arab-France” sehingga “Malay-African”…

Profesor Amatya Kumar Sen (pemenang Anugerah Nobel Ekonomi) menjelaskan persoalan identiti dan betapa perlunya untuk tetap meraikan kepelbagaian di dalam bukanya, Identity and Violence: The Illusion of Destiny. Persoalan identiti kini bukan sekadar menyentuh persoalan ras keturunan, tetapi sehingga menyentuh minat dan kesukaan individu, sehingga adalah mustahil untuk menafikan seseorang, misalnya, yang tinggal di India, tetapi dia juga meminati bola sepak Amerika, sedangkan persekitarannya ‘tidak menyukai’ sukan itu. Apakah ia tidak berhak untuk meminati sesuatu yang tidak menjadi kebiasaan bagi persekitarannya?

Maknanya, selain persoalan Perlembagaan, biologi dan leluhur (asal keturunan), kepelbagaian memang sentiasa wujud. Dan terus wujud. Tak ada sesuatupun yang bisa menghalang. Demikian untuk mewujudkan “yang satu”, muthlak, adalah mustahil dan kepura-puraan maha besar abad lalu Bertambah mustahil apabila semua kondisi sosial, termasuk soal budaya, minat, citarasa, makan-minum dan pakaian pun perlu diseragamkan. “Ke-seragam-an” inilah “keganasan” yang pertama-tama di bawah kuasa autokratik.

“Bangsa Malaysia”, pada perspektif ini boleh dikatakan tidak wujud. Yang wujud adalah “rakyat Malaysia”, sebuah pengakuan yang sederhana—seperti tuntutan untuk berteleransi yang diungkap Hannah Arendt—tetapi, ia memadai. Saya teringat lirik lagu D.R. Sam yang popular pada 1980-an dahulu, “saya anak Malaysia…”

Kerancuan tafsiran terhadap konsep seperti liberalisme dan pluralisme sebeginilah yang akhirnya mendorong lahirnya rejim dan cengkaman baru; menggantikan nyaring suara perkauman dan chauvanistik lama, kepada kuasa autokratik baru. Sayang sekali apabila makna demokrasi dan kebebasan hanya menjadi barang persendaan apabila dilihat dengan cetek, laih mahupun kulit-kulitan.

MERAIKAN KEMAJMUKAN

“Mengikat”, sebagaimana erat sekalipun, bukan bererti “meleburkan”. Proses penghapusan etnik mahupun peleburan wajah identiti, termasuk yang pernah berlaku di era Nazi-Jerman, Moa-China, Saddam-sunni di Iraq mahupun cita-cita “year zero” Maoist Khmer Rouge di Kemboja: fatal! Mempertimbang tradisi sama sekali tidak bermaksud membuang seluruhnya tradisi; sama seperti tidak ada keperluannya untuk berpaut pada nilai buruk hanya atas nama “tradisi”.

Bukankah bangsa atau kaum itu adalah sesuatu yang alami atau bahagian daripada fitrah kejadian? Ia bukan pilihan. Tak ada sesiapapun yang boleh memilih bangsa keturunannya sewaktu lahir. Sepotong peringatan Quran, dari surah al-Maa’idah (ayat 48) bisa menjadi panduan bagaimana “sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikanNya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberianNya kepadamu maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.”

Ayat itu melengkapi kefahaman daripada sebaris lagi perenungan di dalam suruh Yunus (ayat 19) yang menyebutkan: “Manusia dahulunya hanyalah satu umat, kemudian mereka berselisih.”

Meraikan kepelbagaian, keragaman, tidak boleh dikorbankan hanya atas nama kepentingan negara, malah atas kepentingan apapun. Kepelbagaian tetap perlu wujud, tetap wujud sebagai hukum atau ikhtilaf yang alami. Yang perlu dipertegaskan ialah setiap warganegara punya hak-haknya. Dan hak itu, terjamin sepertimana Tuhan menjamin bahawa setiap manusia itu punya karamahnya.

Di bawah “Garuda Pancasila”, iaitu lambang republik Indonesia, tertera cogankata “Bhinneka Tunggal Eka”. Maksudnya yang melatari semboyan itu tak lain ialah “kesepaduan dalam kepelbagaian”: unity in diversity.

Asal muasil cogankata itu adalah dari kisah Kakawin Sutamosa, karangan Empu Tantular. Dia merupakan seorang pujangga di zaman R?jasanagara yang memerintah di era keemasan kerajaan Majapahit sekitar pertengahan abad ke-14.

Tantular, anak saudara raja Hayam Muruk ini juga menuliskan Kakawin Arjunawijaya yang kedua gubahan syair naratif itu antara lain menganjurkan sikap toleransi, termasuk di dalam hal perbezaan ugama, bagi meraikan kepelbagaian itu tadi. Di dalam puisi Kakawin Sutasoma merujuk dua ugama berbeza di zamannya iaitu antara Hindu-Siwa dan Buddha; sementara Tantular sendiri adalah penganut Buddha. Begini yang disyairkannya:-

Rw?neka dh?tu winuwus Buddha Wiswa,
Bhinnêki rakwa ring apan kena parwanosen,
Mangka ng Jinatwa kalawan ?iwatatwa tunggal,
Bhinnêka tunggal ika tan hana dharma mangrwa.

Yang setiap baris membawa maksud:-

Konon Buddha dan Siwa merupakan dua zat yang berbeda,
Mereka memang berbeda, tetapi bagaimanakah bisa dikenali?
Sebab kebenaran Jina dan Siwa adalah tunggal
Terpecah belahlah itu, tetapi satu jualah itu. Tidak ada kerancuan [keraguan] dalam kebenaran.

Mungkin mengejutkan, apabila Tantular membawakan kesedaran betapa “kebenaran Jina dan Siwa adalah tunggal”, seolah-olah mesej yang tak jauh beza daripada apa yang mahu disampaikan oleh Lessing—melalui watak Nathan—mengenai “ketulinan cincin (Ringparabel)” yang diwariskan kepada tiga orang anak: yang manakah antara tiga bentuk cincin itu, yang tulin… sedangkan sang bapa, ketika mati hanya mewariskan sebentuk sahaja cincin. Tentulah dua di antaranya ‘palsu’, namun telah direkabentuk sehingga ketiga-tiganya, betul-betul sama.

Kemanusiaan, teruji di sana, apabila berhadapan dengan persoalan ugama dan kebenaran—tentang siapakah yang bisa mendakwa yang lain ‘tidak benar’ berbanding yang lain. Di baris akhir surah al-Kafiruun, disebutkan: “untuk kamu ugama kamu, untuk aku ugama aku.” Di sinilah permulaan bagi sikap tegas di dalam keyakinan iman, namun tanpa mencederakan penganut agama lain—atau di dalam tafsir kenegaraan, ia adalah sumber toleransi.

Tidak ada kesepaduan nasional, tanpa toleransi. Dengan yang demikian, dengan sejarah Melaka yang pernah jatuh ke tangan Portugis pada 1511, juga tumbangnya kerajaan, kesultanan dan kesunanan di Nusantara satu-persatu di tangan kuasa luar, maka kemerdekaan yang dicapai, dengan persekutuan yang diwujudkan, maka persekutuan ini diharap menjadi kuat dengan penyertaan wilayah-wilayah.

Memang istilah “kuat” tidak digunakan, tak seperti maksud bidalan sebatang lidi mudah dipatah… namun digantikan dengan istilah yang lebih canggih, iaitu “mutu”. Logisnya, sebatang penyapu yang kuat bukan karena sebatang lidi, bukan juga karena gabungan lidi-lidi menjadi sebatang lidi yang ‘besar’ melainkan tak lain, ia tidak ‘meleburkan’ tiap-tiap batang lidi di dalam secekak penyapu.

“Mutu” tidak lain adalah merujuk kualiti, sementara kualiti sebagai satu tanda aras kemakmuran yang tinggi tak mungkin tercapai tanpa kesepaduan atau bersekutu.

“Mangké n prâpta ng kali çrî Jinapati manurun matyana ng kâla murkha”

“Dan sekarang pada masa Kaliyuga, Sri Jinapati turun di sini untuk menghancurkan kejahatan dan keburukan.”

Makna “matyana ng kâla murkha” seiring dengan tafsir al-Isra’: Dan katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya “tak ada keraguan di dalam kebenaran”: tan hana dharma mangrwa.

Menginsafi dan menyedari kejernihan gagasan pejuang kemerdekaan kita, yang perlu diperjuangkan adalah cita-cita yang sederhana ini, iaitu “Malaysia yang bersatu padu”, dan bukannya “satu-’bangsa’,” apatah lagi “satu-Malaysia”.

*Esei ini awalnya adalah ucapan penggulungan penulis di dalam Kem Kepimpinan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Selangor di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bahru pada Sabtu, 7 November 2009.

No comments: