Share |

Wednesday, 25 November 2009

Kg Medan: Mangsa belum dapat pampasan

Written by Faisal Mustaffa

Peristiwa pertumpahan darah di Kampung Medan yang berlaku pada tahun 2001 dibangkitkan semula baru-baru ini.

Berapakah jumlah pampasan yang diterima akibat daripada peristiwa Kg Medan, seraya kepada siapakah pampasan itu disalurkan?

Soalan lisan tersebut ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya Loh Gwo-Burne (PKR) di persidangan Dewan Rakyat. Loh bertanya kepada Perdana Menteri tentang pampasan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada keluarga serta mangsa-mangsa pembunuhan Kg Medan serta nama dan umur mereka.

Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Dr Koh Tsu Koon memberi jawapan bertulis pada Okt 28 bahawa pampasan belum disalurkan kerana “senarai lengkap mangsa tidak dapat dibekalkan”.

Koh berkata pada waktu itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghulurkan RM163,000 untuk membantu mangsa-mangsa yang memerlukannya. Di samping itu, kerajaan difahamkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik juga telah tampil ke hadapan untuk memberi bantuan kewangan dan bantuan lain.

Namun kerajaan persekutuan telah meluluskan RM260,000 untuk mangsa-mangsa yang terlibat, atas kadar RM10,000 sekaligus kepada keluarga atau waris mereka yang terkorban dan RM2,000-RM3,000 sekaligus kepada mangsa yang tercedera.

Ini bermakna bantuan berjumlah lebih suku juta ringgit tersebut tidak sampai kepada mangsa kerana kononnya mereka tidak dapat dikesan. Kita juga tidak diberitahu ke manakah akhirnya peruntukan itu berada. Dengan seluruh tenaga dan kuasa yang ada pada kerajaan, penjelasan yang diberikan Koh adalah kurang munasabah.

Kerajaan berdolah-dalih

“Oleh kerana keadaan pada waktu itu agak tegang dan cemas, catatan nama-nama mangsa tertentu adalah kurang lengkap dan terdapat yang tidak mengandungi maklumat mengenai umur dan nombor kad pengenalan, khasnya bagi yang cedera ringan dan tidak memerlukan rawatan sebagai pesakit dalam (inpatients) dalam hospital kerajaan,” Koh memberitahu perkara ini kepada Dewan.

Begitu mudah alasan kerajaan.

Malangnya, kebanyakan mangsa tragedi tersebut sehingga kini tidak dapat bekerja atas kecacatan kekal yang dialami.

Peristiwa berdarah Kg Medan sudah masuk tahun ke-sembilan. Dalam jangkamasa tersebut, kerajaan masih enggan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja Siasatan bagi menyiasat serangan antara kaum yang berlaku di kawasan tersebut.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia juga enggan mengadakan siasatannya sendiri. Suhakam menidakkan tanggungjawabnya (atas kapasiti badan hak asasi manusia) dengan memberi alasan terdapat satu kes yang masih didengar di mahkamah berhubung perkara yang sama.

Dalam kejadian pergaduhan kaum di Kg Medan pada Mac 8, 2001, seramai enam orang telah terbunuh, tiga di antaranya warganegara Malaysia keturunan India dan tiga lagi warganegara asing – dua dari negari India dan seorang dari Indonesia.

Mahkamah Malaysia juga sehingga kini masih belum membuat sebarang pendakwaan terhadap kematian enam orang tersebut. Malah, kertas putih Parlimen berkaitan dengan tragedi tersebut tidak dihebahkan kepada umum.

Mengikut laporan yang diterima polis dari Yayasan Strategi Sosial (YSS), seramai 74 orang tempatan cedera, tidak termasuk beberapa orang asing yang dikatakan cedera tetapi tidak dapat dihubungi selepas itu. Di antaranya, 58 orang adalah keturunan India, 15 Melayu dan seorang Cina.

Apa yang sebenarnya berlaku?

Pada April 2006, pengerusi Suaram K. Arumugam telah menulis sebuah buku berjudul ‘Mac 8’ (tanggal peristiwa hitam itu) dalam bahasa Tamil yang dicetak sebanyak 5,000 naskah.

Buku ini – yang sekarang diharamkan dan sedang berhadapan dengan kes di mahkamah – menceritakan mengenai 15 hari kejadian mulai Mac 8 hingga Mac 23, 2001. Ia mengisahkan pengalaman mangsa-mangsa yang ditemui serta saksi-saksi di Kg Medan. Tidak ada seorang pun mengakui bahawa tragedi tersebut merupakan satu rusuhan kaum.

Arumugam dalam temuramahnya dengan portal Internet Malaysiakini (Feb 23, 2007) berkata, “Masih ada yang bertanggapan bahawa keganasan yang berlaku di Kampung Medan mendapat sokongan sesetengah orang kuat politik”.

Mengikut keterangan saksi, orang-orang India diserang ketika keluar bekerja seperti biasa setiap pagi. Mereka tidak nampak mana-mana kaum India yang menyerang Melayu ketika itu.

Pada hari kejadian, terdapat satu majlis kenduri perkahwinan Melayu dan giringan pemakaman masyarakat India. Tercetus sedikit salah faham antara kedua-dua pihak. Dengan keadaan persetingganan seperti di Kg Medan, keadaan seumpama ini adalah suatu yang biasa.

Mereka yang mengalami luka-luka kecil daripada perselisihan faham tersebut dibawa ke klinik dan tidak mengendah langsung untuk membuat sebarang laporan polis. Namun, tiba-tiba perkara tersebut menjadi besar. Pihak polis juga dikatakan tidak bertindak dengan pantas atas keadaan tersebut.

Polis lepas tangan sahaja

Polis memberitahu dalam sidang media mereka pada Mac 11, 2001 bahawa mereka telahpun menahan seramai 154 orang yang disyaki. Polis juga memberitahu bahawa mereka menjumpai batang besi, parang, pedang samurai dan senjata tajam.

Pihak polis telah diarahkan seramai 400 anggota bagi mengawasi kawasan tersebut pada masa itu dalam percubaan membendung ‘kekacauan’ tersebut.

Dalam laporan Herald Tribune mengenai insiden tersebut, Parameswary Batumalai, berusia 28 tahun ketika kejadian itu berlaku mendakwa pihak polis hanya lihat sahaja tatkala jirannya Muniratnem dibelasah oleh empat orang yang tidak dikenali dengan kayu dan topi keledar.

Sementara itu, di dalam laporan majalah mingguan Newsweek pula, polis dikatakan menyaksikan empat lelaki bersenjatakan kayu memukul seorang lelaki berpangkat bapa sehingga maut. Parameswary juga memberitahu polis telah menghalang beliau dan penduduk kampung yang lain daripada campurtangan dalam pergaduhan yang berlaku (di depan mata).

Sebagai sebuah negara membangun, kita seharusnya berfikir dengan matang terutamanya apabila berhadapan dengan nyawa dan hak asasi manusia. Keadilan bukan hanya diberikan kepada yang hidup malah kepada yang terkorban.

No comments: